"ERK, tak apa ke saya tunggu dalam bilik? Kan datuk tak ada. Saya boleh je tunggu kat luar." Beritahu Jasmin sebelum masuk ke bilik Datuk Hanafi. Dipandang Cik Irene yang merupakan setiausaha Datuk Hanafi. Kebetulan saat dia tiba, lelaki itu masih di bilik mesyuarat.
"Datuk dah cakap kat saya yang cik nak datang. Lagipun kalau ada tetamu memang datuk suruh tunggu kat bilik dia terus." Pintu dibuka lalu dia mempersilakan tetamu itu masuk. "Dalam 15 minit lagi datuk habislah mesyuarat. Cik duduk dulu, saya pergi buat air. Teh or coffee?"
"Teh." Sebaik Cik Irene menutup pintu baru Jasmin melabuhkan duduk. Setelah seminggu baru hari ini dia berani berjumpa Datuk Hanafi. Seminggu dia berfikir, ternyata keputusannya tetap sama.
Aku pentingkan diri sendiri ke? Tapi aku tak nak korbankan diri aku. Keputusan yang dibuat adalah muktamad. Biarlah Datuk Hanafi kecewa dengannya. Itu lebih baik daripada dia kecewa di kemudian hari.
Jujurnya dia masih belum bersedia untuk berjumpa Datuk Hanafi. Tapi dia tidak mahu melengahkan masa. Takut Datuk Hanafi makin berharap padanya. Ayu sendiri yang menasihatinya supaya pergi berjumpa Datuk Hanafi. Cakap baik-baik dengannya. Pasti lelaki itu akan faham.
Cawan berisi teh yang baru diletakkan oleh Cik Irene dicapai. Kemudian jam tangan dipandang. Mana pula Datuk Hanafi? Sudahlah lepas ini dia perlu kembali ke pejabat. Sengaja dia berjumpa pada waktu-waktu begini.
Jasmin bangun apabila duduknya sudah mula terasa panas. Sekitar bilik kerja Datuk Hanafi dipandang. Not bad. Sesuailah dengan kerjaya dan pangkat lelaki itu. Sebuah bingkai gambar yang tergantung pada dinding menarik perhatiannya. Tanpa sedar kaki mula melangkah ke situ. Gambar keluarga.
Gambar lima tahun lepas. Mana dia tahu? Kerana dalam itu ada Hazrain dan arwah isterinya. Mereka semua nampak gembira. Perempuan yang dipeluk Hazrain dipandang.
Cantik. Hati Jasmin memuji. Inilah arwah isteri Hazrain. Mereka nampak sepadan. Mata kemudian jatuh pada bingkai gambar yang terdapat atas almari. Banyak. Lebih sepuluh bingkai. Semua gambar anak-anak Datuk Hanafi.
"Eh?" Ujarnya tiba-tiba apabila melihat satu gambar yang seperti pernah dilihat. Bingkai diambil. Seorang remaja lelaki berpakaian sukan sedang memeluk Datuk Hanafi. Mata Jasmin mula mengecil. Makin lama melihat, dadanya mula berdebar. Kenapa wajah remaja itu seperti pernah dilihatnya?
"Tak mungkin dia." Ujar Jasmin tiba-tiba apabila dia dapat mengingat gerangan lelaki itu. Hazrain? Apa itu lelaki yang sama dengan Hazrain yang pernah dia kenal dulu? Dia sudah lupa dengan Hazrain yang pernah memberinya malu saat remaja. Tapi dia tidak pernah lupa apa yang dibuat dan dikatakan oleh Hazrain padanya.
Bingkai gambar jatuh. Tangan Jasmin mula menggigil. Wajah perempuan yang dipeluk Hazrain dalam gambar kembali dipandang. Dia? Wajah itu ada iras-iras 'dia'.
"Cik Jasmin okey?"
Tersentak Jasmin apabila ditegur oleh Cik Irene. Entah bila masa masuk pun dia tidak sedar. Bingkai yang jatuh kembali diangkat. Mujur bukan bingkai kaca. Kalau pecah satu masalah pula. "Ini siapa?" Soalnya sambil menunjuk gambar remaja lelaki itu. Dia mahukan kepastian.
"Anak kedua Datuk Hanafi, Encik Hazrain."
Sesak nafas Jasmin. Dia tidak percaya. Gambar perempuan yang dipeluk Hazrain pula ditunjuk.
"Itu isteri Encik Hazrain. Namanya Shima Thalia. Tapi dia dah lama meninggal."
Sedar lutut tidak mampu menampung berat badan, cepat-cepat Jasmin memegang almari. Sungguh dia mahu pengsan. Apa semua ni? Hazrain, Shima? Mereka kembali berjumpa? Kenapa selama ini dia tidak sedar?
Kenangan pahit ketika dia di tingkatan tiga kembali bermain di fikiran. Hari paling memalukan itulah merupakan hari terakhir dia di sekolah itu. Perginya dalam keadaan yang teramat malu. Setelah bertahun-tahun, bila diingat kembali ternyata rasa sakit itu masih sama.
Tangannya digenggam kuat sambil memandang wajah Hazrain dan Shima yang berada dalam gambar. Cinta sejati! Bercinta dari zaman sekolah, akhirnya kahwin juga mereka. Tapi ternyata jodoh mereka tidak panjang. Fahamlah dia kenapa Hazrain payah bangkit.
Shima, perempuan yang sangat dicintai lelaki itu. Pasti Hazrain menderita kehilangan cinta hatinya. Bibir Jasmin tersenyum sinis. Syaitan mula berbisik halus.
*Jangan lupa vote⭐️
YOU ARE READING
🌸PENGGANTI CINTA DIA🌸
Storie d'amoreDulu kita bertemu, kenangan pahit tercipta antara kita sehingga mencipta dendam dalam diri aku. Kini, siapa sangka kita ditakdirkan untuk berjumpa. Niat aku terpesong, kerana dendam aku berubah. ************************ "Helo." "Bar...