Beberapa minit duduk bersebelahan, Puan Insyirah masih menyepi sambil merenung Asyrah tidak lepas. Gadis itu jadi termalu sendiri. Takut juga jika dia ada buat kesalahan kepada wanita itu. Hati turut berdebar sambil menanti apa yang mahu dibicarakan Puan Insyirah.
"Mak... mak ada nak cakap apa-apa dengan Asy?" Diberanikan juga diri untuk bersuara. Kalau terus berdiam diri begini, mungkin Asyrah boleh rebah bila-bila masa kerana tak sanggup menahan debar.
Puan Insyirah akhirnya senyum. Tangan Asyrah di atas riba gadis itu diambil lalu digenggam lembut.
"Ingat tak, mak pernah cakap, kalau mak ada anak lelaki lain, mak dah jadikan Asy menantu mak?"
Asyrah mengangguk mengiakan, tanda dia mengingatinya.
"Tapi, Allah tu Maha Mengetahui, kan? Asy tetap jadi menantu mak."
Asyrah senyum kelat. Menantu terpaksa, ujarnya sekadar dalam hati.
"Mak tahu apa yang dah jadi antara Asy dan Yad."
Asyrah terdiam. Adakah Fayyad telah menceritakan segala-galanya?
Puan Insyirah hela nafas dalam. "Waktu mak dapat tahu, hanya satu soalan yang mak nak tanya pada Asy."
Asyrah menanti soalan yang mahu diajukan wanita itu.
"Kenapa sanggup buat macam ni?"
Kepala tertunduk ke bawah. Walaupun soalan itu pernah ditanyakan kepadanya sebelum ini, tetapi apabila Puan Insyirah yang bertanya, Asyrah jadi mati kata. Fikiran mula kosong.
"Kenapa sanggup berkahwin dengan Yad untuk penuhi permintaan Umai? Ya mak tahu, Umai cuma ada Asy yang paling rapat. Tapi, mak yakin, Umai bukan nak tengok Asy terseksa berkahwin dengan suami dia yang sah-sah..." Puan Insyirah menggeleng. Dia mahu memberitahu bahawa Fayyad tidak cintakan Asyrah. Namun, dia tak dapat habiskan ayat.
Asyrah menelan air liur kesat. Pandangan naik memandang Puan Insyirah. Seperti selalu, bibir masih terhias dengan senyuman biarpun terpaksa.
"Sebab... Asy tak sanggup nak tengok Uqael diabaikan. Uqael tu anak Umai, anak kepada sahabat Asy. Orang yang terdekat dengan Asy juga. Bila Asy tengok Uqael, Asy nampak Umai. Jadi... Asy dekat sini, cuma nak pastikan tuan jaga Uqael baik-baik."
"Yad tu dah besar, Asy. Bukan budak kecik lagi. Dia tahu mana baik mana buruk. Ramai lagi orang lain yang boleh tolong dia. Bukannya menyusahkan Asy macam ni." Bidas Puan Insyirah yang kurang bersetuju dengan bicara Asyrah. Baginya, Asyrah terlalu baik. Dia takut Fayyad akan ambil kesempatan.
"Betul. Tuan ada ramai orang yang boleh tolong dia. Tapi Umai cuma ada saya, mak. Dia tak ada orang lain lagi yang boleh dia minta tolong." Jawab Asyrah lagi. Tenang, namun jauh di sudut hati, bagai gempa bumi, segalanya berantakan.
Puan Insyirah pula terdiam. Dia hanya dapat mengeluh.
"Asy... mak harap Asy kuat. Kalau satu hari nanti, Asy putus asa, ataupun Asy penat, mak harap Asy fikirkan diri sendiri. Mak harap Asy cari kebahagiaan sendiri, ya nak?"
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...