Bab 41

2.4K 266 22
                                    

Puan Marissa memandang suaminya yang sedang menjamu selera. Masih tertanya-tanya apa yang dibualkan Encik Syed dengan Helena petang tadi.

"Ada apa Helena telefon abang?" Puan Marissa akhirnya buka mulut.

Semua tertumpu kepada Encik Syed, menunggu jawapan.

"Dia nak masukkan Eden dalam Neowood," ucap Encik Syed. Tenang.

Puan Marissa kerutkan dahi. "Lepas tu abang cakap apa?"

Kalau boleh, Puan Marissa tak mahu libatkan Eden dalam urusan syarikat. Biarlah keluarganya sendiri yang menguruskan perihal ini.

"Abang nak bincang dulu dengan Ammar." Encik Syed kerling Ammar yang sedang menyuap makanan.

"Jadi, sebab ni babah suruh Am balik?" Kini, Ammar mengerti kenapa dia disuruh makan malam di rumah keluarganya.

"Macam mana, Am setuju ke kalau Eden masuk Neowood?" Encik Syed tiada masalah jika menantunya mahu satu bumbung dengan mereka.

Tambahan pula, Eden adalah suami kepada Helena. Sudah pasti ada tempat untuknya di Neowood.

"Mama tak setuju!" Puan Marissa menyampuk.

"Ma... Babah tanya Abang Am, bukan mama," tegur Mika yang jadi pendengar dari tadi. Kalau Helena, ada saja yang tak kena di mata Puan Marissa. Berbeza dengan Ammar yang selalu dibanggakan.

Puan Marissa jegilkan mata kepada Mika.

"Kalau babah okey, Am pun okey je." Ammar sudah buat keputusan.

Dengan hanya melihat raut Encik Syed yang tak beriak, dia yakin babahnya tiada masalah kalau Eden membantu mereka untuk menguruskan syarikat.

"Suruh dia masuk NeoFood lah. Neowood tak perlukan orang macam dia. Dia bukannya ada pengalaman kerja syarikat besar." Puan Marissa luahkan isi hati.

Mika hanya mampu menggelengkan kepala dengan gelagat mamanya.

"Tak ada beza pun, ma. Kalau dia masuk NeoFood atau Neowood." Ammar pandang Puan Marissa.

NeoFood adalah anak syarikat NeoWood yang mengendalikan pembuatan makanan. Manakala Neowood pula, adalah syarikat induk yang mengawal operasi anak syarikat.

"Neowood dah ada Am. Takkan dia nak kerja dekat situ juga?" balas Puan Marissa yang juga turut memandang anak lelakinya.

"Abang nak bagi jawatan apa dekat dia? Dia tu bukan belajar tinggi macam Am. Entah tahu buat kerja, entah tak." Puan Marissa alihkan pandangan kepada Encik Syed pula.

"Mama... Abang Eden tu pernah jadi diplomat. Mestilah dia belajar sama tinggi dengan Abang Am. Silap hari bulan, dia lagi pandai daripada Abang Am." Mika menyelit. Panas hati melihat Puan Marissa yang asyik merendah-rendahkan Eden.

"Diam, Mika! Mama tak cakap dengan Mika," tegur Puan Marissa yang berang.

"Betullah apa yang Mika cakap tu. Kalau mama rasa ragu-ragu, nanti Am suruh Eden datang sini. Mama boleh interview." Ammar beri cadangan bernas.

Mika sembunyikan senyuman. Takut Puan Marissa semakin naik angin pula apabila melihatnya nanti.

"Yang awak ni pun... Kalau depan El nanti, jangan macam ni. Eden tu suami dia, menantu kita. Bukannya orang luar," tegur Encik Syed.

"Abang nak bagi jawatan apa dekat dia?" Puan Marissa ulang soalannya yang dibiarkan sepi tadi.

"Am rasa macam mana?" Encik Syed menghantar soalan itu kepada anaknya.

"CMO? Sebab dia ramai kawan, senanglah kita kalau Eden duduk dekat marketing," balas Eden.

Kebetulan jawatan itu kosong dan Eden mempunyai ramai kenalan sewaktu dia menyandang jawatannya sebelum ini. Jadi, memang sesuai sangat jika Eden menggalas tanggungjawab sebagai ketua di bahagian pemasaran.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now