Telefon jatuh ke lantai. Seluruh tubuh menggigil hebat. Manik-manik kaca mula mengalir membasahi wajah tanpa dapat ditahan. Kepingan gambar yang dihantar kepadanya tadi cukup menghiriskan hati. Jantung bagai mahu luruh.
Patutlah dia menunggu lelaki itu balik tetapi Fayyad masih tidak kelihatan. Rupa-rupanya Fayyad sedang bersuka-ria dengan perempuan lain.
Tiada kata yang mampu diungkap. Dia benar-benar buntu. Mengapa Fayyad boleh pergi sejauh ini? Mengapa Fayyad boleh berubah seteruk ini? Ataupun... ini memang sikap lelaki itu daripada dulu?
Bagai tak rasa kaki yang menjejak tanah, sedikit demi sedikit dia melangkah mendaki tangga. Tubuh Uqael diambil dari bilik untuk dibawa turun. Siap memakai tudung serba ringkas, Asyrah keluar dari rumah. Sempat diambil kunci kereta.
Tak sanggup dia menunggu dalam keadaan tak keruan seperti ini. Sesiapa pun takkan boleh tenang. Suami sendiri berfoya-foya dengan perempuan di kelab malam, siapa yang boleh tenang? Takkan!
•••
Fareeq dan Jelita saling berpandangan. Hairan apabila Asyrah muncul di depan rumah mereka tanpa sebab. Wajah wanita itu tampak teruk, seperti baru lepas menangis. Apabila diajak masuk, Asyrah menolak. Sudahnya, mereka berdiri di muka pintu.
"Kenapa ni?" Soal Fareeq. Jauh di sudut hati, dia mula memikirkan yang buruk. Hati berdebar tak sudah.
"Awak datang dengan siapa, Asy? Mana Fayyad?" Soal Jelita pula. Melihat keadaan Asyrah, dia jatuh simpati. Apa yang telah terjadi?
Asyrah menarik dan menghembus nafas untuk menggali secebis ketenangan.
"Saya... minta maaf... kalau mengganggu Abang Eeq dan Kak Jelita." Asyrah mula bersuara, kedengaran serak.
"Saya datang sini nak jumpa Abang Eeq." Wajah Fareeq dipandang.
Fareeq terkedu. Namun, dia masih menunggu bicara seterusnya daripada wanita itu.
Asyrah keluarkan telefon dari dalam beg. Setelah telefonnya menyala, dia serahkan kepada Fareeq dengan tangan yang menggeletar. Tubir mata kembali bertakung.
Bagai mahu rebah tubuhnya apabila melihat gambar yang diberikan Asyrah. Tak terbayang bagaimana perasaan Asyrah sebagai isteri untuk melihat kesakitan seperti ini. Dia yang sentiasa gagah, kuat di depan sesiapa pun rasa seperti luruh jantung melihat gambar yang mengaibkan itu.
Jelita hanya mampu terdiam. Dia seperti dapat merasai perasaan Asyrah kerana mereka sama-sama perempuan.
"Abang Eeq... ini dekat... kelab malam, kan?"
Fareeq tidak mampu bersuara, benar-benar terkejut.
"Abang Eeq, boleh tak tolong bawa saya ke kelab yang Fayyad selalu pergi?"
Ini lebih mengejutkan Fareeq. Apa yang Asyrah cuba lakukan?
"Awak nak buat apa pergi sana?" Dia menyoal perlahan.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomantiekSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...