"Mana patung merah tu?"
Nora berdiri di hadapan seorang lelaki berpakaian serba biru. Lelaki itu tersandar di dinding salah sebuah bangunan dengan tubuhnya yang sedang dililit oleh seekor Anaconda yang berukuran besar.
Tidak jauh daripada kedudukan Nora pula, ada seekor ular purba yang digelar Titanoboa sedang menempiaskan amarahnya. Ukurannya tersangatlah besar umpama bas-bas yang disusun memanjang. Manusia-manusia yang tercipta bersama-sama dengan alam mimpi itu dibaham tanpa henti. Keganasannya itu juga membuatkan manusia-manusia lari bertempiaran tidak berarah.
"Aku..." peredaran nafas lelaki itu tersekat-sekat, kulitnya yang hitam berubah pucat dan tubuhnya yang separa sasa itu berubah tidak bermaya.
Nora menggenggam tangan kanannya. Lalu, lilitan ular Anaconda itu pun mencengkam semakin erat sehingga terdengar beberapa tulang yang patang daripada tubuh lelaki itu.
"Aku nampak kau bawa lari patung tu dengan seorang gadis tadi. Mana patung tu?" tegas Nora.
Lelaki itu sudah tidak bermaya untuk menjawab soalan itu. Menggelengkan kepalanya sahaja terlihat sudah tidak berkudrat. Melihat lelaki itu yang semakin terseksa dipenghujung nafasnya membuatkan Nora tersenyum ngeri. Dia mengeratkan lagi genggaman tangan kanannya. Tingkahnya itu juga membuatkan Anaconda itu mencengkam semakin kuat tubuh lelaki malang itu lebih daripada yang sebelum ini.
"Arggghhh!" lelaki itu tidak henti meraung dihias lagi dengan tulang-tulang tubuhnya yang semakin banyak berpatahan. Bahkan darah tidak henti bercucuran keluar dari setiap rongga tubuhnya. Dalam beberapa detik, raungan lelaki itu terhenti. Ianya menandakan, lelaki itu sudahpun mati di alam mimpi tersebut.
Ting!
Jasad lelaki itu berubah menjadi kabus putih lalu menghilang ditelan udara.
"Sayangnya. Tak mati pula dia dekat realiti." Nora melepaskan keluhan.
"Medusa!" seorang wanita menyeru Nora daripada arah belakang.
Nora menoleh. Pada masa yang sama, Anaconda itu bergerak menghampiri Nora, mengelilingi tubuh tuannya itu sebagai penjaga.
Terlihat, wajah wanita yang menyeru Nora itu berkulit putih dan berhidung mancung seakan berasal daripada Norway. Rambutnya yang panjang berwarna kuning dibiar lepas. Tubuhnya disarung kemas dengan baju besi yang berwarna emas. Pada tangan kanannya, sebilah pedang emas berukuran panjang tergenggam erat. Tangan kirinya pula memegang sebuah perisai emas yang berbentuk kepala seekor singa.
"Hmmm... Pemimpi dari Norway. Freyja... Hildr?" Nora kembali tersenyum ngeri.
"Nyawa kau... akan melunaskan dendam aku!" Hildr menghunus mata pedangnya ke arah Nora.
"Siapa? Abang kau yang koma dekat realiti tu?" sindir Nora.
Mendengar sindiran itu membuatkan emosi Hildr memuncak. Bersama pedang emasnya yang terhulur rapi, dia berlari kencang menghampiri Nora. Terlihat, kelajuan lariannya melebihi kelajuan manusia biasa.
Nora menghadapkan tangan kanannya ke arah Hildr.
"Santapan barumu, Titanoboa."
Pam! Pam! Pam!
Sekelip mata, Titanoboa yang tadinya tidak henti menelan manusia itu mengubah arah serangannya ke arah Hildr. Tubuh raksasanya dihempaskan ke setiap bangunan yang menghalang pergerakannya itu.
YOU ARE READING
Memori Mardhiyah (Completed)
Mystery / ThrillerSetelah sembilan tahun berpisah, akhirnya Safiyah dapat bersua semula dengan sahabat baiknya yang bernama Mardhiyah. Namun, kepulangan itu menjadi suatu misteri apabila Mardhiyah kehilangan memorinya dan tidak mengenal Safiyah lagi sebagai sahabat...