2 Pagi. Safiyah kembali tersedar dari alam Alafun Ain rekaan. Tercungap-cungap dia memulihkan nafasnya yang hilang. Kedua mata diliarkan. Suraya, Johan dan Tasya sudahpun mengelilingi kedudukan Rai.
"Tasya..." panggil Safiyah.
Tasya menoleh. Wajahnya terlihat cemas.
"Fiy... bos..." kedua mata Tasya yang berkaca itu kini terpapar jelas.
Wajah Safiyah berubah cemas apabila menyedari yang Rai masih tidak sedarkan diri bersama kedua mata yang kini terpejam. Safiyah berubah tidak keruan. Dengan pantas dia menghampiri kedudukan Rai. Kedua mata Rai yang terpejam itu ditatap seketika penuh sayu.
"Kak... apa yang jadi dengan Rai?"
Johan dan Suraya menggeleng.
"Seharusnya, kedua mata seorang Pemimpi tak akan pernah terpejam selagi dia belum pulang daripada Alafun Ain. Tapi... kedua mata Rai..." jelas Suraya dengan penuh sayu.
"Jantung dia dan fizikal dia masih okey. Kita bawa dia ke hospital terlebih dahulu." Johan menenangkan suasana.
Mereka berempat berdiam diri sebagai tanda setuju dengan keputusan itu. Johan dan Suraya membawa Rai ke hospital yang terdekat untuk mendaptkan rawatan awal menggunakan kereta Johan. Safiyah dan Tasya mengekori pergerakan mereka berdua.
Setibanya di hospital, Rai diusung ke bilik rawatan. Di luar bilik rawatan tersebut, Safiyah menjelaskan kejadian yang berlaku setelah Johan mati di Taman Permainan Mimpi. Dia juga menjelaskan tentang Penanti Senja Indonesia yang hadir membantu Rai namun tidak secara jelas kerana kedudukannya yang terperangkap di dalam menara emas.
Safiyah terus menjelaskan segala perkara yang dia ketahui terutamanya misteri klu yang diberikan oleh Bloodhound. Johan dan Suraya juga berubah buntu apabila mendengar kebenaran tentang klu yang diberikan oleh Bloodhound tersebut.
FTU. Bangungan tinggi berwarna unggu. Tingkat 7 per 15. Pintu merah, nombor 10. Tanpa ada sebarang penjelasan tentang keberadaan kawasan itu terletak di negeri yang mana, sebuah jawapan berubah menjadi sebuah persoalan.
Dalam asyiknya perbincangan mereka berempat, seorang doktor wanita berumur lewat 30-an keluar daripada bilik rawatan itu. Dia menghampiri kedudukan Safiyah yang sedang duduk menyandar di tepi pintu. Johan, Suraya dan Tasya yang duduk di atas kerusi di hadapan bilik itu berdiri.
"Doktor..." sapa Johan.
"Macam mana dengan Rai?" soal Suraya.
Doktor wanita itu menghela nafasnya. Dia memandang wajah Safiyah.
"Puan... suami puan okey, dia tak ada masalah apa-apa." terang doktor wanita tersebut.
"Suami?" Safiyah ingin mencela tentang statusnya yang secara tiba-tiba menjadi isteri Rai itu.
Suraya dengan pantas mengangkat tangannya, meminta Safiyah berdiam diri terlebih dahulu.
"Suami puan sebenarnya tak cukup rehat. Dia tak sedarkan diri bukan sebab yang lain tapi otak dia dah penat sangat. Suami puan tu macam seorang yang workholic. Mungkin dia jadi macam tu sebab dia terlalu kerja lebih masa. Kami akan tahan dia terlebih dahulu dalam dua tiga hari ni. Takutnya, kalau dia pulang dia kerja semula tanpa rehat yang secukupnya."
"So doktor, bila agak-agaknya dia bangun?" soal Suraya.
"Malam ni dia bangunlah tu. Kalau tak pun esok petang. Tapi buat masa ni, saya harap awak semua tak ganggu tidur dia. Nanti..." doktor wanita itu memandang Safiyah semula. "... Puan berikan nombor telefon puan dengan saya. Saya akan call puan kalau suami puan dah jaga. Saya nak rawat pesakit yang lain pula."
YOU ARE READING
Memori Mardhiyah (Completed)
Mystery / ThrillerSetelah sembilan tahun berpisah, akhirnya Safiyah dapat bersua semula dengan sahabat baiknya yang bernama Mardhiyah. Namun, kepulangan itu menjadi suatu misteri apabila Mardhiyah kehilangan memorinya dan tidak mengenal Safiyah lagi sebagai sahabat...