Bab 45

2.1K 258 27
                                    

Helena melihat hujan yang sedang turun dengan lebatnya di luar. Hari ini dia menemani Eden ke satu majlis. Ini adalah majlis pertama yang dihadiri Helena sejak kemalangan yang menimpanya.

"Lebatnya hujan," tutur Eden yang fokus pada pemanduan.

"Bukan hujanlah." Helena gerakkan leher ke sisi.

Eden kerutkan dahi. Tak mengerti. "Habis tu?"

"Rain-du," tutur Helena, bersahaja.

Eden yang mendengar jawapan itu, berpaling ke arah isterinya yang sudah tersenyum lebar.

"Awak ada ambil apa-apa ubat selain dari ubat hospital ke?" Semakin hari, semakin menjadi-jadi pula sikap Helena.

"Ada."

"Ubat apa?" Eden mula bimbang.

"Ubat gigi," jawab Helena yang kemudian ketawa.

Eden turut ketawa bersama Helena. Entah dari mana isterinya mendengar lawak jenaka seperti itu.

"Saya suka lagu ni." Helena kuatkan suara radio yang sedang berkumandang.

Eden kembali fokus pada pemanduan. Disebabkan hujan lebat, jadi mereka mengambil masa agak lama untuk tiba di destinasi yang dituju.

Mengapa Tuhan pertemukan,

Kita yang tak mungkin menyatu,

Aku yang telah terikat janji,

Engkau pun begitu.

Helena pandang Eden yang tiba-tiba perlahankan radio. Sedangkan dia baru saja mahu mula menyanyi. Pandangan Eden bertaut dengannya, seperti ada yang tak kena.

"Awak nyanyi lagu apa ni?" Eden tak puas hati dengan lirik yang dinyanyikan isterinya tadi.

"Lagu Afgan. Kenapa?" soal Helena pula yang kehairanan.

"Lain kali, jangan dengar lagu macam tu." Dia rasa seperti orang ketiga pula apabila meneliti setiap bait lirik tersebut.

"Kenapa?"

"Jangan degil!" tutur Eden yang tak mahu menerangkan alasannya.

Helena menghadiahkan jelingan. Jari menyentuh skrin dan suara radio kembali berkumandang.

"Tengok sekarang, lagu dia dah habis!" ujar Helena yang tak puas hati kerana sesi karaokenya tadi terganggu.

"Siapa ajar dengar lagu macam tu?" Setahu Eden, Helena bukan penggemar muzik kerana baginya ia hanyalah satu bunyi bising.

"Kak Siti."

Apabila mendengar jawapan itu, Eden rasa dia perlu menjauhkan dua orang manusia itu. Kalau sebelum ini, isterinya tiba-tiba berdangdut di dapur, dan sekarang menyanyi di dalam kereta pula. Tak mustahil ada perkara lain yang bakal berlaku.

Kalau ia terjadi di hadapannya, tak apa. Buatnya Helena tiba-tiba berkelakuan seperti itu di hadapan Puan Marissa atau Encik Syed? Haru!

"Awak tak ada kawan lain ke? Asyik berkawan dengan Kak Siti, sampai dah terikut perangai dia."

Helena pusingkan badan ke arah Eden sedikit. "Macam mana nak ada kawan, saya nak keluar rumah, awak tak bagi. Saya nak jumpa kawan, tu pun awak tak bagi juga. Saya bosan dekat rumah tu tau. Dahlah tak ada phone." Helena menyuarakan isi hati yang sudah lama dipendam.

Selama ini, dia mendiamkan diri kerana Eden selalu berpesan yang dia mahu Helena beri tumpuan sepenuhnya kepada kesihatan. Tapi, risau pula apabila sudah sihat nanti, dia gila pula.

"Nanti kita beli." Eden dapat menangkap suara Helena yang berubah seperti anak kecil yang sedang protes.

Helena bersorak di dalam hati. Badan kembali disandarkan pada kerusi.

Cinta Berakhir BahagiaWhere stories live. Discover now