Tubuh yang tersandar lemah pada kerusi terus ditegakkan apabila menyedari figura yang bergerak-gerak di atas katil. Penuh kerisauan Asyrah bangkit lalu mendekati Umaira yang baru membuka mata setelah seharian tidak sedarkan diri.
Sepanjang malam dia di sini menemani Umaira. Tak betah hendak membiarkan sahabatnya sendirian. Disebabkan itu juga, dia meminta cuti daripada Jelita atas alasan urusan penting. Dia mahu menjaga Umaira sehingga gadis itu sihat seperti selalu.
"Umai..." Asyrah menyentuh lembut bahu sahabatnya. Wajah Umaira masih pucat dengan bibir yang kering.
"Mana... ni?" Sepatah-sepatah dia mengeluarkan suara kerana tekak yang terasa perit.
"Kau dekat hospital. Kau pengsan dalam bilik semalam." Beritahu Asyrah, menjawab soalan Umaira.
Umaira menelan liur payah.
"Aku panggil doktor sekejap."
Asyrah mahu berlalu keluar dari situ tetapi tangan Umaira yang memaut pergelangan tangannya terus membantutkan langkahnya. Pandangan dihalakan kepada Umaira sambil menunggu kata-kata daripada gadis itu.
"Aku... minta maaf. Aku... dah... susahkan kau." Tuhan sahaja yang tahu bagaimana sakit celah rengkungnya untuk menutur kata. Entah bagaiman dia boleh jadi selemah ini.
Asyrah mengeluh. "Kenapa cakap macam tu? Tak ada istilah menyusahkan, Umai. Kau kan tengah sakit. Aku sebagai kawan kau, mestilah aku akan tolong apa yang aku mampu." Tangan Umaira digenggam lembut sambil menghulur senyum tipis, memberi semangat. Dia tak mahu Umaira terus memikirkan yang bukan-bukan.
"Umai... lepas ni kalau kau ada apa-apa masalah, ceritalah dengan aku. Jangan pendam sorang-sorang. Aku tak tahu apa yang jadi pada kau. Tengok-tengok kau dah terbaring atas lantai macam tu. Aku risau tau!" Lanjut Asyrah bersama desah nafas yang resah.
Umaira cuba untuk ukir senyum biarpun payah.
"Doktor cakap kau kurang rehat. Tekanan darah kau pun rendah. Kau lemah sangat semalam, tahu tak?"
"Biasalah, Asy... kerja banyak dekat pejabat. Nak kejar dateline lagi, projek baru lagi." Dia rasa mahu tergelak dengan alasan sendiri. Biarpun mulut lancar menuturnya, hati terasa perit dengan kebenaran di sebalik penipuan itu. Takkan dia mahu membebani Asyrah dengan menceritakan apa yang telah berlaku padanya sejak kebelakangan ini? Dia tahu Asyrah juga sibuk kerana sering pulang lewat malam.
"Kalau ya pun banyak kerja, jangan sampai memudaratkan diri sendiri. Kerja tu semua takkan pernah habis, Umai." Kesal Asyrah meningkah kata-kata Umaira. Dia tak suka gadis itu terlalu mementingkan kerja berbanding kesihatan diri.
Umaira hanya menyepi sambil merenung Asyrah. Entah mengapa, apabila melihat gadis itu membebel itu ini, dia rasa dihargai. Dia rasa seperti masih ada yang mengambil berat tentangnya. Sudah lama dia tidak merasa begini sejak kematian ibu bapanya lima tahun lepas.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...