"Encik Fayyad..."
Kepala didongakkan. Wajah tertayang tanpa riak. Sepasang mata hanya memancarkan kekosongan.
"Encik boleh masuk untuk tengok baby." Ujar seorang jururawat. Dia memberi laluan kepada Fayyad.
Langkah kakinya kelihatan lemah dan tidak berdaya. Tapi, dia harus kuat.
Tubuh kecil yang dibaringkan di atas tray menjadi tatapan mata yang mula kabur dengan manik-manik kaca.
"Allah..." terlepas nama Tuhan di bibirnya tatkala dia merenung wajah yang sempurna terbentuk. Biarpun sepasang mata itu tertutup dan tidak bernyawa, dia seperti nampak dirinya. Fayyad versi perempuan.
Tangannya menggeletar untuk mengangkat tubuh halus itu ke dalam pangkuan. Dia menangis lagi untuk sekian kalinya.
"Anak baba..." bibirnya gagap untuk bersuara. Sebak tak tertahan lagi.
"Asyfina..." dia menyeru nama yang sudah lama mahu dipanggil.
Jarinya menari-nari di atas wajah anaknya. Mula daripada mata, hidung yang mancung, kedua-dua belah pipi dan akhir sekali seulas bibir yang sedang-sedang elok.
"Kenapa cepat sangat Asyfina pergi? Ibu dengan baba tak sempat nak jaga lagi. Kami tunggu selama ni untuk sambut Asyfina tau." Lirih suaranya kala ini. Air matanya jatuh setitis di atas muka bayi itu.
"Baba minta maaf. Baba mengaku, semua ini salah baba. Baba tahu, Allah ambil Asyfina daripada baba sebab salah baba yang abaikan Asyfina dulu. Baba jahat. Baba minta maaf, sayang..." teresak-esak dia menangis sendirian di situ. Apabila waktu seperti ini tiba, untuk menyesal pun sudah terlambat. Segalanya telahpun punah.
"Asyfina tetap akan jadi anak syurga ibu dan baba. Asyfina tetap jadi bukti cinta baba pada ibu. Baba minta maaf, sayang. Kalau baba cepat, mesti semua ni takkan jadi. Kalau baba ada dengan ibu, mesti Asyfina masih selamat dalam perut ibu. Baba yang salah, baba yang teruk. Maafkan baba, sayang. Maafkan baba..." dia baru sahaja memeriksa telefonnya. Entah bagaimana dia boleh tidak perasan panggilan daripada Asyrah kerana tertidur di rumah lamanya. Terlalu mengikut emosi sehingga tergamak meninggalkan Asyrah sendirian di rumah. Apabila perkara sebegini terjadi, tiada apa lagi yang boleh dibuat.
"Baba dah janji dengan ibu, baba akan azankan Asyfina bila Asyfina dah lahir. Tapi... baba ralat... Asyfina dah tinggalkan kami sebelum baba dapat buat semua tu." Masih dia ingat kata-kata Asyrah ketika awal kehamilan wanita itu.
"Kalau awak memang nak lepaskan saya, saya mohon untuk tunggu sampai saya bersalin. Saya cuma nak awak sambut anak kita, azankan anak kita. Selepas itu... saya serahkan segala keputusan ke atas awak, Fayyad."
Fayyad angkat sedikit anaknya seraya rapatkan bibir di tepi telinga Asyfina. Perlahan-lahan dia mulakan azan dan iqamat. Cukup sayu dan sebak. Bibirnya bergetar hebat menahan tangis.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...