Rhea ditemani Emma melangkah masuk ke dalam pejabat guaman Joven Hendriks. Selepas seminggu berlalu, barulah dia ada kekuatan untuk berjumpa dengan peguam itu untuk membincangkan harta peninggalan Conrad.
Joven menyambut ramah kedatangannya sambil turut menzahirkan rasa terkejut dengan apa yang telah berlaku.
"Duduklah, Rhea. Saya sangka awak datang dengan Stella."
"Tak dia tak dapat hadir. Ini kawan baik saya, Emma."
"Hai Emma, selamat berkenalan."
"Selamat berkenalan dengan awak juga encik peguam." Joven mengangguk perlahan. Dia mengeluarkan sebuah fail dari kabinet berkunci di belakangnya lantas diletakkan di atas meja. Di hadapan mereka semua.
"Jadi awak datang tentunya tentang harta peninggalan mendiang abang awak."
Rhea mengangguk. Fail yang dipegangnya turut diletakkan di atas meja.
"Apa yang perlu saya lakukan, Joven? Boleh tak saya serahkan MG Empire tu kepada Stella. Maksud saya, kan dia yang menguruskan syarikat itu sekarang?"
"Boleh tu boleh, Rhea. Masalahnya, ia bertentangan dengan wasiat Tuan Don Gavin. Awak sendiri dengar ketika saya membacakannya tempoh hari, betul kan?"
"Ya, tapi tak adil rasanya Stella dilayan begitu. Dia bekerja di MG Empire sudah lebih dari sepuluh tahun, dan dia anak tiri papa. Apa salahnya dia mewarisi syarikat itu?"
Joven menggeleng kecil.
"Semudah itu awak menyerahkan hasil titik peluh ayah dan abang awak kepada orang lain, Rhea. Seperti yang awak sebutkan tadi, status Stella sebagai anak tiri itulah yang menidakkan hak dia ke atas sebarang bentuk harta peninggalan Tuan Don Gavin. Saya sendiri tidak bersetuju sekiranya awak mengambil keputusan itu."
Rhea menoleh ke arah Emma.
"Saya cuma hendak jernihkan hubungan saya dengan Stella, Joven. Awak pun tahu, dia tidak sukakan saya sejak kecil lagi. Siapa tahu kalau saya serahkan MG Empire kepada dia, dia akan berubah hati."
"Suka pada awak, maksudnya?" Rhea mengangguk. Joven tersenyum kemudian menggeleng lagi.
"Dengar sini Rhea, perasaan tidak suka Stella terhadap awak tidak akan hilang walaupun awak serahkan seluruh harta kekayaan awak kepada dia. Dan awak pun tahu, kekayaan awak ini hanyalah salah satu penyebab kenapa dia begitu anti dengan awak, kan?"
Rhea tidak menjawab. Walaupun dia tahu, dia mendiamkan diri. Emma menepuk perlahan lengannya.
"Awak nak tahu sebab utama Stella tidak sukakan awak, sebab awak ni anak kandung Tuan Don Gavin. Dia tidak dapat menerima kenyataan yang dia sebenarnya bukan siapa-siapa dalam keluarga Gavin. Kalau bukan awak sekalipun, Stella tetap akan lakukan benda yang sama."
"Jadi, segalanya akan berlaku menurut wasiat papa sayalah ya?"
"Ya Cik Rhea. Apa yang telah diwasiatkan, itulah yang akan berlaku. Selain itu, saya nasihatkan, jangan sekali-kali awak berfikir hendak menyerahkan apa-apa pun harta peninggalan papa awak kepada orang lain, terutama sekali Stella. Lainlah, kalau awak sudah berkahwin punya anak, dan awak hendak serahkan sebahagian harta awak kepada anak awak itu, ya.. itu tiada masalah."
"Kau kena kahwin kalau tak nak jadi orang kaya seorang diri." Emma berbisik.
"Bukan begitu Emma. Walaupun nanti Rhea akan menyerahkan hartanya kepada anak dia nanti, ada prosedur dan undang-undang yang perlu diikuti. Bukan main bagi je, tak."
"Oh.. susahlah macam ni Rhea. Tanggungjawab ni bukan mudah. Aku risaukan kau. Lebih-lebih lagi bila teringatkan Stella. Encik Peguam, tolonglah fikirkan sesuatu untuk membantu Rhea. Dia.. dia.. masih terlalu muda untuk memikul semua tanggungjawab ni."

ANDA SEDANG MEMBACA
SORROW
General FictionRhea dan Jai bertemu dalam situasi yang agak luar biasa. Pertemuan mereka juga telah merungkai rahsia demi rahsia yang terpendam selama ini. Angkara sifat tamak dan cemburu buta, Rhea dan Jai diburu oleh musuh yang tidak bernama. Seringkali mereka b...