BAB 11

2.7K 214 20
                                    

Dira melihat sampul surat yang diterima. Sampul itu dibelek ke kiri dan kanan, cuba mencari nama si pengirim, namun tiada.

"Siapa hantar ni?" Dira pandang Puan Duha yang menjongket bahu.

"Tak tahu. Ada dalam peti," jawab Puan Duha yang melihat hanya nama Dira tertera pada sampul.

Sampul dibuka tanpa banyak soal dan Dira keluarkan isi kandungannya. Bola mata Dira hampir terkeluar daripada soket, terkejut melihat gambar tersebut.

Puan Duha yang melihat air muka Dira sudah bertukar keruh, mendekati anaknya yang tak bergerak daripada tadi.

Dira rasa bumi yang sedang berputar, berhenti berpusing. Mulutnya tergamam apabila melihat gambar Eden bersama seorang wanita.

Badan mereka diselubungi gebar dan hanya bahu yang kelihatan. Wajah wanita itu tertutup dek rambut.

Hanya muka Eden yang jelas kelihatan. Namun, ia sudah cukup membuat hatinya berkecai menjadi kepingan kecil. Eden yang bakal bergelar tunangnya esok hari, melakukan perbuatan terkutuk seperti ini.

Dira terduduk di atas lantai. Gambar yang dipegang, jatuh bertaburan di atas lantai dan mamanya terjerit kecil apabila melihat gambar tersebut.

Puan Duha tergamam seketika, sebelum peluk Dira yang mula menangis seperti dirasuk hantu.

"Kenapa ni?!" Encik Adnan yang terdengar suara jeritan dan tangisan anaknya, turun ke tingkat bawah.

Puan Duha muncungkan bibir ke satu arah. Encik Adnan mula mengutip satu per satu gambar yang mengaibkan itu. "Astaghfirullahalazim!"

"Mama... Kenapa Eden buat Dira macam ni?" Dira mula nangis teresak-esak.

Puan Duha peluk erat anaknya. Cuba beri kekuatan kepadanya, walaupun ia tak membantu.

"Ni bukan Eden yang Dira kenal." Dira gelengkan kepala beberapa kali, cuba buang jauh-jauh gambar yang sudah melekat di fikirannya.

Puan Duha peluk anak perempuannya yang masih lagi menangis. Pandangan jatuh pada gambar yang berada di atas lantai.

Dia turut terkejut setiap kali melihat gambar-gambar itu. Tiada sesiapa tahu bila hati seseorang akan berubah. Tambahan pula, bakal menantunya itu memiliki paras rupa yang boleh mencairkan mana-mana wanita selain daripada pangkatnya.

Dia pasti, wanita diluar sana berlumba-lumba mahu mendekati Eden.

"Ma... Ni bukan Eden, kan?" soal Dira lagi, masih tidak boleh menerima kenyataan itu.

Encik Adnan sembunyikan gambar 4R tersebut daripada pandangan anaknya. Risau ia mengganggu mental Dira.


Puan Nafisah pandang anaknya seperti mahu ditelan. Masih terkejut apabila menerima panggilan tadi.

Dia pulang ke Malaysia, semata-mata mahu meraikan majlis anaknya. Kini, majlis pertunangan mereka dibatalkan kerana gambar anaknya yang berkelakuan tak senonoh tersebar.

"Bagi tahu ibu, apa yang jadi sebenarnya?" Puan Nafisah masih melihat Eden yang kelihatan gusar.

Eden meraup wajah.

"Ibu gagahkan diri, balik Malaysia. Tempuh perjalanan yang ambil masa sekurang-kurangnya 15 jam, sebab nak raikan hari bahagia Eden. Tapi, ni yang Eden balas?" kalau ikutkan hati, pasti tangannya sudah melekat di pipi Eden.

Perjalanan dari Brussels ke Malaysia, mengambil masa 15 jam dan boleh mencapai 23 jam jika transit di Dubai.

"Eden tak buat semua tu. Sumpah! Eden tak buat!" Eden angkat tangan kanan.

"Habis tu, kenapa tiba-tiba keluarga Dira batalkan majlis? Eden jangan nak tipu ibu ya! Malu ibu, mana ibu nak letak muka lepas ni?" Puan Nafisah teringat jumlah tetamu yang sudah dijemput untuk meriahkan majlis pertunangan anaknya.

"Semua ni salah faham, ibu," balas Eden.

"Salah faham apa? Ni yang Eden kata salah faham?!" Puan Nafisah melempar telefon bimbitnya ke atas meja.

Gambar yang dihantar keluarga Dira, ditunjuk kepada anaknya.

"Siapa ajar Eden macam ni? Apa yang kurang dalam hidup Eden, bagi tahu ibu?" turun naik dada Puan Nafisah menahan rasa sakit hati. Memang Eden dibesarkan tanpa susuk seorang ayah, tapi itu tak bermaksud dia mengabaikan anaknya.

Eden menggeleng.

"Apa yang ada dalam kepala otak Eden ni, sampai berani ketepikan agama? Dah tak ingat yang mana halal dengan haram?!" suara Puan Nafisah naik satu oktaf.

"Ibu, dengar dulu apa yang Eden nak cakap. Eden tak buat semua ni, Eden takkan sesekali buat perkara terkutuk," terang Eden. Fikirannya semakin bercelaru apabila melihat gambar yang terpampang di atas meja.

"Habis tu, nak cakap ni bukan Eden?" Puan Nafisah menyentuh pelipis, dapat rasakan darahnya yang naik mendadak.

Eden terdiam.

"Kenapa diam? Betulkan Eden yang ada dalam gambar tu?" pandangan Puan Nafisah masih melekat kepada anak lelakinya.

Eden mengeluh dan mengangguk perlahan.

Puan Nafisah yang melihat anggukan itu, bawa tangan ke dada. Rasa sesak dadanya melihat anggukan itu.

"Jadi, apa lagi yang Eden nak buktikan? Memang Eden buat perkara terkutuk dekat belakang ibu, kan? Ibu tak sangka, anak ibu macam ni. Mungkin salah ibu, sebab kurang bagi perhatian dekat Eden." Puan Nafisah kecewa.

Eden bangun daripada kerusi dan duduk melutut di hadapan Puan Nafisah. Dia genggam kedua tangan ibunya.

"Memang Eden dalam gambar tu, tapi itu tak bermaksud Eden tahu apa yang tengah berlaku. Eden masuk perangkap. Eden tak sedar pun apa..."

Puan Nafisah mendengus kasar. Tangannya dilarikan dari genggaman Eden.

"Lepas apa yang jadi, Eden kata tak sedar? Dah lalai dalam dunia tu, mana nak sedar yang mana halal dan haram!" perli Puan Nafisah, dia angkat punggung.

"Ibu kena percayakan Eden," kata Eden yang kedengaran terdesak.

Puan Nafisah menggeleng.

"Nak percaya macam mana lagi, kalau dah ada bukti depan mata? Eden sendiri mengaku yang dalam gambar tu, memang Eden. macam mana ibu nak percayakan anak ibu?" Puan Nafisah berdiri membelakangi anaknya yang masih duduk berlutut.

"Ibu tahu Eden dibesarkan dalam serba kekurangan. Bila dah berjaya dan ada duit, mula lupa diri? Terus hanyut dalam dunia tu. Ingat Tuhan, Eden. Walaupun ibu tak nampak, keluarga Dira tak nampak, tapi DIA maha melihat. Entah dah berapa lama Eden buat perkara terkutuk ni. Tapi, baru sekarang semuanya terbongkar," sambung Puan Nafisah lagi, apabila Eden hanya membisu.

Eden telan liur. Perasaannya bercampur baur, di antara sedih dan marah apabila mendengar setiap bait yang keluar daripada mulut ibunya. Dia bangun dan mendekati ibunya sekali lagi.

"Ibu... Eden tahu Eden salah, tapi ibu jangan hukum Eden seolah-olah mengiyakan perkara ni. Eden tak sedar apa yang jadi. Bila Eden buka mata, perempuan tu dah tak ada. Eden tak tahu pun macam mana Eden ada dalam bilik tu, bila gambar-gambar ni diambil..."

"Sudahlah, Eden. Ibu kecewa dengan Eden." potong Puan Nafisah dan berlalu pergi, meninggalkan Eden sendirian.

Eden yang melihat bayang ibunya yang menghilang, terduduk di atas sofa. Dia meraup wajah.

Suara Puan Nafisah yang mengatakan dia kecewa, terngiang-ngiang di gegendang telinga.

"Argh!!!" Eden melepaskan tumbukan pada kerusi kosong di sebelahnya.

Aku akan pastikan, kau rasa apa yang aku rasa sekarang ni, Helena. Lebih teruk daripada ni! Eden mengepal tangan.

Dia keluarkan telefon bimbit dan menghubungi seseorang. Wanita itu harus diberi pengajaran kerana sudah melampaui batas.

Siapa sangka Helena yang dikenali satu ketika dahulu, berubah 180 darjah.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now