BAB 18 (b) : Mogok Di Isteri Yang Makan Hati

1.6K 60 5
                                    

LEGA! Akhirnya dapat juga dia mandi. Sehari tidak mandi ibarat seminggu. Selesai berpakaian dan berdandan, langkah diatur ke sofa. Sudah pukul 8 pagi, patutlah perutnya berbunyi minta diisi.

          Tapi dia tiada niat mahu turun. Pasti seleranya mati kalau melihat Hazrain. Teringat sesuatu, beg tangan dicapai lalu dibuka. Bibir sudah tersenyum melihat tiga bungkus roti jagung Gardenia dan sebotol air mineral. Ini pemberian Abang Arman semalam, katanya boleh buat lapik perut kalau lapar.

        Dengan lafaz bismilah, roti disuap ke mulut. Tidak sampai lima minit, tiga roti berjaya dihabiskan. Kenyang! Plastik roti dan botol air mineral diletakkan dalam plastik hijau kemudian disimpan semula dalam beg apabila tidak melihat tong sampah dalam bilik Hazrain.

        Tersentak Jasmin apabila pintu bilik dibuka dengan kasar. Terpampang wajah Hazrain. Macam nak cari gaduh!

         "Kau buat apa lama sangat dalam bilik? Turun, sarapan. Mama dah  panggil tu," suruh Hazrain. Nada yang tidak tinggi dan tidak juga rendah. Punya lama mereka di bawah menunggu, Jasmin elok-elok bersenang-lenang dalam bilik. Kebisuan gadis itu buat angin marahnya mula muncul sedikit demi sedikit. "Aku cakap dengan kau, ni? Bukan dengan dinding!"

          Diam.

           Geram pula pasal, telefon di tangan Jasmin diambil lalu disimpan dalam poket seluarnya. Sudah tahu yang dia tiada kesabaran, masih mahu menguji. Dan inilah akibatnya.

          "Bagi balik," pinta Jasmin tidak puas hati.

          "Turun makan. Nak suruh makan pun susah ke?"

           "Tak lapar."

           Hazrain mengerut dahi. Perut besi ke apa perempuan ni? "Aku tak suka pujuk orang. Aku cakap baik-baik ni. Turun makan sekarang. Kau dari semalam tak makan. Jadi apa-apa kat kau, aku yang kena bebel dengan mama."

          "Saya pun cakap baik-baik yang saya tak nak makan." Selain malas melihat Hazrain dia juga ingin tunjuk protes pada lelaki itu. "Yang awak sibuk nak suruh saya makan ni kenapa? Perut saya. Kalau lapar pandailah saya cari makan."

         "Nak bagi makan pun payah." Ditarik lengan Jasmin keluar dari bilik. Tidak dihiraukan amarah gadis itu. Lengan itu dilepaskan sebaik sampai ke meja makan. "Duduk!"

          Melihat Datin Zaida yang sedang menatang dulang, Jasmin mengalah. Tak boleh tunjuk perangai depan mentua.

          "Hah, Min dah sihat? Kalau tak sihat, kenapa turun? Mama boleh suruh Haz bawa naik sarapan."

          Kening hampir bercantum. Bila masa dia sakit? Ni tak lain tak bukan mesti malaun Hazrain yang buat cerita. Pinggan yang dihulurkan Datin Zaida disambut. Boleh tahan banyak nasi goreng dalam pinggannya. Entah habis entah tidak sebab perutnya masih kenyang lepas makan roti.

            "Kalau tak kenyang, roti bakar ni ada lagi. Makan je apa Min nak makan, mama nak pergi siram pokok sekejap."

            Jasmin mengangguk. "Tak makan ke?" soalnya apabila Hazrain hanya melihatnya makan. Nak kena luku juga lelaki ni. Kalau tak nak makan pergilah main jauh-jauh. Menyemak je.

         "Aku dah makan."

          "Dah tu buat apa kat sini?"

         "Apa maksud kau?"

         "Tak faham ke saja buat tak faham? Maksud saya kalau dah makan tu buat apa lagi kat sini?" Berterus terang adalah jalan terbaik.

          "Salah ke aku duduk sini. Aku tak kacau kau makan pun." Telefon dikeluarkan. Main telefon lagi bagus daripada berperang mulut dengan Jasmin.

          Cepat-cepat nasi dalam pinggan dihabiskan. Air Horlicks diteguk apabila selesai makan. Kemudian pinggan dan cawan diangkat ke singki.

          "Nak pergi mana tu?" soal Hazrain apabila Jasmin melintas depannya. Dia bangun.

          Mata hitam dijuling ke atas. Sibuk je nak tahu. Perasan pula lelaki itu dia keluar dari dapur. Ingat leka sangat dengan telefon.

            "Aku bagi amaran kat kau. Jangan cuba-cuba nak balik rumah kau selagi rancangan kita tak selesai. Aku tahu kau balik siap kau." Kalau Jasmin ni anak patung sudah diikat kaki gadis itu. Biar tidak boleh berjalan!

          "Saya nak ambil kereta je."

          "Aku tak izin walau apa pun alasan kau."

          "Tapi kereta saya..."

          Hazrain kembali berpusing. "Kau nak balik juga ke?"

          Laju Jasmin mengangguk. Siapa tak mahu balik rumah sendiri?

         "Buat kerja kau dulu. Cepat kita keluar rumah ni, cepatlah kau boleh balik rumah kau." Terus dia meninggalkan Jasmin yang terpinga-pinga.

Jangan lupa tekan vote  ⭐️ & tambah cerita ni dalam playlist reading anda🥳 Terima kasih sudi baca🤩😘

🌸PENGGANTI CINTA DIA🌸  Where stories live. Discover now