"ORDER bang?" soal wanita yang baru tiba di meja mereka.
Wanita itu tersenyum-senyum memandang wajah Ali. Mana taknya, Ali ni bukannya buruk sangat. Aira pun akui yang wajah lelaki itu boleh tahan kacak. Cuma tuan empunya badan tu garang sedikit. Tak murah dengan senyuman. Memang kedekut senyum betul dia ni!
"Char kuetiaw kerang tiga. Teh o ais satu," ujar Ali senada. Muka miang gatal wanita di sebelahnya itu tidak dihiraukan.
Aira malas banyak berfikir, dia hanya membuat pesanan air yang selalu diminumnya, milo ais manakala Mak Limah hanya memesan air yang sama dengan Ali.
"Okey, nanti kita buat air teh special untuk abang eh," seloroh wanita itu sebelum bergerak pantas ke bahagian dapur masakan.
Aira dan Mak Limah saling berpandangan sebelum tawa halus mereka terlepas. Wajah cemberut Ali berjaya menggeletek ulu hati mereka. Bagi Aira, dia tak biasa dengan situasi itu. Yang dia pernah nampak pun Suria ajelah yang berani menggatal dengan Ali. Selain daripada Suria, dia sendiri tak pernah nampak mana-mana wanita merapati Ali. Mungkin sebab selalu berada di dalam rumah sahaja.
Berbeza pula dengan Mak Limah, dia bukan tak biasa melihat anak terunanya itu sesekali diganggu dengan perempuan lain. Apa nak pelik, anak dia tu pun memang dah masuk usia yang sesuai untuk mencari pasangan hidup. Tambah-tambah pula dia rajin bekerja, ramah dengan orang tua di kampung mereka, sudah tentu ada wanita yang terpikat. Cuma Ali saja yang memilih untuk mengabaikan wanita-wanita tersebut.
Pernah juga Mak Limah disapa oleh orang kampung, terutamanya yang mempunyai anak perempuan. Bertanya tentang status Ali dan cubaan untuk menyatukan mereka berdua. Tetapi akhirnya gagal juga. Ali memang pantang kalau bercakap soal jodoh, mudah aje lelaki itu berubah angin jadi pak belang. Dan disebabkan itu, soal pasangan hidup ini Mak Limah biarkan sepenuhnya kepada lelaki itu. Kalau ada jodoh anak terunanya, maka merasalah dia nasi minyak dari Ali.
"Tak sangka, aura awak boleh tahan hebat. Tukang ambil oder pun boleh tertarik," sakat Aira. Ali jeling sekilas sebelum mata kembali fokus pada telefon bimbitnya.
"Kau tak terpikat ke dengan aura aku yang kononya kuat ni?" tanya Ali. Perkataan aura disabdukan cukup-cukup buat Aira.
Aira kerutkan dahi sedikit. Dia? Terpikat dengan Ali? Lambat lagilah. Dia sendiri pun dah ada suami.
"Apa tanya macam tu, Ali. Aira kan dah berpunya," potong Mak Limah. Ali hanya jungkit senyuman senget sebelum mengangkat sebelah bahunya dengan muka tak kisah dan sengihan nakal.
"Manalah tahu kan?" balasnya. Mak Limah hanya menggeleng kecil.
Beberapa minit menunggu, air mereka tiba. Sengaja Ali jeling tajam dekat perempuan yang menghantar air itu. Perempuan yang sama dengan ambil oder tadi. Mana tak kena jeling, kali ini wanita itu punya berani siap minta nombor telefon Ali. Sudahlah Ali ni anti dengan wanita gatal, memang kena la jeling sekali. Selamat lelaki tu tak buka mulut aje, bukan boleh kira kalau Ali ni.
"Ergh, ingatkan datang sini dapat merasa makan dengan tenang, sekali terjumpa perempuan gatal menggeletik macam kena sarang tebuan," bidas Ali sekali bila makanan mereka sampai.
Terus mati senyuman manis wanita pelayan tadi. Terkulat-kulat muka perempuan itu meletak pinggan makanan yang berisi char kuetiaw mereka. Sekarang reaksi perempuan tu macam baru lepas telan cicak pun ada.
Aira dan Mak Limah hanya diam. Malas mahu mencelah sebab faham sangat dengan perangai Ali. Kalau dia marah, biarkan aje. Jangan berani-berani masuk campur. Takut nanti dengan mereka sekali kena sedas dua.
Tanpa berlengah panjang, makanan yang terhidang di depan mereka lantas dijamah. Setelah membaca bismillah, mereka langsung menikmati makanan yang terhidang. Memang betul kata Ali, char kuetiaw di kedai yang dibawanya ini memang sedap. Aira tak menafikan itu. Lagipun dia sudah lama tak makan char kuetiaw, seingatnya kali terakhir dia makan bersama Syah dahulu ketika mereka ke festival makanan.
ANDA SEDANG MEMBACA
Sweet Choco
Romance"Sayang, semua kawan abang dah ambil dadah. Tinggal abang sorang je tak ambil lagi." "Dah tu, kau nak aku sumbat dadah ke dalam mulut kau?" "Tak payah tunggu sayang suap dadah pun, sebab sayang tu dah cukup mengkhayalkan abang." Mulut manis? Hah! Y...
