Duduk terus tegak di saat gegendang telinga menangkap bunyi pintu dibuka. Pantas kepalanya ditoleh ke sisi. Figura sang suami yang dinantikan dari siang tadi muncul di pandangan.
"Fayyad..." Asyrah menghampiri sang suami.
Fayyad angkat muka membalas pandangan Asyrah. Sekali gus dia teringat semula kata-kata Fareeq di pejabat tadi. Hati yang memberat sejak pagi tadi semakin membebankan seluruh perasaan.
Asyrah terbungkam melihat pipi Fayyad yang lebam dan tepi bibir yang membengkak.
"Fayyad, awak okey tak ni? Kenapa muka awak lebam?" Disebabkan terlalu risau, dia tersentuh wajah Fayyad. Lelaki itu meringis sakit.
"Maaf..." Asyrah jauhkan tangannya semula.
Fayyad sentuh tepi bibir dengan muka berkerut-kerut.
"Fayyad, siapa buat awak macam ni? Awak bergaduh ke?" Asyrah masih tidak berhenti bertanya. Nadanya kedengaran risau sungguh.
Fayyad masih diam merenung isterinya. Dalam keadaan begini pun, Asyrah masih fikirkan tentangnya?
"Urm... awak dah makan?" Asyrah menukar soalan. Kalau Fayyad tak mahu jawab, takkan dia mahu paksa?
Fayyad menggeleng. Daripada pagi dia tidak menjamah apa-apa, tiada selera.
"Saya ada masak. Awak nak makan tak?"
Fayyad mengangguk lesu. Matanya masih merenung segenap wajah Asyrah.
Asyrah senyum. "Kalau macam tu, awak pergi naik mandi. Saya hidangkan."
Tetap membisu, Fayyad mengorak langkah untuk ke bilik. Setiap langkahnya terlihat longlai dan tidak semangat. Sehingga dia tiba di bilik, tubuh didudukkan di atas katil. Kemeja yang dipakai ditanggalkan. Kepala tertunduk ke bawah. Fikiran masih menerawang teringat kejadian semalam.
Dia tak tahu bagaimana dia harus berdepan dengan Asyrah. Dia malu apabila wanita itu jelas nampak keburukan dia. Pasti Asyrah kecewa yang teramat. Bagaimana jika Asyrah berputus asa dengannya? Wanita itu akan betul-betul pergi?
Tok! Tok! Tok!
Dia bangun dari duduk apabila pintu diketuk. Wajah Asyrah memenuhi kornea matanya. Wanita itu tundukkan kepala seketika selepas melihat dia tidak berbaju.
Asyrah senyum. "Saya ada bawa ais. Lebam dekat muka awak tu kena tuam, nanti makin teruk." Dia mengangat sedikit mangkuk sederhana besar dengan kain kecil.
Fayyad terdiam. Dia semakin rasa bersalah dengan wanita itu. Mengapa Asyrah perlu pentingkannya sekarang? Biarlah, dia kritikal sekali pun wanita itu tak patut kisah. Dia patut diabaikan saja!
"Boleh ke kalau saya nak tuamkan ais dekat muka awak?" Asyrah meminta izin.
Fayyad angguk. Dia ayun kaki menuju ke katil, membiarkan Asyrah masuk. Duduk di birai katil, dia menepuk tempat duduk di sebelahnya.
YOU ARE READING
Sekali Lagi Memiliki
RomanceSelepas kehilangan cinta pertama, hati kembali terbuka untuk menerima cinta baru apabila dia bertemu dengan seorang lelaki. Pertemuan mereka tidak dirancang, malah awal pertemuan mereka, mereka sering bertengkar disebabkan perselisihan faham. Pantan...