XLI

584 31 4
                                    

Kakinya dilangkah dengan penuh teratur namun selaju yang dia mampu.

Tidak difikirkan lagi beban yang dia dukung, lantaran itu yang amat dia sayangi sekarang.

Gusar hatinya memikirkan keadaan insan yang berlumuran darah dan tidak sedarkan diri itu.

Terngiang-ngiang kata-kata Hakimi yang diucapkan kepadanya sebelum dia hilang dibawa pergi.

'Kenapa Danny datang lambat?' Kata Hakimi waktu itu.

Sesal yang dirasa mula menguasai dirinya.

Dengan menggunakan tangga belakang, dia turun dan menuju ke kereta untuk ke hospital berdekatan.

Enggan dia menggunakan lif dengan alasan tidak mahu dilihat oleh pelajar lain dan mencetuskan kegusaran mereka.

"Astaga sabar kejap Kimi." Katanya kepada Hakimi yang sedang didukung erat. Tangan kanannya diketakkan di dahi Hakimi yang mengalirnya darah.

Setibanya di kereta, dia meletakkan perlahan lelaki itu dan dia terus memandu laju ke Pantai Hospital, Bayan Baru.

Dia memandu terus ke ruangan kecemasan dan memanggil jururawat yang bertugas untuk membawa Hakimi terus ke wad kecemasan.

Tangannya dikuis laju lantaran khuatir yang teramat. Baginya dirinya adalah punca kepada semua yang berlaku pada malam ini.

Jika difikir semula, sekiranya dia tidak bertindak mencium Hakimi pada petang itu, barangkali semua ini tidak terjadi.

Berkemungkinan dia berada bersama Hakimi, dan tidak memberi peluang kepada lelaki gila itu memukulnya sebegitu teruk.

Danny juga masih tertanya-tanya, mengapa lelaki tersebut bertindak sedemikian. Dia langsung tidak mengenalinya dan pasti juga Hakimi pun begitu kerana mereka sering keluar bersama.

Melainkan dia merupakan kenalannya di pusat pengajian fiziknya.

Tidak mungkin lelaki sebaik Hakimi dengan mudah mempunyai seteru, sehingga tergamak memukulnya dengan begitu teruk.

Dia terus duduk dan menenangkan kepalanya yang amat serabut itu. Dan lama kelamaan dia terlelap dalam risau.

_____________________________________________________________________________________

"Abang kepada Encik Ameer Hakimi ya?" Soal seorang jururawat kepadanya yang sedang diulit mimpi.

Dia lantas tersedar dan mengiyakan soalan itu.

Lalu jururawat tersebut mengarahkan Danny untuk ke ruangan doctor yang bertugas untuk memberikan penerangan dan bertanyakan beberapa soalan.

Sedar tak sedar, dia rupanya sudah semalaman tidur sambil terduduk di ruangan menunggu.

"Kejap ya nurse, saya nak pergi solat subuh dulu boleh? Takut terlepas." Kata Danny.

Jururawat tersebut hanya mengangguk dan kemudian menunjukkan arah kepadanya nanti untuk bergerak sendirian.

Usai solat, dia berdoa sesungguh mungkin, dengan harapan bahawa tiada kesan yang buruk yang akan dialami oleh Hakimi, memandangkan dia juga seram melihat darah yang berterusan mengalir daripada dahinya malam semalam.

Dengan penuh kudrat dan semangat yang dikumpul, dia terus bergerak ke ruangan doktor dan menunggu kehadirannya.

Langkah masuk mulai kedengaran dan dia bersedia untuk menerima kenyataan yang bakal tiba.

"Encik Danial ya?" Soalnya.

"Ya saya." Danny menjawab.

"Baiklah begini. boleh ceritakan kepada saya kejadian yang sebenar, sehingga adik awak mulai tidak sedarkan diri." Soalnya lagi.

TAK LAGI MERINDUTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang