Bab 46

2.1K 276 24
                                    

Helena yang teringatkan Irha, terus mencapai telefon bimbit. Sebelum ini, dia berbual dengan kakak iparnya dengan menggunakan telefon bimbit Siti. Kini, dia sudah memiliki telefon pintar sendiri.

Dia jugalah yang mengarahkan Irha supaya memujuk Ammar untuk makan tengah hari bersama Eden.

"Helo?" sapa Irha yang tak mengenali nombor asing tersebut.

"Kak Irha... Ni El," terang Helena dan dia mula menceritakan tentang objek yang dihadiahkan oleh Eden itu.

Eden menghadiahkan sebuah telefon bimbit kepada Helena dan turut mengaktifkan aplikasi parental controls, supaya Helena tidak dapat menggunakan media sosial dan laman web.

"El macam mana sekarang, Dah sihat ke? Lama tak jumpa El." Ammar ada mengajaknya untuk mengunjungi rumah Helena, namun dia terlalu sibuk dengan kerja.

"Sihat. Susah betul nak jumpa Kak Irha sekarang, kan?"

"Nanti kalau dah tak sibuk sangat, Kak Irha pergi sana. El tak pergi ofis Eden ke? Dah nak lunch time ni." Irha kerling jam dinding. 11.00 pagi.

"El tak pernah pergi sana. Eden suruh El banyakkan rehat dekat rumah," terang Helena.

"El masih bawakan bekal untuk dia ke?" soal Irha lagi.

"Haah."

"Baguslah kalau macam tu. Kalau tak, ada je staf perempuan yang nak ajak dia lunch nanti." Irha sengaja mengusik adik iparnya. Mahu melihat sejauh mana tahap cemburu Helena.

"Ada ke yang berani buat macam tu?" Setahu Helena, semua kakitangan Neowood tahu Eden adalah suami Helena.

"Apa pula tak berani. Perempuan sekarang suka benda-benda mencabar macam ni." Irha sengaja menambah minyak kepada api yang baru menyala.

"El percayakan Eden. Dia takkan layan perempuan-perempuan tu." Helena cuba buang tanggapan negatif yang sudah berlegar-legar di fikiran.

"Mana El tahu? Lelaki ni cepat tergoda tau. Lagi-lagi kalau perempuan tu jenis yang tak cepat putus asa."

Irha sudah tersenyum apabila Helena diam seperti memikirkan sesuatu.

"El pun tahukan, berapa ramai perosak rumah tangga sekarang?" tambah Irha lagi.

"Tapi, Abang Am tu elok je. Tak ada pula yang cuba dekat dengan dia?" Helena teringat Ammar yang berada di bangunan yang sama dengan Eden.

"Macamlah El tak tahu abang El tu macam mana. Mana ada yang berani nak dekat dengan dia." Ammar seorang yang tegas apabila berada di pejabat.

Dia langsung tak beri muka kepada sesiapa yang buat sebarang kesalahan.

"Kalau El nak tahu, pergilah sana. El tengok sendiri." Irha beri cadangan.

Helena gigit bibir. Rasa berbelah bahagi.

"Lagipun, El tak buat apa dekat rumah, kan? Pergilah sana. Buat surprise untuk Eden," tambah Irha lagi.

"Kalau macam tu, El nak bersiap kejap." Helena sudah buat keputusan.

Tambahan pula, dia tak tahu bila kali terakhir dia mengunjungi bangunan Neowood.

"Pakai cantik-cantik tau," pesan Irha sebelum menamatkan perbualan.

Jadi, sebab ini Eden menghalangnya daripada keluar rumah? Helena kepal tangan.

Dasar buaya! Bisik hati kecilnya.


Helena tiba di bangunan Neowood jam 12.30 tengah hari. Terlewat sedikit dari perkiraannya kerana dia perlu menunggu Grab.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now