74 | Zane Tahu?

682 49 3
                                        

Dihya berdiri tegak di hadapan Zane, menghalang laluan suaminya ke tangga

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.

Dihya berdiri tegak di hadapan Zane, menghalang laluan suaminya ke tangga. Matanya menatap wajah Zane, mencari secalit emosi yang biasa terpancar di sana. Namun, yang ditemuinya hanyalah kekosongan yang dingin, seperti jurang yang tiba-tiba memisahkan mereka.

                    “Zane?” panggil Dihya lagi, suaranya bergetar halus. Jari-jemarinya masih melekat lembut di lengan suaminya, berharap ada sedikit gerakan atau respons darinya. “Awak okay tak? Kenapa diam saja?”

Zane mengalihkan pandangannya sejenak, menatap tangan Dihya yang menyentuh lengannya. Ada secubit rasa bersalah yang menusuk hatinya melihat kelembutan isterinya. Namun, bayangan pengkhianatan yang baru terungkap kembali menghantuinya, membekukan rasa bersalah itu menjadi dingin yang menusuk tulang. Matanya kembali menatap wajah Dihya, ekspresinya datar namun di balik ketenangan itu, berkecamuk badai amarah dan kekecewaan yang mendalam.

                      Zane menghela nafas perlahan, namun matanya tetap tidak menunjukkan apa-apa. “Dah lewat malam, Dihya. Saya penat. Kita bincang esok.”

                      “Esok?” Dihya menggelengkan kepalanya perlahan. “Kenapa mesti esok? Apa yang membuatkan awak bersikap begini malam ni? Saya masak untuk awak. Saya tunggu awak. Kenapa awak layan saya macam orang asing?” Air mata mula bergenang di pelupuk matanya, namun dia berusaha untuk tidak membiarkannya jatuh. Dia mahu Zane melihat keteguhan dalam dirinya, bukan kelemahan. Tapi entah kenapa emosinya goyah dengan mudah seperti ini.

                       Zane mengalihkan pandangannya seketika, seolah-olah tidak sanggup menatap air mata yang hampir tumpah itu. Namun, sedetik kemudian, matanya kembali menatap Dihya dengan tatapan yang sama dingin. “Tak ada apa-apa yang perlu dibincangkan, Dihya. Saya cuma penat.”

Semenjak tadi Dihya mendengar namanya sahaja. Tiada lagi panggilan mesra dan manja yang meniti di bibir Zane. Merenggus hatinya yang kian sesak.

                       “Penat?” Dihya tersenyum sinis. “Penat sampai tak boleh bercakap sepatah pun? Penat sampai tak sudi nak pandang saya?” Dia mengangkat tangannya yang tadi menyentuh lengan Zane. “Sentuhan saya pun awak tak hiraukan. Apa dah jadi dengan awak, Zane?”

Zane membisu lagi. Dia hanya berdiri di hadapan Dihya, tegak dan kaku seperti patung. Keheningan di antara mereka semakin menyesakkan, diisi hanya dengan bunyi hembusan nafas Dihya yang semakin berat.

                         “Awak ada perempuan lain?” pertanyaan itu meluncur keluar dari bibir Dihya tanpa dapat ditahannya. Kata-kata itu bagaikan racun yang membakar kerongkongnya. Kecurigaan yang selama ini cuba ditepisnya kini menyeruak keluar, didorong oleh sikap dingin Zane yang tidak pernah ditunjukkannya sebelum ini.

Mata Zane akhirnya menunjukkan sedikit reaksi. Ada kilatan yang sukar ditafsirkan di sana – mungkin kejutan, mungkin marah, atau mungkin juga sesuatu yang lain yang tidak dapat dibaca oleh Dihya. Namun, dia tetap tidak menjawab.

55. His Favorite Mistress Cerita yang buat anda obses. Terokai sekarang