Rhea menghubungi Conrad terlebih dahulu sebelum memenuhi kehendak abangnya itu untuk bertemu. Itupun selepas urusan mencari tadika untuk Leah selesai.
"Tunggu aku di Old Town Central."
Rhea meletakkan talian. Nama pun boss besar, memanglah kerjanya mengarah orang sahaja.
Rhea memandu ke Old Town Central, hendak berjalan kaki, cuaca panas terik. Boleh pitam kalau berjemur lama sangat.
Sambil-sambil menikmati pemandangan sekeliling, dia memasang radio. Fikirannya pula melayang mengingati semula kehidupannya sebelum ini.
Boleh dikatakan dia amat bertuah sebab Conrad sudi menerimanya di dalam keluarga Gavin. Kalau tidak, entah di lorong mana dia merempat sekarang ini. Sudahlah latar belakang ibu kandungnya tidak diketahui, apa lagi paras rupa wanita tersebut.
Tidak hanya latar belakangnya yang kabur, penghinaan Stella bagaikan halwa telinga yang setia menemani zaman kanak-kanaknya.
Dia tidak boleh melupakan segala kebencian Stella dan hasad dengki Bre sejak kecil lagi.
'Conrad, kau tengok budak ni, dia dah kacau barang mainan Bre. Boleh tak kau kurung dia ke letak dia di tempat lain? Aku macam nak belasah budak ni asal aku nampak muka dia.'
Jeritan Stella membelah kesunyian Kristal Mansion seawal jam 7 pagi. Pada hal situasi itu berpunca dari Bre yang dengki dengannya.
'Stella, dia ini adik aku. Sama ada kau suka atau tidak, dia akan duduk di sini dengan kita. Atau, kalau kau tidak suka duduk bersama-sama dengan kami, keluar dari rumah ini. Bawa anak-anak kau sekali.'
Stella terpegun mendengar kata-kata Conrad.
'Conrad, kita sudah tinggal bersama-sama di rumah ini selama hampir dua puluh tahun. Sekarang kau halau aku gara-gara seorang budak yang entah dari mana datangnya. Kau biar betul.'
'Sekali lagi aku ingatkan, Rhea ialah adik aku. Memanglah kita tidak tahu siapa ibu dia, tapi sekurang-kurangnya dia anak kandung papa. Kau faham maksud aku?'

ANDA SEDANG MEMBACA
SORROW
Ficción GeneralRhea dan Jai bertemu dalam situasi yang agak luar biasa. Pertemuan mereka juga telah merungkai rahsia demi rahsia yang terpendam selama ini. Angkara sifat tamak dan cemburu buta, Rhea dan Jai diburu oleh musuh yang tidak bernama. Seringkali mereka b...