Duduk berteleku di atas sejadah, kerlingan mata terarah kepada meja solek. Di situ terdapat sepucuk sampul surat yang masih tidak dibuka sarungnya. Bagaimana isi di dalam, dia tak pasti.
Ingatan mula melayang ke suatu masa.
Seorang jururawat menghampirinya yang sedang tidak tentu arah di suatu sudut.
"Cik?"
Asyrah berpaling kepala. Jelas riak mukanya gelisah.
"Saya nak serahkan beg tangan pesakit." Sebuah beg tangan dihulur kepada Asyrah. Teragak-agak Asyrah mahu menyambutnya.
"Terima... kasih." Jawab Asyrah perlahan, hendak tak hendak, dia terpaksa mengambilnya.
Jururawat itu mengangguk seraya pamit.
Asyrah mengambil tempat di atas bangku. Tatkala dia mahu meletak beg tangan di atas riba, sepucuk sampul terjatuh ke lantai.
Dengan tangan yang masih menggigil kecil, Asyrah kembali mengutip surat tersebut. Hati berdetak laju melihat namanya yang tertera di bahagian hujung sampul surat.
Sehingga ke hari ini, dia masih tertanya-tanya akan isi surat itu. Mengapa Umaira menyimpan surat tersebut dalam beg? Mengapa Umaira membawa ia ketika berjumpa dengannya? Adakah Umaira berniat untuk memberi kepadanya tetapi tidak sempat?
Asyrah bangkit dari duduk. Telekung dibuka lalu dilipat kecil. Kemudian, dia menuju ke meja solek. Lampu meja terbuka memberi cahaya di dalam bilik yang gelap dan suram itu.
Biarpun akal teragak-agak mahu membuka, hati tetap berteriak mahu tahu isi dalam. Selepas beberapa ketika, dia membuat keputusan untuk membuka.
Beberapa keping gambarnya bersama Umaira terisi di dalam sampul. Satu per satu ditelitinya dengan dada yang berdegup kencang. Tanpa sedar, jarinya mengusap gambar Umaira. Mereka terlihat sangat gembira dengan senyuman yang melebar. Meski pun bibir Asyrah tersenyum kecil melihat semula gambar tersebut, pandangannya mula kabur. Dia rindukan Umaira.
Mungkin mereka pernah mempunyai konflik antara satu sama lain, tetapi itu tidak menjejaskan persahabatan mereka keseluruhannya. Mereka tetap pernah menjadi sahabat. Mereka tetap pernah berkongsi kenangan bersama. Mereka pernah bahagia.
Namun, terdapat sekeping gambar yang merentap jantung Asyrah serta-merta. Gambar ketika majlis kahwin Umaira dan Fayyad. Mereka sedang mengambil gambar bertiga, Umaira berada di tengah-tengah dan dia di sisi kiri wanita itu. Fayyad pula merapat di kanan sang isteri.
Asyrah menelan liur payah apabila mendapati dirinya yang merenung Fayyad tatkala Fayyad merenung Umaira. Dia langsung tidak tahu bahawa jurukamera menangkap momen tersebut.
Asyrah meletak gambar tersebut di atas meja lalu mengurut dada yang semakin berombak laju. Adakah Umaira mula mengesyakinya daripada gambar tersebut?
Kalau ya, wajarlah wanita itu cemburu dan merasa takut. Kerana sudah jelas, terang lagi bersuluh, dia sedang memandang Fayyad dengan sebuah perasaan yang sukar ditafsirkan. Orang kata, mata tidak pernah menipu.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...