Penutup botol dibuka untuk dicuci. Setelah itu, dia membancuh susu formula dengan air panas dan dicampur juga air suam. Kemudian, dia menggoncang sehingga susu menjadi larut.
"Kak Su..." Jelita muncul di ruang dapur. Asyrah berpaling ke arah wanita itu.
"Hari ni tak payah masak banyak sangatlah sebab Fayyad tak makan dekat sini. Dia terus balik rumah." Beritahu Jelita kepada pembantu rumahnya.
"Oh, baik, puan. Nasib baik Kak Su baru nak masak ni." Balas Kak Su sambil menyiang ikan mentah.
Jelita mengeluh. "Umai tak berapa nak sihat sangat tu, kak. Itu yang Fayyad dah tak singgah sini. Risau dengan isteri dia kalau sorang-sorang dekat rumah." Sambung Jelita lagi. Sedikit sebanyak, dia risau juga dengan Umaira.
"Ya ke? Kasihan Umai. Harap-harapnya cepat sihatlah." Kak Su turut tumpang simpati. Mereka semua sudah tahu tentang kehamilan Umaira dan sama-sama berkongsi berita gembira tersebut.
Asyrah yang mendengar nama sahabatnya disebut terusik seketika. Terbit rasa ingin tahu tentang Umaira.
"Puan..." tiba-tiba Asyrah memanggil Jelita. Wanita itu hampir berlalu dari situ.
Jelita toleh ke arah Asyrah.
"Teruk sangat ke alahan Umai?" Soalan yang sering bermain di mindanya terus disoal di bibir. Daripada dia terus tertanya-tanya, dia juga yang runsing nanti.
Jelita mengangguk. "Teruk juga. Kadang-kadang first pregnancy memang macam tu, Asy. Tambah-tambah lagi bila kandungan masih tak kuat. Kena kurangkan buat aktiviti dan elakkan stres." Jawabnya panjang lebar. Dia kira bernasib baik kerana waktu kali pertama hamil, dia tak mengalami alahan yang sangat teruk. Sekadar pening-pening lalat.
Asyrah diam. Kerisauan menjalar dalam hati. Adakah Umaira akan baik-baik sahaja?
"Awak tak ada call Umai ke tanya dia? Mana tahu dia ada cerita dengan awak?"
Asyrah terkedu soalan itu diaju ke arahnya. Bagaimana dia mahu menjawabnya? Dia sendiri tak tahu apa jadi antara mereka. Hubungan persahabatan mereka tidak seperti sebelum ini lagi.
Perlahan Asyrah menggeleng dengan senyuman hambar.
"Tak sempat, puan. Masing-masing sibuk. Saya faham aje, mungkin dia perlukan rehat. Tak naklah kacau." Jawab Asyrah, walaupun dia sendiri tak pasti dengan apa yang dia rasakan.
"Betul juga tu. Harapnya alahan dia cepat hilanglah." Jelita bersuara kendur.
"Insya-Allah." Asyrah menjawab ringkas. Namun, jauh dj sudut hati, tidak berhenti dia berdoa semoga Umaira baik-baik sahaja.
Walaupun hubungan mereka tidak sebaik dulu, sudah pasti segala tentang Umaira dia peduli. Umaira tetap sahabat yang dia sayang. Kehilangan Umaira, memberi impak yang besar dalam hidupnya.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...