"Seandainya... memori ini mampu aku hapuskan."
Kata-kata yang terluah daripada bibir seorang gadis yang kedua matanya tidak henti mengalirkan air mata. Kedua mata itu juga tidak lepas memandang senja yang sedang mencerminkan cahayanya di suatu sungai yang mengalir tenang. Pandangan keindahan yang cuba menentang lautan kesedihan.
Seketika, gadis itu menyapu air mata dalam duduknya itu - memaksa kesedihan jiwanya untuk terhenti. Namun air mata terus mengalir dek akal yang tidak mampu menahan perih, perih memori luka yang terpaksa dirahsiakan dan ditanggung seorang diri.
"Mar..." seorang gadis menyapa Mardhiyah.
Mardhiyah menoleh. Senyuman kecil dilemparkan ke arah gadis yang berwajah cantik dengan kulitnya yang putih kemerah-merahan itu.
"Fiy..." balas Mardhiyah.
Safiyah bergerak duduk di samping Mardhiyah. Dia menyapu halus air mata Mardhiyah yang tidak henti mengalir.
"Mar... kau nangis lagi?" Safiyah bernada sayu.
"Tak lah. Mana ada..." Mardhiyah cuba mengukir gelak pada bibirnya. Cuba menyembunyikan kesayuan dibalik tabir tawa.
"Mar... apa masalah kau sebenarnya? Apa masalah kau sampai kau tak ambik paper akhir SPM kita?"
Mardhiyah menggeleng kecil.
"Aku... tak ada masalah apa pun. Aku cuma tak suka subjek tu. Sastera bukan jiwa aku."
"Mar... aku dah lama hidup dengan kau, aku tahu sastera tu subjek yang kau paling suka."
"Fiy..." Mardhiyah memegang kedua lengan Safiyah bersama air matanya yang kini mengalir deras. "Fiy... kau boleh janji dengan aku satu perkara?"
Kedua mata Safiyah mula berkaca memandang kesedihan yang ditunjukkan oleh Mardhiyah. Dia hanya mampu menganggukkan kepala sebagai tanda dia membenarkan persoalan itu.
"Fiy... kau kena janji dengan aku, kita akan jadi sahabat sampai bila-bila. Selepas ibu pergi, aku dah tak ada orang lain yang nak sayang selain kau."
"Kau cakap apa ni Mar... aku dah anggap kau macam adik aku sendiri. Darah daging aku." Safiyah tersenyum kecil namun terlihat hambar.
"Fiy..." sebak memaksa bicara Mardhiyah untuk terhenti.
"Kau kenapa Mar? Ayah kau pukul kau lagi?"
Mardhiyah menggelengkan kepala menafikan kata-kata Safiyah.
"Habis? Mar! Jangan pendam masalah kau. Aku sentiasa ada kalau kau nak luah masalah kau."
"Ini bukan tentang masalah aku Fiy..."
"Habis tu?" Safiyah bertegas.
Mardhiyah menundukkan wajahnya yang semakin suram.
"Aku... akan pindah ke luar negara."
Safiyah dibuai kejutan, bicaranya terkunci di kala akal tidak mahu menerima ucapan Mardhiyah itu. "Mar..." Safiyah mula mengalirkan air mata.
"Aku tak nak tinggalkan kau Fiy. Cuma... ini aje cara untuk aku lepas daripada ayah aku. Petang ni, mak saudara aku akan bawa aku lari."
Safiyah memaksa bibirnya untuk mengukir senyuman meski ianya masih terlihat palsu. Meski jiwanya perih melepaskan Mardhiyah, dia cuba untuk menenangkan suasana itu agar kesedihan tidak menafikan perpisahan tersebut.
"Sejujurnya... aku tak nak berpisah dengan kau Mar. Tapi... aku juga tak nak kau tinggal dengan ayah kau lagi. Aku tak nak kau terseksa hidup dengan ayah yang tak tahu menghargai anak dia sendiri. Itu... pilihan yang tepat Mar."
Mardhiyah mendakap tubuh Safiyah.
"Aku janji dengan kau Fiy... lepas lima tahun, aku akan cari kau semula. Aku akan luahkan apa masalah aku yang sebenar. Aku hanya perlukan masa untuk pulihkan diri aku... jiwa aku."
"Janji!" Safiyah membalas dakapan sahabat baiknya itu.
"Aku janji Fiy..."
Hujan membasahi senja dalam pelukan kesedihan di antara kedua gadis tersebut. Perpisahan yang mengorbankan suatu kebahagiaan demi kebahagiaan yang baru.
YOU ARE READING
Memori Mardhiyah (Completed)
Mystery / ThrillerSetelah sembilan tahun berpisah, akhirnya Safiyah dapat bersua semula dengan sahabat baiknya yang bernama Mardhiyah. Namun, kepulangan itu menjadi suatu misteri apabila Mardhiyah kehilangan memorinya dan tidak mengenal Safiyah lagi sebagai sahabat...