Duduk di tepi tingkap sambil meliarkan mata ke sekeliling. Pandangannya kosong, tetapi sepasang mata itu sentiasa mencurahkan air sehingga dia tak berdaya lagi untuk menyekanya. Semakin ditahan, semakin banyak.
Bibir yang terkatup rapat sedikit demi sedikit keluarkan tangisan. Tangisan kecil pada mulanya, menjadi esakan kasar yang memilukan.
Sebagai orang ketiga dalam kisah mereka berdua, Asyrah tak pernah terdetik di hati untuk merampas kebahagiaan wanita lain, terutama sekali jika wanita itu sahabatnya sendiri. Kalaulah mereka tahu seberapa besarnya perasaan bersalah dalam diri ini, pasti mereka takkan lancangnya menggelarnya 'perampas'.
Tidak dinafikan, tidak kuat sebenarnya untuk melawan perasaan yang bercampur baur. Sukar untuk menahan setiap godaan dan hasutan yang mengganggu mental dan emosinya. Namun, setiap kali itu juga, Asyrah akan kumpul semula sebanyak mungkin kekuatan yang tersisa untuk tidak berbuat perkara terkutuk itu. Dia bukan perampas. Dia bukan perosak rumahtangga orang.
Jika orang lain yang berkata begitu kepadanya, dia mungkin boleh terima. Tetapi, apabila ayat itu keluar dari mulut sahabat sendiri, sakitnya tidak dapat ditahan. Lukanya tidak sembuh malah semakin berdarah.
Selama ini, dia buat segalanya untuk orang sekeliling. Sikit pun dia tak fikirkan diri sendiri. Kerana dia tahu, dia tak sepatutnya terlalu mengikut rasa hati. Dia yakin dia dapat pulih dan sembuh seiring dengan waktu.
Hingga ke saat ini pun, Asyrah tak pernah salahkan sesiapa, melainkan diri sendiri. Kalau dia jaga hati elok-elok, pasti takkan mudah jatuh cinta. Kalau dia berhati-hati dalam mencintai, pasti dia takkan suka lelaki yang telah menjadi milik orang lain. Dia terlalu mudah dipermainkan, hingga orang dengan senang hati mengambil kesempatan ke atasnya.
Kecewa. Itu sahaja yang dapat dia rasa sekarang. Kecewa kerana sahabat sendiri tidak mempercayainya. Sahabat sendiri sanggup 'membuangnya' hanya kerana seorang lelaki. Sahabat sendiri tegar bertikam mulut dengannya hanya kerana dia dianggap 'perampas'.
Asyrah sandarkan kepala ke tingkap. Tangisan tadi tidak terlalu kuat lagi. Yang tinggal hanya air mata yang tidak surut.
•••
Berdiri di depan cermin, kosong tanpa riak. Tangan naik menyentuh muka yang lebam sana sini. Kalau orang salah anggap, mesti akan fikir dia didera.
Bukan dia tak kuat untuk melawan dan pertahankan diri, tetapi dia fikirkan Umaira yang sedang mengandung. Kalau apa-apa jadi pada wanita itu terutama sekali kandungannya, lagi bertambah rasa bersalah Asyrah. Disebabkan itu, dia telan semuanya sendiri walaupun seluruh tubuh terasa sakit.
Lagipun, dia sedar dia salah. Jadi, dia memang layak terima semua itu. Siapa lagi yang harus dipersalahkan kalau bukan diri sendiri?
"Macam mana kau nak pergi kerja kalau macam ni muka kau, Asy?" Dia menyentuh hujung bibir sebelum bibir meringis sakit.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...