⚜️ BAB 58

87 6 6
                                        

TIGA hari selepas membuat laporan polis, Aira dan Ali menerima panggilan yang ditunggu-tunggu. Deringan telefon Ali memecahkan suasana sunyi antara dia dan Aira ketika mereka sedang berada di dapur. Nama yang tertera di paparan skrin merupakan nama Sarjan Kamal. Tak menunggu lama, laju Ali menggesek skrin tersebut dan menjawab panggilan Sarjan Kamal.

"Assalamualaikum, Cik Aira. Saya Sarjan Kamal yang bertanggungjawab dengan kes Cik Aira tempoh hari."

Salam sarjan itu dibalas dulu sebelum dia memperkenalkan dirinya sebagai Ali. Selepas itu, telefon Ali beralih tangan kepada Aira. Sengaja dia buat pembesar suara supaya mereka semua dapat dengar apa yang bakal diberitahu oleh sarjan itu.

"Cik Aira, kami telah menahan suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian malam itu. Kami perlukan Cik Aira dan Encik Ali datang ke balai untuk buat pengecaman dan memberi keterangan lanjut."

Aira terasa lututnya lemah seketika. Ali yang duduk di sebelahnya melihat wajah Aira yang mula berubah pucat.

"Akhirnya Ali... polis dah tangkap mereka," ujar Aira separuh berbisik, suaranya bergetar antara lega dan gementar.

Ali segera mencapai telefonnya semula seraya memberitahu yang mereka akan tiba ke balai polis dalam jangka masa yang terdekat. Tanpa berlengah, kunci motosikal yang masih berada di atas meja makan dapur itu diambil.

"Bersiap. Jom aku bawa kau pergi balai."

Aira tidak menolak. Dia lantas bergerak mendaki tangga menuju ke bilik Mak Limah untuk menyiapkan diri. Tudung sarung dibetulkan dan baju kurung disarung bagi menggatikan t-shirt dan kain batik yang dipakainya itu. 

Dalam sepuluh minit Ali memecut motorsikalnya, mereka akhirnya tiba di balai polis. Tak menunggu lama, mereka meluru masuk ke dalam balai polis tersebut dan disambut oleh Sarjan Kamal yang kebetulannya berada di kawasan hadapan kaunter balai polis tersebut.

"Cik Aira dan Encik Ali, kami dah menahan dua suspek yang dipercayai terlibat. Kami perlukan cik buat pengecaman dalam kawad cam. Jika cik boleh kenal pasti mereka, ia akan membantu memperkukuhkan kes ini."

Ali dan Aira mengangguk serentak. Mereka mengikut langkah Sarjan Kamal sehingga tiba di bilik kawad cam untuk melanjutkan proses pengecaman suspek yang ditangkap. Di sebalik cermin satu hala, lima orang lelaki berdiri dalam barisan. Aira melihat setiap satu wajah-wajah tersebut sebelum dia berpaling ke arah Ali. Dia tak dapat mengecam wajah-wajah tersebut memandangkan dia hanya melihat melalui gambar Ali yang tidak terlalu jelas atau hd.

Hanya Ali yang lebih tahu memandangkan dia pernah melihat secara berhadapan dengan lelaki-lelaki tersebut.

Tanpa ragu, Ali menunjuk. Matanya mercerlung tajam ke arah dua lelaki di sebalik cermin itu bersilih ganti. Rahang Ali kelihatan bergerak-gerak sehingga urat pada lehernya muncul. Tanda yang tidak baik. Itu maksudnya lelaki itu sedang marah.

"Nombor satu dan lima," jawab Ali ringkas sebelum dia memejamkan mata dan berpaling ke arah Aira.

Pandangan lelaki itu disambut dengan tenang. Wajah bersih Aira dipandang dengan rasa kasihan. Wanita itu tidak sepatutnya menghadapi semua ini. Dia tak tahu apalah salah Aira untuk hadapi ujian ini.

Mendengar jawapan Ali tadi, Sarjan Kamal tersenyum puas.

"Baik, dengan pengecaman ini, kita boleh teruskan pendakwaan. Terima kasih kerana membantu, Encik Ali dan Cik Aira."

Keluar sahaja dari balai, Aira menarik nafas lega.

"Akhirnya semua selesai..." ujar Aira lemah. Dia memanjat rasa syukur kerana proses penangkapan penjahat-penjahat tersebut tidak memakan masa yang lama. Jadi, dia dah tak perlu terlalu risau dan kusutkan kepala berfikir tentang lelaki-lelaki durjana itu.

Sweet ChocoCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang