Kosong. Pantulan dirinya di hadapan cermin dipandang tanpa perasaan. Dia pernah menggayakan baju sebegini dengan ton warna yang sama tetapi mengapa kali ini serinya tiada? Dia seakan-akan suram.
Mungkin disebabkan baju songket ini bukan untuknya. Disebabkan itu, dia tidak menonjol. Kerana dia bukan pengantin. Bukan dia yang akan memakai baju ini nanti. Dia hanya gantikan sahaja.
"Cik, okey ke dekat dalam tu?" Staf wanita yang menunggu di luar menegur, sekali gua menggamit perhatian Asyrah.
"Ya. Saya okey." Asyrah keluar dari bilik persalinan. Tatkala itu matanya menangkap sekujur tubuh tegap yang sedang duduk menghadapnya. Sepasang mata itu turut naik memandangnya atas bawah. Bila pula Fayyad sampai? Lelaki itu bahkan siap dengan baju songket lelaki berwarna merah hati, sedondon dengannya.
Fayyad bangkit lalu menghampiri. Matanya masih tidak dialihkan.
"Cantik."
Asyrah hanya tundukkan wajah. Dalam masa yang sama, dia mengeluh. Kalau boleh, dia tak mahu buat semua ini. Tetapi, dia fikirkan Umaira sahaja.
"I mean... baju songket ni." Fayyaf betulkan bicaranya. Dia nampak Asyrah tak selesa dengan pujiannya.
Kali ini Asyrah memberi reaksi. Dia mengangguk seraya meneliti tubuh sendiri.
"Pandai Umai pilih design."
"Betul." Fayyad bersetuju.
Suasana di antara mereka menjadi kekok. Kedua-duanya seperti mati kata untuk berbual.
"Encik, cik... boleh ke kalau kita tangkap gambar? Sebab kami nak jadikan bukti nanti." Sampuk seorang staf yang sedang memegang telefon.
"Errr... tapi saya bukan pengantin perempuan! Saya cuma gantikan aje." Asyrah sudah menggeleng kepala menolak.
"Tak apa. Kami cuma nak jadikan bukti dan rujukan sahaja." Balas staf tersebut dengan senyuman.
Asyrah mengeluh lagi. Hendak tak hendak, dia terpaksa menurut. Dengan separuh rela, dia berdiri di sebelah Fayyad, bersedia untuk gambar diambil.
Dia tak perasan, tapi dia yakin Fayyad sedang memerhatinya. Namun, Asyrah hanya membiarkan. Mungkin Fayyad nampak Umaira dalam dirinya.
"Perfect!" Puji staf tersebut sambil melihat hasil tangkapan sendiri.
"Nanti forward dekat I, boleh?" Tiba-tiba Fayyad bersuara.
Asyrah bingung. "Dah kenapa pula tuan nak gambar tu?"
"Kenangan." Fayyad angkat bahu selamba.
Asyrah mendengus. Malas mahu melayan, dia kembali masuk ke dalam bilik persalinan. Tetapi, langkahnya terpasung serta-merta apabila Fayyad memanggil.
"Kalau aku nak jumpa kau sekejap lepas ni, boleh? Kita pergi minum ke apa ke..."
"Maaf, saya tak ada masa untuk tu!" Balas Asyrah mendatar.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...