'Melissa.'
Suara bisikan seseorang memanggil namanya membuatkan dia tersentak. Matanya memandang kiri dan kanan.
'Melissa.'
Suara tersebut seperti datang dari belakangnya. Dia pun berpaling. Pokok yang disandar olehnya sebentar tadi hilang bagaikan ia tidak pernah ada disitu. Begitu juga dengan tumbuh-tumbuhan yang berada disekelilingnya, hanya kegelapan sahaja yang dilihat menggantikan pemandangan yang indah sebelum ini.
Beberapa saat kemudian, terpancar cahaya terang dihadapannya yang membuatkan matanya silau untuk seketika. Tatkala dia membuka matanya kembali, sebuah pintu yang diperbuat daripada kayu muncul secara tiba-tiba.
Tanpa ragu-ragu kakinya melangkah mendekati dan tangannya cuba untuk membuka pintu tersebut. Jarinya seperti menyentuh ais apabila dia mendaratkan tangannya ke atas pemegang pintu itu. Bunyi berderak kedengaran perlahan semasa pintu itu dihayun terbuka. Matanya cuba untuk memeriksa apa yang ada disebalik pintu itu namun tiada apa-apa. Ianya kosong, seperti ada bayangan gelap disitu.
'Melissa.'
Mendengar sekali lagi namanya disebut, dia segera berjalan masuk dengan fikirannya penuh dengan tanda tanya.
Entah berapa lama dia melangkah, segala-galanya masih terlihat gelap. Rasanya dia bagaikan berjalan tanpa arah tujuan di tempat kosong yang penuh dengan kegelapan ini, dan akhirnya dia pun berhenti. Dia tak rasa ada gunanya lagi berjalan jika tidak tahu mahu ke mana. Suara bisikan itu pun sudah lama tidak didengari olehya.
'Melissa, marilah ke sini.'
Melissa sekali lagi mencari siapakah yang memanggil namanya sejak dari tadi itu.
'Melissa, tengok sini.'
Dia lantas berpaling ke sampingnya. Terlihat seorang wanita berambut ungu sedang tersenyum memandangnya. Melissa cuma berdiri disitu, tidak berganjak ke mana-mana. Dia tidak mengenali siapa wanita itu tetapi mengapa dia seperti pernah dilihat? Akhirnya dia mengambil keputusan untuk datang mendekati wanita tersebut. Persekitaran mereka semakin lama semakin berbeza tiap kali dia melangkah. Kegelapan yang sebelum ini hanya dilihat olehnya digantikan dengan putih serta campuran-campuran warna pastel.
Tatkala mereka benar-benar sudah berhadapan, wanita berambut ungu itu menghulurkan sebelah tangannya. Dengan riak wajah yang keliru Melissa menyambutnya.
"Siapa kamu?" Soal Melissa.
Wanita itu hanya tertawa kecil lalu dia pun mengucup tangan Melissa. "Bonda kamu, Serena."
"Huh?"
Serena mengelus lembut pipi Melissa. Pandangannya kelihatan sayu. Banyak perkara yang ingin diucapkannya. "Maafkan bonda kerana tak dapat menjaga kamu dengan lebih lama lagi dahulu. Bonda cuma mahu melindungi kamu tetapi kejadian masa lampau sentiasa cuba mengejar kami semua malah orang yang tidak bersalah juga terkena tempiasnya dan walaupun sehingga kini perkara itu langsung belum dapat diselesaikan lagi." Dia cuma tersenyum lemah apabila melihat wajah wanita dihadapannya itu penuh dengan kekeliruan. "Kamu tahu, disebabkan pohon kehidupan bonda tahu hampir segalanya tentang kamu serta mengapa bonda boleh bertemu kamu sekarang. Jadi..." Matanya mula terasa berair, tangannya segera merangkul tubuh Melissa. "...bonda doakan semoga rasa cinta sentiasa mekar didalam diri kamu dan bonda harap bintang yang kamu cari selama ini dapat kamu temukan."
"Tunggu, bonda...?" Seperti baru terjaga dari lena, Melissa tersedar. Dia juga tidak perasan yang dia telah pun membalas kembali pelukan wanita bernama Serena itu.
Serena melepaskan rangkulannya dan mengucup pula dahi Melissa. Kali ini air mata mengalir ke pipinya. "Bonda sentiasa menyayangi kamu. Selamat tinggal..." Tangannya menolak Melissa. "...anakku, Louis."
YOU ARE READING
The Royal Siblings
FantasyApabila Melissa membuka matanya, dia terus berfikir, 'Eh, tadi bukan aku kena langgar dengan kereta ke?' Tidak lama kemudian baru dia tersedar, dia berada didalam sebuah novel yang baru sahaja dihabiskannya sebelum dia dilanggar. Mungkin itu salah d...