Kedua-dua mereka melepaskan lelah di atas sofa setelah pulang dari kampung. Walaupun hanya memakan masa tidak lebih dua jam, tapi masih dapat dirasai kepenatannya kerana mereka tinggal untuk semalam sahaja.
Fayyad pandang kipas siling sambil rehatkan kepala pada penyandar sofa.
Asyrah turut sandarkan belakang badan, duduk tidak jauh daripada suaminya.
Sepi.
"Hmm, sunyi pula tak ada suara baby." Fayyad meliarkan mata ke sekeliling.
Asyrah senyum tipis. Dalam diam, dia turut bersetuju. Sebelum ini, dia banyak sibukkan diri dengan menguruskan Uqael. Tapi, apabila Uqael tiada, dia rasa masanya terlalu banyak pula.
"Tak sampai sehari lagi, tapi aku dah mula rindukan Uqael." Luah Fayyad lagi.
"Sama lah. Selalunya dengar suara dia, tapi... sunyi pula hari ni." Di kampung tadi, bukannya Uqael yang menangis kerana ditinggalkan tetapi Fayyad dan Asyrah yang sukar hendak melepaskan.
Fayyad angkat kepala seraya memandang Asyrah. Asyrah terpinga-pinga apabila direnung begitu.
"Kenapa?"
"Kita balik kampung semula, nak?"
Terlepas tawa kecil dari bibir Asyrah. "Tuan jangan nak buat kerja gila. Tuan lupa ke tuan sibuk?"
Fayyad mengeluh. "Betul juga tu. Aku esok ada meeting. Tak tahu lagi balik pukul berapa. Kau boleh ke duduk sorang-sorang?"
Asyrah mengerut kening mendengar persoalan tersebut.
"Saya okey aje lah, tuan." Dia ketawa di akhir ayatnya. Fayyad ingat dia budak-budak lagi ke?
Fayyad mengangguk mengerti. Tiba-tiba, dia mengusap perut sendiri.
"Laparlah." Bicara terluah perlahan.
"Tuan nak makan ke?"
Fayyad angguk sambil sengih.
"Tapi, saya rasa ada mi segera aje dekat dapur tu. Barang masak dah banyak habis. Tuan okey ke nak makan mi segera aje?"
"Lah, kenapa tak bagitahu? Kalau tak, kita boleh terus pergi beli tadi."
"Dah malam dah ni, tuan. Kita gerak dari rumah tadi pun dah nak senja. Tutup dah supermarket." Disebabkan mereka masih mahu meluangkan masa bersama Uqael, mereka membuat keputusan untuk gerak lebih lewat.
"Tak apalah, kalau aku balik awal esok, kita pergi beli."
"Tuan tak perlu risau pasal tu. Saya boleh keluar sendiri esok. Tuan fokus aje kerja tu." Asyrah sandarkan kepala pada kepala sofa.
"Eh, mana boleh! Kau larat ke nak angkat barang banyak-banyak tu? Tak apa, tunggu aku balik. Kita pergi sama-sama." Fayyad mengangguk meyakinkan isterinya.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...