Eden pulang agak lewat hari ini kerana terdapat beberapa tugasan yang harus diselesaikan secepat mungkin.
Dia menoleh ke arah ruang tamu yang kosong. Pasti Helena dan Siti sudah tidur sekarang.
Kaki memanjat anak tangga seraya melepaskan ikatan tali leher.
Sewaktu tangannya membuka pintu kamar tidur, hidung menangkap satu bau yang begitu menyengat hidung. Eden bersin beberapa kali disebabkan bau tersebut.
Dia melangkah masuk ke dalam bilik yang hanya diterangi dengan lampu tidur. Lilin wangi dan taburan kelopak bunga ros yang ditabur di atas tilam menjadi penyebab ruangan itu begitu harum.
Kemudian, ditambah lagi dengan bau minyak wangi isterinya. Ketiga-tiga bau tersebut seolah-olah sedang berlawan untuk memenuhi ruangan tersebut.
Kembang kempis hidung Eden yang cuba mencari udara segar.
"Eh, awak dah balik?" Helena yang baru keluar dari satu ruangan, menyapa Eden yang jelas kurang senang melihat kehadirannya.
"Awak pakai baju apa ni?" Eden tengok isterinya atas bawah.
Helena mengenakan gaun malam berwarna merah jambu yang begitu pendek.
"Baju tidur," jawab Helena sambil menanggalkan jubah tidur dari material yang sama. Ia dicampak ke atas sofa tak jauh darinya.
Bagi Helena, tiada kucing yang mampu menolak ikan yang sudah dihidangkan di depan mata.
Eden menggelengkan kepala beberapa kali. Jadi, sebab ini isterinya minta kebenaran mahu keluar siang tadi? Untuk membeli baju dan hiasan yang digunakannya ini.
Eden mula menapak dan berpapasan dengan isterinya.
"Awak nak aktifkan smoke detector ke?" Pintu lungsur dibuka supaya bau yang menyakitkan hidung itu dapat keluar.
Helena menikus. Dia langsung tak terfikir tentang pengesan asap yang berada di seluruh ruangan.
Eden mendekati Helena yang hanya jadi pemerhati. Jubah tidur yang dicampak isterinya tadi, kembali dicapai dan disangkut semula ke atas bahu Helena.
"Nanti awak demam."
"Tak. Saya takkan demam." Helena gerakkan bahu dan baju tersebut jatuh ke atas lantai.
Eden menghela nafas panjang. Helena yang dulu dan sekarang masih Helena yang suka menguji kesabarannya.
"Kalau awak demam, saya juga yang susah nanti." Eden kutip sekali lagi dan kali ini ia tak disangkut ke bahu. Tetapi, dia mula gerakkan tangan Helena untuk dimasukkan ke dalam jubah.
"Sekarang ni musim hujan. Pakai baju yang tebal sikit." Eden ikat tali yang ada pada jubah tersebut.
"Dengar tak saya cakap ni? Nanti masuk telinga kanan, keluar telinga kiri," tambahnya lagi kerana Helena langsung tak membuka mulut.
Helena buat muka toya. Sepertinya, rancangan yang disangkakan bakal berjalan lancar, sudah menemui jalan buntu.
"Saya nak mandi dulu. Awak bersihkan semua kelopak bunga yang ada dekat atas tu." Eden kerling kelopak bunga ros yang dibentuk menjadi bentuk hati di atas katil.
Baru selangkah menapak, dia melihat tangannya yang ditahan Helena.
"Nak ikut."
Dua perkataan yang hampir buat kaki Eden bertukar menjadi jeli.
Perempuan ni gila ke? Bisik hati kecilnya.
"Tak payah. Awak duduk dekat sini diam-diam, muhasabah diri." Eden rentap tangannya perlahan dan cepat-cepat menghilang masuk ke dalam bilik mandi.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...