Eden tak henti mengucapkan terima kasih kepada mereka yang sentiasa membantunya, sepanjang dia menjadi duta di negara ini.
Hari ini, mereka mengadakan majlis perpisahan kerana tugasnya bakal berakhir pada esok hari. Selepas itu, dia akan pulang ke Malaysia.
"H.E balik Malaysia mesti nak kahwin, kan?" tanya seorang wanita.
H.E bermaksud 'His Excellency' atau 'Yang Mulia'. Gelaran ini biasanya digunakan untuk pegawai tinggi negara.
"Jangan lupa jemput kita orang," seorang pegawai menyampuk.
Eden hanya membalas dengan senyuman. Dia yang melihat Zaf beri isyarat daripada jauh, terus meminta diri.
"Tuan, emergency," bisik Zaf.
Eden buat isyarat, supaya lelaki itu meneruskan ayatnya.
"Kawalan trafik udara tak dapat nak hubungi Aeris Air," terang Zaf.
"Ada rakyat Malaysia?" Eden mula rasa tak sedap hati setelah melihat Zaf yang mengangguk.
"Ada 15 orang, 6 orang pelajar dan 9 orang pelancong," tutur Zaf lagi.
Eden melihat jam tangan yang berada di nombor dua. Berkemungkinan dia terpaksa tunda pulang ke Malaysia, selagi kes ini belum selesai.
"Lagi?" Eden minta penjelasan lebih terperinci.
"Aeris Air dari Kuala Lumpur, transit ke Doha. Dari Doha nak ke Brussels, tiba-tiba pengawal udara tak boleh nak hubungi AS185. Dah banyak kali menara kawalan cuba, tapi tak ada tindak balas langsung," terang Zaf panjang lebar.
Eden terdiam seketika. Pasti ada sesuatu yang berlaku jika menara kawalan tak dapat menghubungi pesawat itu.
"Apa yang semua orang risau sekarang ni, takut kapal terbang tu kena hijack," tambah Zaf lagi dan dia melihat wajah Edeh yang berubah risau.
"Berapa orang dalam tu?" Eden tak dapat bayangkan keadaan negara yang terlibat, kalau kapal itu ditawan.
"198 penumpang dengan 11 orang kru, jumlah 209 orang," jelas Zaf.
Eden mengangguk. Dia kerling ruangan yang ditinggalkan tadi, melihat beberapa orang yang mula berbisik sesama mereka sambil menunjuk skrin telefon bimbit.
Dia pasti berita kehilangan pesawat itu, sudah penuh di portal media. Eden kembali ke dunia nyata, apabila terdengar Zaf memanggil namanya berulang kali.
"Tuan Eden?" Zaf melambaikan tangan.
Eden berdehem seketika.
"Datuk Seri Azmi telefon, mesti dia nak cakap dengan tuan." Zaf tunjuk skrin telefon bimbitnya yang bercahaya.
Eden mencapai objek tersebut dan dilekapkan ke telinga. Kalau menteri pengangkutan yang menghubunginya sendiri, pasti keadaan sedang serius.
Rai senggol lengan Helena yang berada di sebelah dan dibalas dengan jelingan tajam. Dia mengulangi perbuatannya sekali lagi.
"Kau nak apa? Bagilah aku rehat kejap." Helena kembali menutup kelopak mata.
"Kau tak baca berita ke?" soal Rai yang mengerutkan dahi.
"Aku ada setengah jam je nak rehat. Kita borak nantilah." Helena dibenarkan rehat selama 30 minit, kerana sesi fotografi hari ini berlarutan hingga larut malam.
Rai menggaru kepala kerana Helena kelihatan tenang, seolah-olah tiada apa yang berlaku.
"Eden..." sebaris nama terpancul di bibir Rai dan automatik Helena buka mata melihat sekeliling.
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...