36 jam kemudian
"Lepas ni tolong bawa dia balik."
"Baik puan." Emma, Leah dan Ruben setia menunggu Rhea di tanah perkuburan, walaupun upacara pengebumian sudah selesai sejam yang lalu.
Stella menoleh sekilas ke arah Rhea kemudian berjalan menuju ke keretanya. Masih ada tetamu yang perlu diuruskan.
"Emma, kau pergilah bercakap dengan Rhea tu. Duduk lama-lama di sini pun bukannya dapat apa-apa. Lebih baik kita balik ke rumah Tuan Conrad dan kemas apa yang patut."
"Baik ayah. Nak, duduk di sini dengan atuk, okay. Mama nak pujuk Kak Rhea kejap."
"Okay mama."
Perlahan-lahan Emma mendekati Rhea. Bahu gadis itu disentuh.
"Esok kita ke sini lagi. Sekarang mari balik, kau tengok-tengokkan barang peninggalan dia di rumah, emm...?"
Rhen mengesat hidung. Dia memandang Emma tanpa sepatah suara.
"Mari." Emma memimpin Rhea sehingga ke kereta.
"Kita balik ayah." Emma bersuara. Leah mengambil tempat di bahagian hadapan, manakala Emma menemani Rhea di bahagian belakang.
Rhea sedaya upaya menahan emosinya tapi gagal. Dia akhirnya menangis teresak-esak tanpa segan silu. Ruben memandang Emma melalui cermin, mengisyaratkan agar memujuk anak itu.
Emma menepuk perlahan lengan Rhea. Dia melentokkan kepalanya di bahu Rhea kemudian bersuara.
"Kau tahu, lepas kau bertolak ke luar negara hari itu, aku kehilangan dua perkara. Kau dan pekerjaan aku. Aku terpaksa balik ke kampung dan melupakan segala kenangan manis di antara kita berdua. Tidak lama lepas itu, aku bertemu dengan Stefan. Dia seorang anggota tentera dan sering ditugaskan untuk berkawal di sempadan. Dua bulan bercinta, kami mengambil keputusan untuk berkahwin. Ketika itu, aku mendapat dua perkara baik dalam hidup aku. Seorang suami dan aku disahkan hamil. Aku bakal menjadi seorang ibu."
Emma menarik nafas panjang-panjang.
"Sewaktu kandungan aku memasuki usia lapan bulan, Stefan mendapat panggilan untuk bertugas dia sempadan. Dengan berat hati aku lepaskan dia. Setiap hari aku tunggu kepulangannya sehinggalah tiba saat aku melahirkan. Leah lahir tanpa kehadiran Stefan. Aku mengharapkan Stefan ada di sisi aku ketika itu tapi berita lain pula yang aku terima. Stefan terkorban sewaktu menjalankan tugas. Luluh hati aku tiada siapa yang tahu. Aku kesal kerana hanya sempat meluangkan masa yang singkat dengan dia. Aku hampir putus asa tapi Leah menjadi sebab untuk aku meneruskan hidup."
"Aku gagahkan diri untuk bangkit demi anak aku. Dia adalah satu-satunya perkara terbaik yang melambangkan Stefan pernah hadir dalam hidup aku. Aku cintakan Stefan melebihi segala-galanya, Rhea. Tapi adakalanya, apa yang kita mahukan itu tidak selalunya kita perolehi. Aku kehilangan Stefan, tapi aku mendapatkan Leah sebagai penawar rindu aku kepadanya."
"Sakit dan pahit kehilangan hanya orang yang pernah mengalami mampu memahami perasaan itu. Sebab itu aku berani bercakap dengan kau. Kau nak menangis, nak berkabung boleh. Tapi, jangan lupa dengan hukum Tuhan. Semua yang hidup pasti akan mati suatu hari nanti. Cuma kita yang tidak tahu, bila dan bagaimana. Kita kena lapangkan dada, terima dengan hati yang terbuka setiap sesuatu yang baik mahupun yang buruk yang berlaku dalam hidup kita."
"Conrad telah pergi selama-lamanya dari hidup kita semua, tapi kau masih ada tanggungjawab yang perlu kau laksanakan. Amanah mendiang abang kau, kau jangan disia-siakan."
Rhea mengangguk kecil.
"Terima kasih Emma." Emma mengangguk laju. Dia memeluk Rhea rapat-rapat sambil berbisik.

ANDA SEDANG MEMBACA
SORROW
General FictionRhea dan Jai bertemu dalam situasi yang agak luar biasa. Pertemuan mereka juga telah merungkai rahsia demi rahsia yang terpendam selama ini. Angkara sifat tamak dan cemburu buta, Rhea dan Jai diburu oleh musuh yang tidak bernama. Seringkali mereka b...