AIRA pandang wajah Ali yang kelihatan agak serius di depannya. Mereka bertiga sekarang sedang duduk di ruang tamu. Selepas sarapan tadi, Ali meminta mereka semua untuk berkumpul di ruang tamu itu sebentar. Katanya hendak bincang soal semalam. Belum sempat mereka menerangkan kepada Mak Limah, Mak Limah terlebih dahulu mengakui yang dia telah mengetahui semuanya. Rupa-rupanya, semasa mereka sedang berbual semalam, Mak Limah sudah terjaga. Sengaja dia pura-pura tidur sebab nak curi-curi dengar apa yang mereka bincangkan.
"Aku tahu, kau mesti pelik kenapa aku tak buat report polis tentang kau, kan?" soal Ali sedari dari tadi berdiam. Aira hanya mengangguk perlahan. Sejujurnya dia merasa musykil.
"Kalau sebelum ni, aku fikirkan kesihatan kau. Kau kena sihat dulu sebelum kita fikirkan apa yang perlu kita buat. Memandangkan sekarang kau dah sihat, aku memang boleh bawa kau ke balai tapi..."
Kata-kata Ali mati seketika. Tangannya naik menggosok belakang leher dengan mata yang terpejam. Terasa kepala sungguh kusut ketika ini. Suasana di antara mereka juga agak tegang.
"Akhir-akhir ni, sekitar kampung ni aku rasa tak selamat untuk kau keluar terutamanya ke pekan. Aku pernah terserempak dengan beberapa orang yang pernah cuba buat jahat dekat kau dulu. Jadi aku tengah fikir masa yang sesuai untuk bawa kau ke balai. Itu pasal semalam aku cuba bawa keluar makan, tapi sengaja makan tempat yang jauh dari kampung kita. Aku nak uji, jantan-jantan keparat tu dapat hidu tak jejak kita."
Aira terkesima seketika mendengar penjelasan Ali. Sungguh dia terkejut sekarang ini. Dia tak pernah menyangka yang dirinya bagaikan menjadi buruan lelaki-lelaki jahat itu.
"Ha... habis itu, macam mana? Tak akanlah kita nak duduk diam je?" soal Aira terketar-ketar. Mak Limah disebelah merapatinya, lalu bahu wanita muda itu dipeluk lembut. Menyalurkan kekuatan walaupun dia tahu Aira sekarang sedang berperang dengan perasaan takut dan trauma.
"Tak! Kita kena cari cara dan kita kena buat report. Aku akan cuba usahakan. Aku cuma nak tanya kau, kau rasa bila kau nak pergi buat laporan polis? Lebih cepat lebih baik," ujar Ali. Matanya memandang tepat ke wajah Aira. Nadanya sungguh yakin dan itu berjaya memberi sedikit kekuatan untuk Aira.
Dia dapat rasakan kalau dia berjanji dengan Ali, Ali tak akan mungkin kecewakan hatinya. Ali memang seorang yang memegang janji.
Nafas ditarik sedikit. Soal laporan itu, dia tidak kisah sangat. Pandailah dia membuat keterangan nanti. Yang penting adalah perbincangan antara mereka yang seterusnya iaitu soal kepulangannya semula ke pangkuan keluarganya.
"Kalau kita pergi sekarang, mesti agak bahaya kan? Kalau lewat petang nanti sikit, boleh? Saya nak selesaikan masalah ni cepat-cepat. Saya nak balik..."
Ali merenung wajah Aira sekejap. Anak mata mereka bersabung seketika sebelum akhirnya Ali melorotkan pandangan ke lantai. Dia mengangguk bersetuju. Mak Limah turut sama bersetuju, dia tidak menghalang apa-apa tindakan yang bakal dilakukan mereka selagi mana ia masih rasional dan tidak membahayakan nyawa mereka.
"Nak... kalau petang nanti kamu pergi dengan Ali, kamu kena hati-hati tau," pesan Mak Limah lembut. Wanita separuh abad itu membelai lembut belakang Aira dengan penuh kasih sayang.
Aira telah dianggapnya umpama anak sendiri. Sebagai mana dia sayangkan Ali, sebegitulah dia menyayangi wanita bernasib malang itu. Perlahan-lahan Aira menjatuhkan kepalanya ke atas bahu wanita tua itu. Tangannya memeluk sebelah lengan Mak Limah kejap.
"Soal kepulangan kau tu, kita akan bertolak selepas keadaan selamat. Aku yakin, jantan-jantan tak guna tu tak lama akan kena tangkap juga memadangkan dia orang memang berkeliaran sekitar kampung ni je," ujar Ali penuh yakin. Raut wajah kedua-dua wanita di hadapannya dipandang bersilih ganti.
ANDA SEDANG MEMBACA
Sweet Choco
Romance"Sayang, semua kawan abang dah ambil dadah. Tinggal abang sorang je tak ambil lagi." "Dah tu, kau nak aku sumbat dadah ke dalam mulut kau?" "Tak payah tunggu sayang suap dadah pun, sebab sayang tu dah cukup mengkhayalkan abang." Mulut manis? Hah! Y...
