BAB 7 (b) : Kekesalan Lama

971 63 1
                                    

"UNCLE memang nak Min jadi menantu uncle. Tapi uncle tak boleh ikut kepala uncle je. Uncle kena tanya Min dulu. Sebab yang nak kahwinnya Min bukan uncle. Min tak kisah ke kalau uncle jodohkan Min dengan Hazrain?"

Akhirnya dapat juga Jasmin dengar pengakuan Datuk Hanafi. Ajakan lelaki itu yang mahu berjumpa pada awalnya ditolak. Tapi atas nasihat Ayu dia terpaksa kuatkan hati. Tahu sangat apa yang ingin dibincang oleh Datuk Hanafi. Kata Ayu, masalah tidak akan selesai kalau dia melarikan diri. Jalan terbaik hadap saja masalah.

"Kenapa uncle nak jodohkan Min dengan Hazrain? Kenapa bukan dengan anak uncle yang lain?" Akhirnya keluar juga soalan yang ingin ditanya.

Datuk Hanafi diam sebentar. Sudah agak pasti Jasmin akan bertanya soalan ini. "Uncle nampak hanya Hazrain yang sepadan dengan Min."

Jasmin menelan air liur. Kat mana yang sepadan pun, dia tidak tahu. Memang tak logik! Sungguh, dia memang tidak berkenan dan berminat dengan lelaki bernama Hazrain itu.

"Kami ni memang tak boleh rapat, uncle. Dia tu Min tengok lain macam je. Perangai pula panas baran. Asyik nak marah. Min takut dengan orang macam tu." Jasmin berterus terang. Itu jalan yang paling selamat. Masih dia ingat kejadian yang berlaku di pejabatnya. Elok saja Hazrain memarahi Datuk Hanafi. Satu tindakan yang sangat kurang ajar!

"Hazrain dia bencikan uncle."

Terkerdip-kerdip mata Jasmin memandang Datuk Hanafi. Wajah serius yang nampak sedih. Ya, dia perasan kesedihan pada wajah itu.

"Hazrain baik budaknya. Dulu kami sangat rapat. Tapi disebabkan satu kejadian yang berlaku lima tahun lepas dia terus jadi benci pada uncle. Dia tak dapat terima hakikat hidup. Sebab tu dia terus salahkan uncle."

Dahi Jasmin makin berkerut. "Min cuba untuk faham, tapi Min tetap tak faham. Kejadian lima tahun lepas? Hakikat hidup? Apa tu?"

Makin berbelit pula cerita yang ingin disampaikan Datuk Hanafi. Apalah yang berlaku sampai Hazrain benci ayah kandung sendiri. Lagipun, bukankah kejadian tu sudah lima tahun berlaku? Buat apa mahu simpan marah lama-lama. Merugikan hidup adalah!

"Hazrain salahkan uncle atas kematian isterinya." Perlahan saja suara Datuk Hanafi. Wajahnya diraup beberapa kali. Pasti Jasmin terkejut dengan apa yang dikatakan. Tapi itulah hakikat.

"Hah?" Terngaga luas mulut Jasmin. Mata sudah membulat bukti dia sangat terkejut. Hazrain pernah berkahwin? Lelaki itu pernah ada isteri? Hazrain bukan bujang seperti yang difikirkan selama ini? Sungguh dia tidak pernah menjangkakan hal ini.

"Uncle tak minta pun perkara ini terjadi. Uncle sedih bila anak sendiri benci uncle, tapi uncle faham perasaan Hazrain. Dia masih tak boleh terima kenyataan. Apa yang dia lalui sangat sakit untuk dia terima."

"Apa yang jadi uncle?" Laju Jasmin bertanya. Entah kenapa berminat pula dia ingin tahu penyebab Hazrain begitu membenci ayah sendiri.

Datuk Hanafi menarik nafas. Dia tidak akan menyembunyikan apa-apa daripada Jasmin. Dia perlu jujur. Bukan niat mahu mengaibkan anak sendiri, tapi dia tidak mahu Jasmin fikir anaknya seorang yang biadap. Apa pun keputusan gadis itu selepas ini, dia akan terima.

"Arwah isteri Hazrain meninggal sebab kemalangan. Dia masuk wad sebab alami alahan yang teruk. Nak jadikan cerita, masa hari arwah keluar wad tu hari jadi Hazrain. Arwah rancang nak buat kejutan. Dia minta uncle ambil dia kat hospital dan jangan beritahu Hazrain. Uncle pun pergilah ambil arwah kat hospital. Tapi..." Bicara Datuk Hanafi terhenti seketika. Rasa sebak yang bertandang dalam hati ditahan.

"Malang tak berbau. Sewaktu pulang kereta yang uncle pandu terbabas masuk gaung. Silap uncle sebab masa tu uncle leka dengan telefon. Hazrain tak boleh terima kenyataan isteri dia meninggal. Dia salahkan uncle seratus peratus sebab cuai ketika memandu. Masa tu uncle memang tak boleh marahkan dia. Uncle faham apa yang dia rasa. Dia terlalu sayangkan arwah sampai tak boleh terima kenyataan yang arwah dah tak ada. Paling sedih bila arwah meninggal pada ulang tahun kelahiran Hazrain."

"Uncle ingat lama kelamaan Hazrain akan terima kenyataan. Tapi uncle silap. Sampai sekarang dia masih tak dapat terima hakikat dan masih salahkan uncle."

Jasmin menarik nafas panjang sebaik mendengar cerita Datuk Hanafi. Air mata yang ingin mengalir ditahan. Dia sedih bukan kerana mendengar kisah Hazrain, tetapi dia sedih apabila teringat kisah yang pernah berlaku dalam hidupnya suatu ketika dahulu. Kisah yang hampir meragut semangatnya untuk terus hidup.

Dia pernah rasa apa yang Hazrain rasa. Dia faham rasa bagaimana ditinggalkan oleh orang yang sangat disayangi. Tapi yang dia tidak faham kenapa Hazrain masih tidak dapat terima hakikat hidup? Bukankah hidup harus diteruskan? Terlalu cinta dan sayang arwah isteri? Itu tidak boleh dijadikan alasan!

Dulu dia hampir gila apabila kehilangan seseorang yang dia sayang. Tapi dia tidak menyalahkan orang lain. Dirinya yang disalahkan seratus peratus. Berkat bantuan keluarga dan Ayu, dia bangkit menjadi seorang gadis yang kuat walaupun hakikat sebenar hanya dia yang tahu. Tak sangka yang Hazrain pernah melalui detik-detik sukar dalam hidupnya.

"Sampai sekarang dia tak dapat terima kenyataan? Uncle tak cuba buat sesuatu ke?"

"Nak buat apa? Tengok uncle je dia jadi nak marah. Dia cuma okey dengan auntie dan adik beradik dia saja. Kalau bukan kerana auntie dah lama dia lari tinggalkan rumah. Sebab auntie jugalah Hazrain bekerja dengan uncle. Apa yang dia buat semuanya sebab dia masih fikirkan auntie. Uncle tak boleh bayang kalau auntie tak ada. Tentu Hazrain dah lama bawa diri."

Oh, nasib baik Hazrain masih fikir perasaan Datin Izzah. Jadi lelaki itu tak adalah pentingkan diri sendiri sangat.

"Uncle sebenarnya malu nak cakap dengan Min. Uncle takut Min fikir uncle ni pentingkan diri sendiri. Tapi uncle hanya nampak Min je untuk tolong uncle."

Jasmin mencapai jus epal lalu menghirup perlahan. Tolong? Tolong apa? Berdebar-debar dia dibuatnya.

Jangan lupa vote⭐️ dan tambah cerita ni dalam playlist reading anda❤️

🌸PENGGANTI CINTA DIA🌸  Where stories live. Discover now