Encik Syed pandang anak perempuannya yang selalu pulang lewat malam sejak kebelakangan ini.
"Helena..." dia memanggil anak perempuannya yang tergesa-gesa naik ke tingkat atas.
Kaki Helena yang baru berada di anak tangga pertama, terhenti. Dia pandang Encik Syed yang berada di ruang tamu.
"Ya, babah." Helena menyahut, namun kaki masih melekat di posisi yang sama.
"Sini kejap. Ada benda yang babah nak tanya." Encik Syed beri arahan.
Dengan langkah yang berat, Helena menuju ke ruang tamu. Dia duduk bertentangan dengan Encik Syed.
"Kenapa selalu balik lewat?" Encik Syed bimbang keselamatan anak perempuannya.
"Kerja El habis lambat," jawab Helena tenang, walaupun dia sudah tak senang duduk.
"El masih ingat janji El sebelum ni?" Encik Syed mahu mengingatkan anaknya tentang perkara itu.
Helena mengangguk. Encik Syed bersetuju Helena memilih karier ini, dengan syarat dia harus menjaga nama baik keluarga.
"Dari awal mama tak setuju, tapi babah percayakan El. Jangan kecewakan babah, boleh?" Encik Syed pandang Helena yang tertunduk daripada tadi.
Helena mengangguk sekali lagi.
"Siapa lelaki tu?" soal Encik Syed.
Helena angkat wajah. Haider!
"Haider. Babah jangan risau, kita orang tak ada apa-apa hubungan macam yang media tulis," terang Helena, takut babahnya salah faham.
Encik Syed mengangguk. "Babah diam, tak bermaksud babah tak tahu apa-apa. Babah hormat El pilih dia, tapi....
Detak jantung Helena mula bertukar rentak.
"Babah tak suka dia bawa anak babah kehulu-hilir, balik tengah malam, hantar El balik, tapi langsung tak masuk rumah ni jumpa babah dengan mama," luah Encik Syed.
Helena gigit bibir. Lelaki itu bukan teman lelakinya yang betul, jadi mustahil baginya untuk perkenalkan Haider kepada keluarga.
"Selalunya, Rai yang hantar El balik. Tapi, Rai ada emergency. Kebetulan Haider ada dekat situ, dia yang beriya-iya nak hantar El," terang Helena. Cuma sekali Haider menghantarnya pulang ke rumah.
"Betul El tak ada apa-apa dengan dia?" tanya Encik Syed sekali lagi, ingin pastikan.
"Betul, kita orang rapat sebab nak naikkan nama masing-masing je," jawab Helena tanpa berselindung.
"El tahukan, El tak perlukan semua tu? Babah tak nak El sampai sanggup malukan diri, semata-mata nak kejar populariti." Encik Syed mengingatkan.
Helena mengangguk faham.
"Dunia kita berbeza. Babah tak nak orang-orang sekeliling babah, cakap yang bukan-bukan pasal El. Babah tak nak dengar orang kata babah tak pandai jaga anak, El suka tukar-tukar pasangan, El macam ni, macam tu," ucap Encik Syed yang risau.
"Babah jangan risau. El selalu ingat pesan babah." Helena menghadiahkan senyuman paling manis, tidak mahu lelaki di hadapannya susah hati.
"Apa kata El tolong abang Am?" Encik Syed mencuba sekali lagi, memujuk anaknya. Sudah banyak kali tawarannya itu asyik ditolak.
"Babah nak suruh El kerja bawah abang Am? Ish, tak naklah!" Helena menggeleng laju. Sudahlah abangnya itu seorang yang tegas dan sentiasa mahukan yang terbaik dalam sesuatu hal. Nanti tak pasal-pasal, dia gila kerana setiap hari tertekan.
Encik Syed tertawa melihat reaksi anak perempuannya.
"Pergi naik atas, rehat." Encik Syed mengeluarkan arahan.
Helena dengan pantas membuka langkah, naik ke tingkat atas setelah mendapat lampu hijau daripada babahnya.
Selepas membersihkan diri, Helena melihat skrin telefon bimbit yang mengeluarkan cahaya. Jarinya menyentuh skrin dan membaca pesanan yang diterima.
Saya dah sampai - Nina
Bibir Helena mengukir senyum. Tidak sabar mahu menjayakan misi yang sudah diatur rapi.
Helena melepaskan anting-anting yang melekat pada telinga dan diletakkan ke atas meja. Bola mata tertancap kepada Rai yang asyik melirik.
"Kau nak cakap apa?" Helena masih melihat pantulan Rai melalui cermin di hadapannya.
Rai tarik kerusi dan duduk di sebelah Helena yang sedang membersihkan mekap. "Aku rasa dah dekat sebulan aku tak nampak Nina. Kau bagi dia kerja apa?"
"Kau macam tak tahu syarikat babah tu macam mana. Pagi petang siang malam sibuk. Tu yang dia asyik tolak job dekat sini," bohong Helena.
Rai hanya mengangguk.
"Lagi satu, El. Sejak kebelakangan ni kan... Aku perasan yang kau macam dah lain..."
"Lain macam mana pula?" potong Helena, dia kerling Rai.
Rai menggaru kepala sambil menyusun ayat.
"Sekarang ni, bila kau angkat call mesti kau macam menyorok daripada aku. Bukan setakat call, setiap kali kau pegang telefon, mesti kau lari jauh-jauh daripada aku. Ada apa-apa yang kau sorokkan ke?" Rai mula curiga.
Sebelum ini, Helena selalu serahkan telefon bimbitnya kepada Rai untuk dipegang sewaktu dia sibuk bekerja. Sekarang, wanita itu lagi lebih gemar tinggalkan telefon bimbit di dalam tas atau dipegang dan dibawa ke mana-mana saja dia berada.
"Oh, tu?" Helena angkat sebelah kening. Fikiran dikerah mencari ayat untuk digoreng.
"Haider. Takkan aku nak cakap depan kau? Takde privacylah." Helena sengaja menggunakan nama Haider. Sedangkan sewaktu lelaki itu menghubunginya, pasti ia dibiarkan tak berjawab.
"Kau dengan dia ada apa-apa ke?" Rai mengecilkan mata.
"Dia tu memang baik, tapi entahlah. Bukan taste aku," jawab Helena bersahaja. Kapas muka yang digunakan, diletakkan di atas meja.
"Habis tu, taste kau macam mana?" soal Rai.
"Kaya," jawab Helena pendek sebelum lengannya dipukul Rai.
"Kau ni, tengoklah kiri kanan sebelum bercakap. Kalau orang dengar nanti, keluar gosip kata kau mata duitan pula." Rai melihat kiri dan kanan mereka, takut ada makhluk yang lalu.
Helena tersengih.
"Kau nak kaya macam mana lagi, tak cukup ke harta keluarga kau tu?" Rai menghadiahkan jelingan.
Helena bangun seraya mengepit tas tangan. "Hantar aku pergi hospital."
"Tak payah banyak tanya. Aku nak pergi melawat mak kawan aku," terang Helena apabila melihat Rai yang sudah sedia membuka mulut.
Rai hanya mengangguk.
Helena melihat wanita di hadapannya. Wayar-wayar yang berselirat, bersambung sana sini di tubuh wanita itu.
Dia sudah menjelaskan bayaran yang tertunggak bagi pihak Nina, kerana Nina sudah bersetuju untuk membantunya.
Saban hari dia menunggu khabar daripada Nina, tentang perkembangannya di sana. Dia harap semuanya berjalan lancar dalam tempoh tiga bulan yang akan datang.
Jika ia tak berjalan lancar, dia harus memikirkan pelan lain pula kerana sudah bazirkan masa dan wang ringgit.
Duit yang ditabur bagi menjayakan rancangannya itu, bagaikan air terjun kerana tak henti keluar. Ditambah pula, nilai mata wang yang digunakan Nina berbeza dengan Malaysia.
Selesai menghantar gambar kepada Nina, telefon bimbit dimasukkan semula ke dalam kocek seluar.
Helena menunduk sedikit, apabila seorang jururawat lalu di sebelahnya. Topi yang berada di atas kepala, dibetulkan sedikit dan dia melangkah keluar daripada Hospital Madden.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...