Eden kerling Helena yang sedang meneliti ruang tamu, seperti tidak pernah jejakkan kaki di rumah ini.
Doktor khabarkan yang Helena hilang ingatan, ianya berpunca daripada kemalangan yang menimpanya. Hentakan kepala pada dashboard kereta menyebabkan dia berada di situasi ini sekarang.
Sewaktu mahu bawa Helena pulang tadi, dia sempat bertekak dengan keluarga Helena. Mereka mahu Helena pulang bersama mereka kerana apa yang berlaku kepada Helena adalah berpunca daripadanya.
Disebabkan mahu menjaga air muka dan tak mahu Puan Nafisah curiga tentang rumah tangganya, jadi dia harus pastikan Helena pulang bersamanya.
Tambahan pula, dia curiga dengan Helena yang langsung tak mengingati apa-apa termasuk ahli keluarganya.
"Kita memang suami isteri ke?" Helena bersuara setelah lama meneliti ruang tamu.
Eden keluarkan sesuatu dari dompet dan disua tepat di depan mata Helena.
"Awak paksa saya kahwin dengan awak ke?" Helena tolak tangan Eden yang memegang kad kahwin.
"Maksudnya?" Dahi Eden berkerut. Tak mengerti maksud soalan itu. Adakah memori Helena sudah perlahan-lahan kembali?
"Setiap kali tengok muka awak, saya tak dapat rasa apa-apa perasaan. Hati saya rasa kosong. Rumah ni pula, langsung tak ada seri. Gambar kahwin kita pun tak ada?" Luah Helena yang tertanya-tanya.
Eden garu belakang leher. Pening memikirkan jawapan kepada soalan itu. Dia yang beria-ia mahu bawa isterinya pulang, jadi dia perlu menjawab semua soalan itu dengan teliti.
"Betul ke kau tak ingat apa-apa?" Eden masih tak boleh terima keputusan perubatan yang didengari dari mulut doktor beberapa hari lalu.
"Kau?" Selama ni awak panggil saya macam tu ke?" Kini giliran Helena pula yang mengerutkan dahi.
Eden berdehem beberapa kali. "Tak, a... aku... bang..."
Helena perhatikan Eden yang seperti berperang dengan diri sendiri. "Hah?"
Eden tarik nafas panjang, cuba tenangkan diri supaya Helena tak berasa curiga tentang hubungan mereka.
"Abang!" kata Eden sambil mengetap bibir.
Helena berpeluk tubuh. Masih tak puas hati dengan panggilan itu.
"Kita kenal dari zaman sekolah lagi. Ak... bang kadang-kadang terlepas perkataan tu," jawab Eden yang berlagak tenang walaupun hampir terlepas kata ganti nama itu sekali lagi.
"Jadi, kita bercinta dari sekolah sampai sekarang?" Helena masih tak mengalihkan pandangan dari Eden yang mengangguk laju.
"Kita sama-sama suka?" Jari telunjuk Helena bergerak ke arahnya dan Eden, bersilih ganti.
Eden mengeyakan.
"Saya suka awak dulu atau awak yang suka saya dulu?"
"I'm your first love, Helen," jawab Eden sambil gelengkan kepala. Tak tahu saki baki memori yang mana masih ada di kepala Helena.
Helena tutup mulut yang sudah menganga.
Eden perhatikan Helena yang masih terkejut dengan kenyataannya tadi. Dia mula melangkah, naik ke tingkat atas.
"Macam mana saya boleh suka dekat orang yang sama, selama berbelas tahun?" Helena melihat Eden yang jongketkan bahu.
"Tapi, kenapa tak ada satu pun gambar kahwin kita?" Helena ulang semula soalannya tadi.
Kaki Eden terhenti di hadapan sebuah pintu. Dia berpaling ke belakang, melihat Helena yang masih menunggu jawapan.
"Waktu tu awak yang beria-ia ajak abang kahwin, sebab takut abang tersuka orang Belgium. Kita kahwin pun secara mengejut."
YOU ARE READING
Cinta Berakhir Bahagia
RomanceAgency Series (3) Siapa sangka kekasih hati yang hilang tanpa kata, muncul semula menghantui hidup Sharifah Helena. Kini, Eden Zahrin kembali sebagai bakal suami kepada sepupu Helena. "You were my biggest mistake, Helena." - Eden Zahrin Rancangan di...