Asyrah membawa segelas air ke bilik Jelita. Tidak lama lagi, wanita itu akan melahirkan. Semakin dekat tarikh, Jelita semakin tidak larat untuk bergerak. Wanita itu pun lebih kerap berehat daripada lakukan aktiviti luar.
"Puan, saya bawa air." Asyrah ketuk pintu dahulu sebelum masuk. Terlihat Jelita menyandarkan kepala pada kepala sofa.
"Eh, kenapa awak yang hantarkan? Susah-susah aje." Jelita menyambut air yang dihulur Asyrah.
"Tak apalah, puan. Alang-alang saya nak tengok Fatima dengan Faaeq, saya bawakan air sekali."
Jelita menggeleng seraya menepuk birai katil. "Mehlah duduk sini. Saya nak borak kejap dengan awak. Bosan duduk dalam bilik, asyik terbaring aje." Dia mencebik seketika lalu meneguk air suam yang dibawa Asyrah tadi.
Asyrah angguk lalu duduk di birai katil Jelita.
"Terima kasih ya dah jagakan Fatima dengan Faaeq. Sejak dua menjak ni saya memang tak larat. Pregnancy kali ni agak memenatkan juga." Jelita senyum hambar.
"Tak apalah, puan. Dah jadi tugas saya untuk jaga mereka. Lepas ni, bertambahlah 'kawan' baru saya." Asyrah ketawa kecil, memaksudkan anak Jelita yang bakal lahir nanti.
Jelita senyum seraya meneguk air suam lagi.
"Bila difikirkan semula, waktu saya mula kahwin dengan Fareeq, saya tak suka dia. Kalau saya tengok muka dia, saya rasa nak marah." Jelita menggeleng apabila teringat kembali memori dia sewaktu awal perkahwinan mereka.
"Tapi, tengoklah sekarang. Anak kami dah nak masuk tiga orang." Jelita ketawa kecil.
"Tak ada apa yang mustahil dalam dunia ni, kan? Kita boleh bahagia walaupun perkahwinan itu bukan atas dasar cinta pada mulanya."
Asyrah mengangguk, bersetuju dalam diam. Sejujurnya, apabila dia mengenali Fareeq dan Jelita, dia pernah berharap satu hari nanti dia mempunyai pasangan seperti mereka. Hubungan mereka yang sangat bahagia dan bersederhana dalam apa jua situasi.
"Dicintai oleh orang yang kita cinta, sebahagia itu ke, puan?"
Jelita tersentak dengan soalan Asyrah. Dia termangu seketika.
"Tak adalah, saya boleh nampak macam mana bahagianya puan dengan Tuan Fareeq. Jadi, saya tertanya-tanya, sebahagia itu ke yang kita rasa bila cinta kita dibalas?" Jelas Asyrah lebih terperinci.
Jelita akhirnya senyum. "Sebelum saya rasa bahagia yang sekarang, saya pernah rasa sukarnya untuk belajar mencintai dia, Asyrah. Sedangkan waktu tu saya dah ada seseorang. Saya pernah rasa bersalah kahwin dengan Fareeq, seperti saya tidak setia dengan dia."
Asyrah terdiam. Dia tak pernah tahu lebih dalam kisah mereka berdua.
"Tapi, sekarang saya percaya, jodoh itu bukan di tangan manusia. Apa yang ditakdirkan untuk kita, akan menjadi milik kita, biarpun sejauh mana kita menolaknya." Jawab Jelita, sambil memandang gelas di tangan.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...