JEFRI tersenyum lebar menerima mesej daripada Airin. Satu berita yang menggembirakan. Tak dapat nak hapuskan ayahnya, dapat hapuskan anak pun jadilah. Janji seluruh keturunan pembunuh itu dapat balasan dari apa yang telah dia lakukan pada Jefri dan Airin gara-gara kematian ibu mereka berdua.
Dia bukan mahu menghapuskan Haqeem dengan membunuh. Tidak. Dia tidak sekejam itu untuk mencemarkan tangannya. Dia ada cara yang halus untuk menumbangkan Haqeem dan seterusnya ayah Haqeem itu. Mata dan hatinya selalu terseksa melihat kebahagian keturunan pembunuh itu.
"Amboi, bukan main lebar senyuman tengok telefon tu. Siapa yang hantar mesej tu?" muncul Hanna dari atas. Dia baru selesai mandi dan bersiap-siap mahu menonton rancangan kegemarannya bersama Jefri.
"Bakal madu Hanna." Jefri bergurau saja.
"What?" Hanna segera duduk di sebelah Jefri dan merampas Iphone kepunyaan Jefri. Dia membuka aplikasi WhatsApp dan memeriksa setiap mesej yang masuk. Matanya liar mencari mesej dari 'madu' yang dikatakan menghantar mesej kepada Jefri.
"Mana mesej dari bakal madu Hanna tu?"
Jefri ambil iphonenya dari Hanna.
"Abang gurau ajelah. Hanna jangan ambil serius pula. Abang manalah berani nak ambil madu untuk Hanna. Nak pikat perempuan pun abang tak nak, inikan pula nak tambah satu lagi isteri."
Hanna tepuk peha Jefri dengan kuat. Geram dengan suaminya.
"Abang, hal madu tu jangan sebut banyak kali. Kan jadi betul, Hanna yang merana. Orang lelaki terutamanya abang bukan boleh dipercayai bila kata tak nak cari yang lain. Entah-entah esok lusa dah berbini lain." Hanna cukup pantang jika dirinya diduakan dan sekarang dia adalah isteri kepada Jefri yang sentiasa berhati-hati sekiranya terjadi apa-apa pada dirinya. Jika Jefri pasang seorang lagi isteri, memang dia akan tinggalkan Jefri.
"Dalam hati abang ada Hanna aje. Mana mungkin abang nak tambah lagi satu dalam hati abang ni. Setia abang pada Hanna seorang tau." Hati sudah berjanji mahu menjadikan Hanna yang pertama dan terakhir dalam hidupnya.
"Yalah tu. Lelaki pandai cakap manis bila nak cover keinginan beristeri lain kan."
Jefri senyum.
"Hanna takut abang kahwin lagi satu?"
"Mestilah takut. Buatnya isteri kedua abang tu jenis orang gila, macam mana?"
"Abang takkan cari orang gila untuk dijadikan isteri. Abang hanya akan cari perempuan yang memiliki ciri-ciri seperti Hanna dan perempuan itu adalah Hanna, isteri abang. Tiada sesiapa pun yang boleh memaksa abang menduakan Hanna sebab abang cintakan Hanna seorang saja. Tiada juga perempuan lain termasuk Tengku Adurah untuk abang berniat menjadikannya isteri ataupun kekasih hati." Jelas Jefri. Nak jaga yang seorang ini pun Jefri perlu fikir macam-macam agar Hanna sentiasa ada disisinya. Nak tambah lagi seorang? Buang masa aje sebab ada dua orang boleh memeningkan dirinya. Lagipun dia mahu setia pada seorang saja, tidak lebih dari itu.
Kecurigaan hati boleh menyebabkan rumah tangga goyah. Jefri tidak mahu Hanna rasa curiga dengannya. Dia setia pada Hanna dan dia tidak akan menduakan Hanna.
"Tengku Adurah itu?" sengaja Hanna sebut nama Tengku Adurah yang psiko itu. Hari-hari terpaksa hadap muka Tengku Adurah. Hari-hari juga terpaksa melihat kemesraan Tengku Adurah bersama Jefri. Matanya terpaksa menahan sakit ini biarpun hati sudah membengkak hebat.
"Dia takkan ganggu hubungan kita. Hanna jangan fikir banyak. Fikir tentang masa depan kita aje." Pujuk Jefri. Soal Tengku Adurah, jangan dibincangkan kerana ia takkan selesai selagi disebutkan nama perempuan itu. Rancangan masih tetap berjalan. Jefri masih berlakon menjadi tunang Tengku Adurah di hadapan Tan Sri Halim.

ANDA SEDANG MEMBACA
TUAN JEFRI
RomanceHidup Hanna kucar-kacir bila neneknya, Tok Pah mahu dia berkahwin dengan Hanif, abang sepupunya. Hanna tak mahu kerana dia hanya anggap Hanif sebagai abang sahaja dan tidak lebih dari itu. Untuk mengelak dirinya dikahwinkan dengan Hanif, Hanna minta...