HANNA menyediakan makanan tengahari untuk Jazli dan Tuan Jefri. Roti bakar bersama susu segar. Tuan Jefri belum tahu yang dia berada di rumahnya sekarang. Sengaja dia tidak maklumkan kedatangannya ke mari. Bukan mahu mengejutkan Tuan Jefri tetapi dia datang kerana dia mahu membantu Tuan Jefri yang masih belum sembuh itu. Pembantu rumah Tuan Jefri, Mak Teh pula sudah tua dan kelihatan sudah tidak larat melakukan banyak pekerjaan dalam rumah ini. Takkan hendak harapkan Jazli yang masih kecil ini untuk uruskan kecederaan Tuan Jefri yang harus sentiasa ditukarkan pembalut luka tikaman itu.
Usai menyediakan makanan tengahari untuk Jazli dan meninggalkan sedikit untuk Tuan Jefri bawah tudung saji, Hanna membasuh pinggan mangkuk yang ada dalam sinki. Mak Teh pula mengemas bilik di tingkat atas. Habis semua pinggan mangkuk siap dicuci, Hanna pergi ke ruang tamu. Jazli sedang bermain game dalam ipadnya.
"Jaz," Hanna duduk bersebelahan Jazli. Tidak rasa mahu balik. Dia mahu menunggu kepulangan Tuan Jefri. Tuan Jefri itu degil orangnya. Sudah tahu sakit, masih dipaksa badan yang masih berbalut pergi bekerja.
"Abang Jaz tu dah ada yang berpunya ke?" tiba-tiba aje Hanna bertanya soalan macam ni. Orang macam Tuan Jefri itu sudah berpunyakah? Hesy, busybody betullah kau ni, Hanna.
"Tak."
"Seriuslah?"
"Ya, I'm serious, kak. Siapa nak dekat Abang Jefri si berkepala batu tu?"
Hanna gelak. Dia cubit pipi gebu Jazli. Suka hati Jazli aje cakap abangnya macam tu.
Bunyi kereta mengejutkan Hanna.
Tuan Jefri sudah pulang.
Dia segera bangun dan pergi ke pintu untuk menyambut kepulangan Tuan Jefri. Gayanya seperti isteri menanti suami pula.
Jefri keluar dari kereta dibantu oleh Ashraf dan duduk di kerusi roda. Ashraf menolak kerusi roda ke muka pintu. Kedua-duanya terkejut melihat Hanna sedang berdiri di depan pintu.
"Hanna, kau buat apa kat rumah aku ni? Kau nak aku kena tangkap basah ke?" soal Jefri. Tiada lagi perkataan awak saya. Bukan tiada, tapi dia sudah terbiasa panggil aku kau dengan Hanna. Dan dia dikejutkan dengan kehadiran Hanna secara tiba-tiba ini.
"Kalau kena tangkap basah kenapa? Dapat kahwin free kan? Tak perlu kasi wang hantaran tinggi-tinggi." Bidas Hanna. Ada saja pemikiran pelik Tuan Jefri ini.
Jefri senyum.
"Ashraf, kau call pihak jabatan agama. Suruh pengawai JAIS datang tangkap aku dengan Hanna sebab berkhalwat ni." Ujarnya pada Ashraf.
"Hesy, tak payahlah. Orang bergurau ajelah. Siapa nak kahwin dengan tuan ni?" Hanna mencebik.
"Habis tu, kau buat apa kat rumah aku ni?"
"Saya datang sebab saya nak jaga tuan."
"Jaga aku? Aku bukan budak kecil untuk dijaga, Hanna. Kalau kau nak jaga orang, kau jaga Jazli tu. Dia perlukan perjagaan yang rapi."
Ashraf menolak masuk Jefri ke dalam ruang tamu.
"Bro, aku pergi dulu. Apa-apa hal, call aku okey."
"Thanks, bro."
Ashraf pergi meninggalkan rumah Jefri.
Kini tinggal Jefri, Hanna dan Jazli yang sibuk bermain game dalam ipadnya.
"Jazli dah ada Mak Teh tapi tuan? Takkan tuan nak harapkan Mak Teh yang dah tua uruskan tuan pula? Saya nampak dia dah tak larat nak buat semua kerja. Sepatutnya Mak Teh dah bersara." Ujar Hanna. Kasihan melihat Mak Teh melakukan semua kerja termasuk kerja kebun di belakang rumah.
YOU ARE READING
TUAN JEFRI
RomanceHidup Hanna kucar-kacir bila neneknya, Tok Pah mahu dia berkahwin dengan Hanif, abang sepupunya. Hanna tak mahu kerana dia hanya anggap Hanif sebagai abang sahaja dan tidak lebih dari itu. Untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Hanif, Hanna minta...