"JEMPUTLAH singgah dulu. Jumpa auntie." Pelawa Datuk Hanafi sebaik kereta yang Jasmin pandu memasuki pekarangan rumah. Keretanya tiba-tiba rosak tadi, nasib baik gadis itu sudi menghantarnya pulang. "Jangan risau. Hazrain tak ada."
"Betul dia tak ada?" Tanya Jasmin sambil tersengih. Entah macam mana terlepas pula soalan tu daripada mulut. Nampak sangat itu yang sedang difikirkan. Memang dia malas mahu bertembung dengan Hazrain.
"Betullah, takkan uncle nak tipu pula. Tu tengok, kereta dia mana ada." Jari Datuk Hanafi menunjuk ke arah garaj kereta. Entah kenal ke tidak Jasmin akan kereta milik anaknya.
Jasmin melangkah turun mengikut Datuk Hanafi. Dalam hati dia sudah merancang cukup sepuluh minit dia akan meminta diri. Tidak elok duduk lama-lama di rumah orang. Kehadirannya telah mengejutkan Datin Izzah. Tapi tetap saja wanita itu menyambut baik kehadirannya.
"Makanlah kek ni. Auntie baru buat pagi tadi." Datin Izzah menghulurkan pinggan yang berisi kek coklat pada Jasmin.
Jasmin tersenyum lalu mula memakan kek itu. Cepat makan, cepatlah dia balik. Sambil makan matanya melilau memandang dapur Datin Izzah. Wanita itu suruh dia tunggu di ruang tamu, tapi segan berseorangan buat dia ikut Datin Izzah ke dapur. Datuk Hanafi terpaksa naik untuk menunaikan solat.
"Datin ada panggilan telefon untuk datin." Sedang rancak berbual tiba-tiba pembantu rumah Datin Izzah muncul di muka pintu dapur.
"Min duduk dulu. Auntie nak jawab call sekejap. Kalau tak cukup, tambah je. Jangan malu-malu." Sempat lagi Datin Izzah meletakkan sepotong kek coklat ke dalam pinggan tetamunya.
Sebaik kelibat Datin Izzah dan pembantu rumah hilang daripada pandangan. Cepat-cepat Jasmin menghabiskan kek coklat yang masih berbaki dalam pinggannya. Apa yang dia tahu dia ingin balik secepat yang mungkin. Tak mustahil kalau-kalau Datin Izzah akan menahannya pula untuk makan malam di sini. Harap-harap tidaklah.
Cawan dicapai sebaik kek berjaya dihabiskan.
"Kau buat apa kat sini?"
Tersedak Jasmin apabila ada suara yang menegur. Air yang tumpah sedikit atas tudung dikibas dengan tangan. Terus dia berpaling pada suara yang menegur. Gulp!
Bibir bawah digigit. Inilah yang paling dia tidak suka. Tahulah ini rumah dia, tapi perlukan mereka berjumpa?
"Aku tanya kau buat apa kat sini? Kau tak ada mulut ke?"
Hazrain ni tak boleh tanya dengan lemah lembut langsung. Muka tu memang jenis ketat ke? Langsung tidak senyum pada tetamu. Opss lupa lelaki sombong berlagak macam ni mana ambil peduli hal orang.
"Makan kek coklat. Tapi dah habis dah. Dah nak balik pun." Pinggan yang sudah licin diangkat. Dalam pada takut, sempat lagi dia menjawab. Sehabis boleh dia cuba mengawal nada suara supaya tidak terlalu berubah. Takut bukan apa, buatnya gila lelaki itu datang malu dia kena tengking di sini.
Hazrain tiba-tiba senyap. Jelingan tajam dihadiahkan pada Jasmin.
"Pasal tengok saya? Macam tak puas hati je." Polos Jasmin bertanya.
"Memang aku tak puas hati dengan kau." Marah Hazrain sambil mengetap giginya kuat. Kalau boleh telan gadis di depannya memang dia akan telan hidup-hidup. Suka masuk campur hal orang!
"Saya balik dulu." Tidak mahu mengeruhkan keadaan Jasmin mencapai kunci kereta. Hazrain memang tidak betul agaknya. Tiba-tiba nak marah tanpa sebab. Daripada berlaku perkara yang tak diingini baik ada yang mengalah. Dan dia dengan senang hati akan mengalah sebab dia yakin seratus peratus Hazrain tidak akan mengalah.
"Berapa papa aku bayar pada kau?"
Jasmin menghentikan langkah sebaik mendengar soalan itu. Lambat-lambat dia berpaling pada lelaki yang sedang membelakanginya itu. "Bayar apa?" Soalnya dengan dahi berkerut.
Hazrain tersenyum sinis. Pandai gadis ini berlakon. "Aku tahu yang papa aku bayar supaya kau rapat dengan aku. Dia nak aku terima dia balik." Dia tahu yang papa dan mamanya ada merancang sesuatu. Tapi malangnya dia sudah menghidu tindakan papanya itu. Papa mungkin lupa yang dia juga tinggal dalam rumah ini.
Dah lebih nampak mamat berlagak sombong ni. Main tuduh ikut suka hati je. Tak sayang mulut betul! Matanya tepat merenung wajah Hazrain. Itu salah satu sikapnya. Dia apabila bercakap akan fikir kesan daripada percakapannya. Ayah juga selalu berpesan kalau orang tengah marah, orang lagi satu baik berdiam diri saja. Diam bukan tanda mengalah.
"Kenapa diam? Dah kantoi?" Ejek Hazrain.
"Nak cakap apa cakaplah. Saya tak kisah."
Jawapan Jasmin buat Hazrain bertambah panas. Nampak sangat mahu lari daripada kenyataan. "Aku tak suka kau masuk campur hal aku. Aku nak kau tahu berapa pun yang papa aku bayar, kau takkan dapat ubah kebencian yang ada dalam diri aku."
'Macamlah aku hadap sangat duit bapak kau tu.' Ejek Jasmin dalam hati.
"Eh, Haz dah balik ke?" Datin Izzah muncul di saat suasana mula tegang.
"Auntie, Min balik dulu. Kek yang auntie buat sedap sangat. Terima kasih sekali lagi. Assalamualaikum." Tangan Datin Izzah dicapai lalu dicium lembut. Kemudian bergegas dia berjalan keluar.
Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam reading list anda hokey
YOU ARE READING
🌸PENGGANTI CINTA DIA🌸
RomansDulu kita bertemu, kenangan pahit tercipta antara kita sehingga mencipta dendam dalam diri aku. Kini, siapa sangka kita ditakdirkan untuk berjumpa. Niat aku terpesong, kerana dendam aku berubah. ************************ "Helo." "Bar...