Berdiri di hadapan pintu gerbang yang masih tertutup, Asyrah hembus nafas berat. Kornea mata menoleh ke sisi, ke arah Umaira telah disolek cantik oleh jurumekap tadi. Pertama kali dia melihat sahabatnya seperti itu, Asyrah tak berhenti memuji. Umaira nampak cantik sangat dengan persalinan putih. Sementelah pula, gadis itu memiliki pesona tersendiri.
Umaira menoleh ke arah Asyrah. Senyuman diukir kekok. Jelas di wajahnya yang gugup. Tetamu yang datang sudah siap sedia di dalam untuk menunggu Umaira di sebalik pintu.
Atas permintaan Umaira sendiri untuk dia dan Puan Asmida menemani gadis itu sehingga ke pelamin. Bahkan, Umaira mahu mereka berada di sisi gadis itu ketika akad sedang berlangsung.
Seperti biasa, Asyrah tak pernah mampu untuk menolak. Meskipun seberat mana permintaan tersebut, kalau ianya datang daripada Umaira, Asyrah akan turutkan.
"Dah ready?" Soal Asyrah kepada Umaira.
Umaira menggenggam tangan Asyrah. Setelah dia mengambil nafas, Umaira mengangguk. Seketika, dia menoleh ke arah Puan Asmida pula.
"Terima kasih, ibu. Sebab ada dengan Umai." Ucapnya lembut.
Puan Asmida senyum lembut. "Sama-sama. Tahniah, sayang." Tudung yang melitupi kepala Umaira diusap. Walaupun gadis itu memang tidak memakai tudung walaupun di hari biasa, tetapi, atas permintaan Umaira sendiri untuk mengenakan hijab di hari pernikahan.
Tidak lama selepas itu, pintu gerbang tinggi berwarna hitam itu terbuka sekali gus spotlight tertuju ke arah mereka, atau lebih tepat lagi, ke arah Umaira sebagai pengantin perempuan.
Pada saat itu, pengacara majlis mengumumkan ketibaan pengantin perempuan. Asyrah dan Puan Asmida mengiringi Umaira untuk masuk ke dalam. Dalam masa yang sama, lagu instrumental berkumandang memenuhi dewan yang memuatkan hampir seribu orang.
Ketika mereka melalui jalan khas untuk ke pelamin, Asyrah dapat lihat bagaimana tetamu di situ memberi perhatian kepada Umaira. Ada yang merakam momen tersebut. Bahkan ada yang melambai ke arah Umaira.
Gadis itu pula hanya senyum kerana sebelah tangannya memegang bunga, dan sebelah lagi menggenggam tangan Asyrah.
Tiba di hadapan pelamin, Asyrah dan Puan Asmida membantu Umaira untuk duduk. Kain gadis itu yang labuh diangkat sedikit untuk memudahkan.
Sementara itu, Fayyad yang tidak jauh daripada pelamin, tidak henti merenung Umaira. Mungkin kerana terkejut, tidak pernah dia melihat gadis itu memakai hijab.
"Jaga pandangan, Yad." Tegur Fareeq apabila berbisik di telinga Fayyad. Dia sebagai saksi, duduk bersebelahan dengan adiknya.
Fayyad tersentak. Wajah membahang malu apabila ditegur begitu. Pantas dia tundukkan renungan.
Selepas itu, tok kadi membuat khutbah nikah berkaitan dengan bab perkahwinan, hukum hakam, tanggungjawab suami isteri, nafkah, dan sebagainya yang berkaitan. Semua yang berada di situ mendengar teliti terutama sekali Fayyad dan Umaira.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...