Sewaktu makan tengah hari tadi, Ammar ada mengajak Eden keluar makan kerana hari ini adalah hari pertamanya di Neowood Group. Namun, sayangnya dia sudah membawa bekal.
Ammar kelihatan begitu terkejut apabila mengetahui hal ini. Jadi, memang benar apa yang dikatakan Mika sebelum ini. Helena sudah berubah sejak bergelar seorang isteri.
Helena bertungkus lumus di dapur menyediakan bekal makanan itu pagi tadi. Entah jam berapa isterinya beraksi di dapur kerana bayang Helena sudah tiada, apabila Eden terjaga daripada tidur.
Dia yang baru saja mahu naik ke tingkat atas, kaku. Hanya bola matanya yang bergerak melihat Helena begitu asyik menggerakkan punggung ke kiri dan kanan.
"Kenangan malam minggu waktu jalan-jalan." Helena gunakan sudip kayu sebagai mikrofon.
"Berdua jalan kaki saat turun hujan." Tangan dan bahu mula bergerak mengikut rentak lagu.
"Lai la-lai la-lai la-lai lai lai la-lai la-lai," tambah Helena lagi yang pusingkan badan beberapa kali. Kaki yang lincah bergerak, tiba-tiba kaku seperti sudah dipaku pada lantai.
Pandangannya bertaut dengan Eden yang masih tak bergerak.
"Eden dah balik?" sapa Siti apabila melalui ruang tamu.
Apabila terdengar namanya meniti di bibir seseorang, Eden berdehem. "Kak Siti ke yang ajar isteri saya semua benda ni?"
"Benda apa?" soal Siti, tak mengerti.
"Ajar Helena berdangdut," balas Eden. Kalau keluarga Helena tahu ni, memang habis dia!
Seorang model berkelas tinggi, anak ahli korporat, Helena yang selalu menjaga tingkah lakunya. Tiba-tiba nyanyi lagu dangdut? Kalau Puan Marissa tahu, memang masak telinganya nanti mendengar leteran.
Siti berpaling. Melihat Helena yang sembunyikan senduk kayu ke belakang badan. "Dia bosan. Tu yang Kak Siti bukakan lagu untuk dia.
"Saya tak tahu nak buat apa. Telefon pun tak ada. Nak tengok TV, tak ada cerita yang best." Helena menyelit. Menyuarakan ketidakpuasan hati.
"Kak Siti boleh sambung kerja," ucap Eden sambil melonggarkan tali leher.
Siti mengangguk, lalu menghilang ke ruangan lain.
"Awak tak malu ke berjoget macam tu?" Eden gelengkan kepala beberapa kali. Memang sah! Ada wayar yang tercabut di kepala isterinya.
"Kenapa nak malu pula? Saya tak pernah buat ke sebelum ni?" Helena pandang Eden yang mendekatinya.
Bukan setakat berjoget, dengar lagu dangdut pun kau tak pernah, Helena! Kata Eden di dalam hati.
"Depan mama jangan buat perangai macam ni." Eden memberi pesan. Nanti tak pasal-pasal, Puan Marissa pula yang sebilik dengan Dira di ICU.
"Kenapa?" tanya Helena, ingin tahu.
Eden letak beg makanan yang dibawa ke atas meja. Soalan isterinya dibiarkan berlalu pergi. Apa yang menjadi keutamaan adalah, lauk yang dibekalkan kepadanya hari ini.
"Saya rasa... awak tak payah masaklah." Eden cuba menyusun ayat. Kalau hari-hari dibekalkan makanan masin seperti ini, semakin pendeklah usianya nanti.
Helena keluarkan bekas berwarna coklat dari dalam beg. Dia melihat tiada sebarang sisa makanan yang tertinggal.
"Kenapa? Saya suka masakkan untuk awak. Saya tak penat pun. Awak tak payah risau, okey?"
Eden rasa seperti mahu menepuk dahinya sendiri. Ayat kiasan tadi sudah memakan diri.
"Bukan macam tu..." Eden menghela nafas panjang. Walaupun masin, namun dia gagahkan diri untuk habiskan suapan kerana mahu menghargai usaha isterinya yang berperang di dapur.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...