BAB 16 (b) :Nyampah Tak Makan Bilis

921 62 2
                                    

"KENAPA tak makan?" bisik Jasmin sambil menjeling pinggan Hazrain. Tengok rupa dia sudah tahu. Mesti tak boleh makan nasi pagi-pagi. Mengada betullah anak orang kaya ni.

          "Pagi aku biasa makan roti."

          Mata hitam dijuling ke atas. Timbul idea mahu mengenakan Hazrain. Laju dia menyudu lauk sambal bilis lalu diletakkan ke dalam pinggan lelaki itu. "Makanlah, best tau mak masak. Mesti awak nak tambah."

          Sarapan pagi disediakan oleh maknya. Nasi lemak dihidangkan bersama sambal bilis, sotong dan udang. Kemudian ada telur rebus, kacang goreng dan kangkung celur. Meriah sarapan mereka sekeluarga pagi ini.

           "Aku tak makan ikan bilislah," marah Hazrain dalam nada perlahan. Kurang ajar betul Jasmin. "Ambil balik, aku tak suruh kau letak."

           "Kenapa Haz? Ada yang tak kena ke?" soal Puan Sri Suhaina yang muncul sambil menatang dulang.

          "Min tahu saya tak makan bilis. Tapi dia letak jugak. Dia nak suruh saya makan," adu  Hazrain selamba. Tiada kompromi kalau bab makan. Benda yang dia tak suka, memang dia tidak akan makan.

           Jasmin terbatuk. Keluar beberapa biji nasi yang dikunyah. Hazrain sebut namanya? Telinga dia tidak salah dengar ke? Terasa macam mimpi pula.

            "Apa kau ni dik? Tak senonoh betul makan," tegur Abang Arman pada Jasmin.

           "Min dah tahu Haz tak makan bilis, kenapa letak juga?" Kali ini Tan Sri Yusof pula menegur anaknya.

             Bibir Jasmin kaku. Nak suka tak boleh, nak marah pun tak boleh. Sejak bila dia tahu Hazrain tak makan bilis? Dia tidak tahu apa-apa pun pasal lelaki tu. Wah, pandai Hazrain kenakan dia.

              "Tapi sambal bilis ni sedap. Cubalah." Apa pun terjadi Hazrain tetap kena makan.

           "Min, kalau Haz tak makan bilis itu sedap macam mana pun, dia tak akan makan. Macam Min yang tak suka udang. Sedap macam mana pun bukannya Min nak makan, kan?"

              "Nah." Sambal ikan bilis diceduk lalu diletakkan dalam pinggan Jasmin. Puas hati apabila ayah mentua menyebelahinya. Lauk sambal udang dicapai. Nak tak nak terpaksa juga dia makan nasi pagi ini. Mujur ada sambal udang, terbuka seleranya untuk makan.

           "Haz tinggal sini berapa hari?" soal Tan Sri Yusof sambil mengaul nasi. Sengaja dia bertanya bagi mengelakkan suasana sunyi.

           "Esok dah kena balik dah."

           Jawapan Hazrain menyebabkan bibir Jasmin tersenyum lebar. Yes.

          "Cepatnya nak balik. Cutilah lama sikit. Min pun cuti seminggu. Jalan-jalan kat Melaka ni. Nanti suruh Min bawa." 

           Kata-kata ayah menyebabkan senyuman Jasmin mati. Biarlah dia nak balik, ayah.

           Hazrain diam. Bukan tidak boleh cuti lama, tapi sengaja dia ambil cuti beberapa hari saja. Buat apa nak duduk sini lama-lama?

          "Kesian Min tu nanti kena tinggal. Mesti dia sedih. Auch..."

          Disepak kaki Abang Arman di bawah meja. "Padan muka." Suka sangat usiknya.

           "Banyak kerjalah, ayah."

            Perkataan terakhir Hazrain buat Jasmin terpaku. Ini kali pertama sebaik mereka diijabkabul semalam, telinganya mendengar Hazrain memanggil ayahnya sebagai ayah. Entah kenapa elok saja dia melihat Hazrain bergaul dengan ayah dan abang-abangnya.

             Kenapalah lelaki ini tidak boleh melayan Datuk Hanafi sebaik ini? Tak ada pula dia melihat Hazrain melayan keluarganya endah tak endah. Bercakap pun sopan. Beza betul kalau bercakap dengannya.

           "Kau ni memang suka termenung, kan?"  tegur Hazrain perlahan lalu menyiku lengan Jasmin. "Dia memang suka termenung ke ayah?"

            "Tak juga. Min kalau termenung maknanya dia ada masalah. Itu aje. Masalah apa yang tak selesai lagi tu Min sampai ayah tanya pun tak dengar?"

            Cepat-cepat Jasmin mengeleng. "Min bukan termenung tapi sedang menghayati keenakan nasi lemak yang mak buat ni, sedap sangat. Ayah tanya apa tadi?"

          Tan Sri Yusof ketawa kecil. Nampak sangat kebohongan anaknya di situ. Jasmin seorang yang tidak pandai berbohong.  "Ayah tanya esok kamu nak ikut Haz balik sekali ke?"

           "Mestilah tak. Cuti Min banyak lagi. Kalau balik sana pun tak buat apa juga. Baik habiskan cuti kat sini. Hazrain pun tak kisah. Kami dah bincang." Menipu lagi! Lancar pula tu.

            Tan Sri Yusof  mengangguk. Jasmin sudah besar. Apa saja keputusan anaknya, dia tidak boleh masuk campur lagi. Sebagai ayah dia hanya mampu menitipkan doa.

Jangan lupa tekan vote  ⭐️ & tambah cerita ni dalam playlist reading anda🥳 Terima kasih sudi baca🤩😘

🌸PENGGANTI CINTA DIA🌸  Where stories live. Discover now