Dihya Maelani seorang wanita berusia 28 tahun, hidup dalam belenggu hutang akibat perbuatan ayahnya yang seorang penjudi dan ibunya yang ketagih dadah.
Dalam perjuangan mengatasi kesulitan hidup, Dihya secara tidak sengaja bertemu dengan Zane Hayes...
Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.
Pagi hujung minggu yang tenang itu Zane dan Dihya ambil keputusan untuk luangkan pagi dengan berbaring santai di kamar tidur mereka. Setelah membersihkan diri dan menikmati sarapan ringkas, mereka sepakat untuk menghabiskan waktu dengan bermalas-malasan di katil.
Kebetulan pula, sejak beberapa hari kebelakangan ini, Dihya memang merasa tidak enak badan, jadi dia memang enggan ke mana-mana mahupun melakukan apa-apa. Zane pula sememangnya tidak bercadang untuk keluar rumah pada hujung minggu itu, lebih memilih untuk menghabiskan waktu berkualiti bersama isterinya.
Dalam suasana yang nyaman, Dihya merehatkan kepalanya di dada bidang Zane, menikmati kehangatan tubuh lelaki itu. Sementara itu, Zane melayari e-mel melalui Ipad di tangannya yang satu lagi, manakala tangan sebelah lagi yang bebas bermain lembut dengan helaian rambut Dihya. Itu adalah salah satu aktiviti kegemaran Zane sejak awal perkenalan mereka. Dia amat menyukai rambut hitam ikal berkilat milik Dihya, menjadikannya salah satu hal yang paling disayanginya pada diri wanita itu.
Tidak lama kemudian, ketenangan itu dikejutkan dengan pergerakan tiba-tiba Dihya. Wanita itu meluru bangun dari katil dan bergegas menuju ke bilik air, membuatkan Zane ikut terperanjat. Hairan bercampur risau, Zane segera bergegas mengekori Dihya.
Fikirannya dipenuhi kebimbangan tentang keadaan tiba-tiba isterinya itu. Namun, setibanya di muka pintu bilik air, Zane melihat Dihya sedang membongkok di hadapan sinki, memuntahkan isi perutnya.
Zane segera menghampiri Dihya, berdiri di sisinya sambil mengusap lembut belakang badan wanita itu. “Sayang, awak okay?” soal Zane dengan nada cemas yang jelas.
Dihya tidak dapat membalasnya kerana masih tertunduk-tunduk muntah. Merah kedua belah telinganya menahan sebu.
“Dah berapa lama awak rasa macam ni?”
Dihya hanya menggeleng lemah, masih lagi terbatuk-batuk. Setelah selesai, dia berkumur dan membasuh mulutnya dengan air. Wajahnya kelihatan pucat dan lesu. “Sejak beberapa hari lepas… rasa tak sedap perut, mual sikit-sikit. Ingatkan masuk angin biasa,” jawab Dihya perlahan, bersandar lemah pada kaunter sinki. Kepalanya berdenyut sakit akibat muntah tadi.
Zane menatap wajah Dihya dengan kening berkerut kerisauan. Anak rambut yang jatuh mengenai wajah Dihya di selak ke belakang telinga. “Kenapa awak tak beritahu saya? Kalau teruk macam ni, kita kena pergi jumpa doktor. Saya risaukan awak.”
Dihya menggeleng lagi. “Tak apalah, Zane. Mungkin kejap lagi okaylah. Nanti saya rehat hilang la ni."
“Tak boleh, sayang. Saya tak sedap hati tengok awak macam ni. Jom kita pergi hospital untuk buat pemeriksaan. Mana tahu kalau ada apa-apa yang serius,” tegas Zane lembut, membantu Dihya berdiri. “Saya takkan tenang selagi tak tahu awak betul-betul okay ke tak.”
Dihya melihat kerisauan yang terpancar jelas di mata Zane. Dia tahu tak kira apa sekalipun jawapannya nanti, Zane akan tetap bertegas dengan arahannya itu. Dengan lemah, dia mengangguk. “Okay... ”