BAB 26

2.6K 216 13
                                    

Mika kuis nasi di dalam pinggan. Pandangan melekat pada lauk-pauk yang terhidang di atas meja makan.

"Kalau ada kak El, mesti dia seronok. Semua lauk yang dia suka, ada dekat sini," luah Mika yang masih termenung.

Puan Marissa tak menghiraukan Mika dan teruskan suapan seperti biasa.

"Makan diam-diam, Mika." Ammar bersuara.

Mika sambung suapan sambil hadiahkan jelingan tajam kepada abangnya.

"Sampai bila semua orang nak buang kak El? Mika tahu dia memang salah, tapi tak boleh ke kalau..."

"Sharifah Mikaila!" akhirnya, Puan Marissa buka mulut, menegur anak perempuannya.

"Kenapa, ma? Mama nak marah Mika sebab sebelahkan kak El? Mika tahu mama sedih, mama tak boleh terima semua ni, tapi sampai bila? Mika sedih setiap kali tengok muka kak El." Mika teringat wajah sugul kakaknya, setiap kali mereka bertemu.

"Mika jumpa dia? Mama dah pesan banyak kali, tapi Mika tak nak dengar cakap mama! Sekarang ni, Mika pun nak memberontak macam dia?" Puan Marissa bersandar pada kerusi, tak berselera mahu mengisi perut.

Irha yang jadi pemerhati sejak tadi, perlahan-lahan bangun dan bawa anak kecilnya ke dapur. Dia tidak mahu anaknya melihat pertelingkahan itu.

"Mika jumpa kak El je, tak lebih daripada tu..."

"Kalau Mika jumpa dia lagi, maksudnya Mika rasa dia lagi penting daripada mama. Kalau Mika sayang dia sangat, keluar dari rumah ni. Duduk dengan dia!" nafas Puan Marissa turun naik.

Encik Syed berhenti menyuap. Dia pandang Puan Marissa dan Mika bersilih ganti. Kelihatan masing-masing tidak mahu mengalah.

Melihat Puan Marissa langsung tidak menyebut nama Helena, kini Mika pasti yang mamanya sudah buang Helena daripada hidupnya.

"Mika..." tegur Encik Syed perlahan.

"Babah dengan abang Am pun asyik salahkan kak El! Takde sesiapa yang nak dengar penjelasan dia. Adil ke untuk kak El?" Mika perhati setiap wajah yang ada di situ, dengan pandangan tajam.

"Ni soal maruah, bukan perasaan." Ammar menyampuk.

"Maruah?" Mika tertawa kecil, tawanya kedengaran seperti mengejek Ammar.

"Dari apa yang Mika tahu, semua ni jadi sebab nak jaga nama baik syarikat. Neowood lagi penting daripada kak El, kan? Kalaulah dia tahu semua orang pilih Neowood daripada dia..." Mika menggelengkan kepala beberapa kali, mengasihani nasib Helena.

"Mika!!!" suara Ammar mula memetir.

"Jangan biadab depan mama dengan babah!" kalau ikutkan hati, mahu saja dia menampar mulut celupar adiknya itu.

"Jangan ingat Mika diam, Mika tak tahu apa-apa. Tak sangka semua orang dalam rumah ni, pilih untuk jaga nama Neowood daripada pertahankan kak El. Sekarang zaman dah moden, kita boleh usaha macam-macam cara untuk buktikan apa yang lelaki tu cakap. Ni tak, semua terima bulat-bulat apa yang dia cakap! Takde seorang pun yang cuba dengar penjelasan kak El. Mika kecewa, kecewa dengan semua yang ada dekat sini," suara Mika mula berubah serak.

"Benda dah jadi, Mika. Tak guna kita bahaskan topik ni," jawab Ammar sambil berpeluk tubuh.

Mika angguk, setuju dengan kenyataan itu.

"Dah lebih dua bulan, ada apa-apa jadi dekat kak El? Dia tak mengandung pun! Kalau abang Am bantah pernikahan tu, mesti semua ni takkan jadi," luah Mika lagi.

"Babah yang tentukan, bukan abang Am," kata Ammar sebelum bangun daripada duduk dan berlalu pergi.

"Seorang terlalu percayakan orang luar, seorang lagi sanggup buat apa saja sebab pertahankan nama baik syarikat. Tahniah! Tahniah sebab gadaikan kak El!" Mika jeling kedua orang tuanya sebelum meninggalkan meja makan.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now