Langkah kaki longlai mendaki tangga ke tingkat dua. Seharian berada di rumah Fareeq, terlalu ralit sehingga tidak perasaan sudah malam. Tambahan pula, melayani anak-anak buahnya yang bermacam kerenah.
Sebelum dia tiba di bilik, hatinya terdetik untuk melihat bilik Asyrah. Dia tahu Uqael memang tidur dengan gadis itu.
"Bapak jenis apa kau ni, Yad, anak sendiri pun tidur dengan orang lain?" Ucapnya sinis pada diri sendiri.
Pintu bilik Asyrah dibuka. Hanya lampu di atas meja sahaja menerangi kegelapan bilik tersebut.
Kaki masuk ke dalam berhati-hati supaya tidak menghasilkan sebarang bunyi.
Apabila dia mendekati katil, jelas wajah Asyrah yang lena tanpa tudung yang sentiasa menutupi rambut gadis itu. Ini kali pertama dia melihat rambut gadis itu yang hitam ikal mayang, malah panjang sehingga paras bahu.
Hairan. Bagaimana wanita yang sentiasa menjaga aurat dan kesopanan diri, terselit kecantikan dari dalam yang selama ini terselindung dari ajnabi?
Uqael di sisi Asyrah membulat mata memandangnya. Tangan anak kecil itu digoyang-goyangkan di depannya, seperti menyuruh Fayyad mengangkatnya.
Pasti Uqael tersedar daripada tidur ketika Asyrah terlena.
Fayyad mendekati sang anak. Tubuh Uqael diangkat lalu digendong di lengan sasanya.
"Kenapa anak baba tak tidur ni?" Bisik Fayyad di telinga Uqael. Tangan anak itu menyentuh wajah babanya ketika Fayyad dekatkan muka.
"Seronok ke tidur dengan ibu?" Pipi Uqael diusap manja. Hatinya mula terdetik serba salah atas apa yang dia telah lakukan pada anaknya. Dia yang tanpa simpati menengking anak yang tidak berdosa. Dia yang tanpa ihsan mengabaikan kebajikan anak yang tidak bersalah.
"Baba minta maaf, Uqael." Terbit kata maaf di celah bibirnya yang mula bergetar menahan sebak.
"Baba minta maaf dah marah Uqael, dah abaikan Uqael, dah jauhkan diri daripada Uqael." Ucap Fayyad tulus dan penuh rasa bersalah. Matanya terpejam seketika apabila dia teringat semula kelakuannya kepada Uqael sebelum ini.
"Baba sayangkan Uqael. Tapi, salah baba sebab baba tak dapat kawal emosi sampaikan Uqael kena tempias."
Anak kecil itu terkebil-kebil memandang bapa sendiri. Tangannya masih bermain-main di muka Fayyad seolah-olah memujuk bapanya yang sedang menangis.
Fayyad pun tidak pasti bila dia mula mengalirkan air mata.
"Baba janji, baba akan jaga Uqael. Baba takkan susahkan ibu untuk jaga Uqael lagi. Baba akan jaga anak baba sendiri. Baba cuba ya, sayang." Dahi Uqael dikucup lama sehingga air matanya jatuh setitis.
Fayyad sedar, selama ini dia banyak menyusahkan Asyrah. Gadis itu tiada pertalian darah dengan anaknya tetapi Asyrah ikhlas menjaga Uqael. Tapi dia? Dia tegar mengabaikan Uqael hanya kerana tidak dapat mengawal emosi. Dia terlalu hanyut dalam kesedihan sehingga mengabaikan tanggungjawab pada anak sendiri.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...