Prolog: Dendam tercipta💥🔥

3.9K 106 12
                                    

SMK FITRI OMAR, TERENGGANU

PINTU kereta Honda Accord milik ibunya ditutup lalu Jasmin melangkah keluar. Cukup seminggu dia menjadi pelajar baru di sekolah ini. Sebelum ni dia bersekolah di SMK Desa Petaling, Kuala Lumpur.

Saat pertama kali menjejakkan kali ke sekolah ini, dia sudah berkenan pada seorang seniornya yang berada di tingkatan lima. Orangnya bukan calang-calang. Merupakan pelajar terbaik sekolah dan wakil negeri Terengganu dalam sukan bola sepak.

Hazrain Hanafi. Itulah nama yang buatkan dia tiba-tiba jadi semangat mahu ke sekolah. Pantang lelaki itu lalu, tidak berkelip matanya memandang. Dalam hati Jasmin tergelak memikirkan kenakalan diri. Baru tingkatan tiga sudah gatal memandang lelaki. Kalau mak dan ayah tahu, mati dia.

Melihat orang yang dinanti berjalan masuk ke kawasan sekolah, buatkan jantung Jasmin tiba-tiba berdegup kencang. Senyuman yang mahu terbentuk ditahan. Bahaya kalau pelajar lain nampak dia senyum seorang diri.

Senyuman manis dilemparkan apabila Hazrain memandangnya. Mahu saja Jasmin melompat-lompat apabila lelaki itu membalas senyumannya. Walaupun ketara senyuman Hazrain tidak ikhlas dan nampak terpaksa, tapi dia tidak kisah. Selama dia memandang lelaki itu dalam diam, Hazrain memang sombong dengan perempuan.
        Dengan berlenggang Jasmin masuk ke kelas. Disebabkan kedudukannya di tepi tingkap, setiap saat matanya memandang tangga, mana tahu Hazrain akan muncul. Waktu itu dia akan tengok sampai naik juling biji mata.

"Tengok apa tu?"

"Liu, Hazrain yang tingkatan lima tu, awak kenal?"

"Min, you jangan sebut itu nama dalam kelas ni. Dia punya girlfriend ada sini ma."

Girlfriend? Hancur hati Jasmin. Wajah sudah berubah sedih. "Betul ke?" Matanya mengikut arah jari Liu Na yang dihalakan ke barisan paling hadapan. Seorang perempuan yang menunduk sambil membaca buku dipandang. Shima?

"Mereka bercinta masa Shima tingkatan satu lagi. Sama-sama cerdik ma. Satu sekolah sudah tahu. Shima cantik. Semua lelaki suka dia, itu pasal dia sombong. Hazrain pun sama, sebab ramai perempuan suka dia pun sombong. Mereka selalu berdua je."

Murung Jasmin dengar kata-kata Liu Na. Padahal tadi dia suka terfikir mahu dekat dengan Hazrain. Dapat dijadikan abang angkat pun sudah cukup.

KOPERASI dituju untuk membeli baju sukan sekolah. Takut saiz yang diingini sudah habis, Jasmin melajukan langkah.

"Eh awak, baju ni awak ambil kat situ ke?"

Tidak berkelip mata Jasmin apabila melihat orang yang menegurnya ialah Hazrain. Jantung sudah mengepam laju. Lupa terus yang Hazrain sudah berpunya. "Haah, kenapa?"

"Baju tu baju Shima. Saya suruh akak koperasi simpan untuk dia."

"Ambilah baju lain." Cemburu pula dia dengan Shima. Sampai baju pun Hazrain yang tolong beli. Shima yang baru sampai dipandang. Mata dijuling apabila melihat mereka saling tersenyum. Meluat!

"Semua tinggal saiz XL dan XXL je. Awak pergi ambil saiz tu, yang ni bagi saya. Awak mana muat pakai saiz M. Awak saiz XL. Sedarlah diri sikit."

Kata-kata Shima buat Jasmin mengetap bibir. Tidak jadi mahu balas apabila Hazrain ketawa mendengar kata-kata teman wanitanya itu. Baru Jasmin sedar akan fizikalnya apabila dikutuk depan-depan. Sedih punya pasal dia melempar baju itu ke muka Shima, lalu keluar daripada koperasi. Tapi belum sampai ke pintu, laluannya disekat.

"Hei gemuk, kau ni kenapa?" Marah Shima sambil mengosok mukanya yang terasa sakit. Malu apabila diperlakukan begitu di hadapan Hazrain. "Kau baru masuk sekolah ni nak berlagak."

"Eh, awak minta maaf dengan Shima sekarang. Apa yang kurang ajar sangat."

Jasmin tidak peduli dengan kata-kata mereka. Yang dia tahu hatinya bertambah sakit apabila dipanggil gemuk. "Kau ingat kau cantik? Muka penuh jerawat merah-merah. Harap lawa pakai bedak je. Dahlah kemetot!"

Puas mengejek terus Jasmin meneruskan langkah. Dapat dia lihat wajah Shima berona merah apabila dikutuk depan-depan. Malu dengan Hazrainlah tu.

BERGEGAS Jasmin ke kantin apabila menyedari waktu rehat hampir tamat.

Keluhan terbit apabila melihat banyak makanan sudah habis. Melihat sepinggan nasi ayam, buat Jasmin kembali ceria. Duit dalam poket dikeluarkan lalu pinggan dicapai.

"Nasi ayam tu dah ada orang punya." Tegur Abang Ripin yang merupakan pembantu kantin. Lupa dia mahu alihkan nasi ayam itu.

"Dia dah bayar?"

"Belum."

Duit tetap dihulurkan. Benci betul orang yang simpan makanan untuk orang lain. "Siapa cepat dia dapat. Saya nak."

"Abang Ripin mana nasi ayam Shima?" Shima memandang lirikan mata lelaki itu. Pinggan nasi ayamnya sudah berada di tangan Jasmin. "Bagi balik. Itu nasi aku."

Kemunculan Shima mula buat Jasmin panas. Mulut perempuan itu sudah menjaja cerita yang tidak betul tentangnya. Dikatakan dia pelajar bermasalah dan terlalu bersosial. Maklumlah dia dari Kuala Lumpur. Tak pasal-pasal satu sekolah memandang serong padanya. Malah, Liu Na juga sudah terhasut sehingga berpindah tempat. Sekarang ini dia hanya duduk seorang diri di belakang tanpa kawan.

Disebabkan Shima pelajar cemerlang dan nampak baik, semua mempercayai gadis itu. Sedih pula hati!

"Kau ni memang jahat, kan? Yang aku punya mesti kau nak ambil." Marah Shima apabila Jasmin berkeras tidak mahu memberi. Dia terpaksa makan lambat disebabkan perlu bertugas menjaga kelas. Inilah nasib bila jadi pengawas.

"Kau tu yang jahat. Nampak senyap tapi mulut kemain berbisa. Pijak semut tak mati. Meluat aku tengok kau. Pura-pura baik, manja semata-mata nak tarik perhatian orang."

"Awak, dia cakap saya mulut jahat." Adu Shima apabila Hazrain sudah berdiri di sebelahnya. Hilang sabarnya melihat keberanian Jasmin. Sudah beberapa hari dia tahan, tapi hari ni dia sudah tidak mampu. "Dia gemuk macam gajah, curi makanan orang tak sedar pulak."

"Budak gemuk memang suka makan. Tak peduli dah makanan orang ke apa."

Dan apabila kutukan itu keluar daripada mulut lelaki yang diminati buatkan rasa suka pada Hazrain serta merta hilang. Jasmin kecewa. Terasa satu penyesalan dia pernah suka pada lelaki itu. Tak sangka Hazrain juga seperti Shima. Dia tahu lelaki itu mahu menyebelahi Shima tanpa sedar kata-kata itu sudah menguris hatinya.

Melihat pelajar yang mula berkumpul, Jasmin membuka langkah. Baik dia makan daripada melayan Shima. Tapi pinggannya yang cuba dirampas ditarik balik. Berlakulah agenda tarik menarik sehingga secara tidak sengaja dia tertumpahkan nasi ayam ke tudung dan baju Shima. Pelajar yang melihat mula bersorok kegirangan seolah-olah apa yang berlaku terlalu menarik.

"Gemuk badak air!"

Bergema kantin dengan suara marah Hazrain. Bulat mata Jasmin apabila mendengar ejekan lelaki itu. Kali ini dia betul-betul terasa dengan Hazrain. Tapi untuk membalas suaranya tenggelam apabila pelajar yang melihat bersorok ke arahnya. Dia dipersalahkan.

Tidak tahan dengan suara bising, Jasmin berlari pergi. Tapi entah mana silapnya dia terpijak tompokan air sirap yang tumpah lalu jatuh terlentang. Punggung yang sakit menyebabkan dia tidak mampu bangun.

Saat matanya memandang Hazrain dan Shima yang sudah ketawa terbahak-bahak, buatkan air mata yang ditahan akhirnya jatuh. Dia dimalukan! Dapat dia lihat beberapa orang guru yang keluar daripada ruang makan seolah-olah terkejut melihatnya tapi matanya tidak buta apabila melihat guru-guru itu juga sebenarnya sedang menahan senyum.

Shima. Hazrain. Aku benci kau!

Jangan lupa vote⭐️

🌸PENGGANTI CINTA DIA🌸  Where stories live. Discover now