17

6.9K 284 5
                                    

           

AIRIN menangis tidak berhenti. Puas Jefri memujuk Airin tetapi tidak berjaya. Jefri tidak tahu apa punca Airin menangis. Dia dah hilang cara untuk memujuk Airin. Suara tangisan Airin pula kuat sekali. Tidak tenang untuk Jefri menyiapkan kerja sekolahnya. Lalu Jefri mendukung Airin yang berusia lima tahun itu pergi ke kebun getah tempat ibunya menoreh.

"Ibu," panggil Jefri.

"Kenapa Airin menangis ni, Jefri?" soal Suraya setelah Jefri dan Airin sampai dan Airin menangis di depan Suraya.

"Tak tahulah." Jawab Jefri.

Suraya menyentuh dahi Airin.

"Ya Allah, panasnya. Airin deman ni."

"Kita bawa Airin ke kliniklah, ibu." Cadang Jefri.

Suraya meninggalkan kerjanya yang belum selesai. Dia dan Jefri yang sedang mendukung Airin pulang ke rumah. Sampai di rumah, Airin dibaringkan atas lantai beralaskan tikar dan bantal. Jefri menyediakan kain tuala dan bekas berisi air untuk Airin. Kain tuala dicelup dan di perah lalu diletakkan di atas dahi. Airin berhenti menangis. Anak keduanya ini selalu deman dan sakit. Sakitnya pula berpunca daripada deman yang tidak kebah.

Sejak Alan meninggal dunia lima bulan yang lalu, kehidupan dia anak-beranak semakin susah. Suraya terpaksa bekerja keras dan menoreh getah demi kelangsungan hidupnya dan anak-anak. Semasa Alan masih hidup, Suraya membuat kuih-muih untuk dihantar ke kedai makanan tetapi duit hasil yang dia perolehi itu Alan selalu ambil. Jika tidak memberikan wang kepada Alan, Alan akan pukulnya. Dahulu mereka sekeluarga boleh hidup senang. Alan walaupun kerjanya makan dadah, dia bekerja sebagai pemandu lori. Cuma sebahagian gaji yang diperolehi Alan habis membeli dadah sahaja. Kini, Suraya perlu mencari kerja yang boleh mengukuhkan hidupnya dari memasuki kemiskininan tegar. Anak-anaknya semakin membesar. Jefri pula dia mahu anak sulungnya masuk universiti dan menjadi orang yang berguna.

Dia berkenalan dengan Alan pada usia yang cukup muda. Alan pemuda Cina dari Kuala Lumpur berhijrah ke kampung ini. Seawal usia 18 tahun dia mengenali apa itu cinta. Alan yang ajarkan tentang cinta. Alan juga yang membawa dia mengenali dunia baru. Suraya anak bongsu ibu bapanya. Sebahagian besar hidupnya dikongkong oleh ibu bapanya.

Dan...

Tok Pah, emaknya juga menjodohkan dia dengan Nasir. Nasir adalah anak ketua kampung yang berusia 21 tahun. Suraya tidak menyukai Nasir tetapi bukanlah membenci Nasir. Cuma dia tidak mahu Nasir menjadi suaminya kerana dia hanya anggap Nasir sebagai seorang abang sahaja. Tetapi Tok Pah yang beria-ia mahukan Suraya berkahwin dengan Nasir. Gara-gara itu, Suraya memberontak halus dan Alan menarik Suraya dari pemberontakan itu.

Suraya dan Alan bercinta secara bersembunyi di belakang ibu bapanya dan tunangnya, Nasir. Sehinggalah hubungan mereka berdua diketahui oleh Kamal, abang Suraya. Kamal melaporkan hubungan Suraya dengan Alan kepada Tok Pah dan Tok Mat sekaligus membuatkan Nasir rasa tercabar dengan perlakuan Suraya yang tidak senonoh itu. Pertunangan Suraya dengan Nasir putus kerana Nasir tidak mahu memaksa Suraya berkahwin dengannya. Namun Tok Pah dan Tok Mat pula bagaikan orang gila mengamuk kerana Suraya yang telah memalukan keluarganya dengan memilih pemuda asing sebagai teman lelaki malah telah memalukan juga ketua kampung.

Pasangan suami isteri itu semakin marah apabila Alan dan Suraya berkahwin tanpa persetujuan mereka. Kerana perkahwinan itulah, Tok Mat meninggal dunia akibat serangan jantung. Tok Pah pula semakin kuat membenci Suraya atas kesalahan Suraya yang menyebabkan kematian Tok Mat.

Suraya menyangka hidupnya dengan Alan semakin bahagia tetapi tidak. Selepas kelahiran Jefri, Alan mula tunjuk perangai sebenarnya. Alan yang berjanji tidak mahu menyentuh dadah kembali menjadi penagih dadah. Mujurlah Alan bekerja dan dapatlah menampung hidup mereka sekeluarga. Namun, apabila Airin lahir, Alan semakin teruk dan akhirnya Alan mati akibat pengambilan dadah secara berlebihan. Bermula dari saat itulah hidup Suraya semakin susah.

TUAN JEFRIWhere stories live. Discover now