Malam Jumaat tepat jam 9 malam, Safiyah dan Tasya tiba di suatu dewan yang berukuran sederhana besar. Terdapat tiga biji kereta mewah berwarna hitam di tempat letak kereta yang terletak di hadapan dewan itu. Beberapa pengawal peribadi berpakaian serba hitam juga mengawasi kawasan di sekitar dewan tersebut.
Rai mengajak mereka bertemu di dewan itu untuk merealisasikan kata-kata Suraya tentang Taman Permainan Mimpi. Pada bahagian pintu masuk, Suraya yang sudahpun tiba terlebih dahulu bersama dengan Rai mengangkat tangannya ke arah mereka berdua. Safiyah dan Tasya menghampiri kedua insan.
"Kak... kau orang berdua dah lama tunggu?" Tasya menyapa.
"Tak, aku pun baru sampai. Rai yang sampai dulu daripada aku." jawab Suraya.
"Datang awal sangat buat apa?" Safiyah mengerutkan dahi.
Rai mendiamkan diri. Seketika, kedua matanya memandang Safiyah lalu pandangan itu dipalingkan semula.
"Jom..." Rai bergerak masuk ke dalam dewan tersebut diikuti dengan Suraya, Safiyah dan Tasya.
Usai pintu dewan besar itu dibuka, ruangan di bahagian tengah dewan itu terlihat sengaja dikosongkan. Di bahagian tengah dewan itu juga, terdapat sebuah meja kecil yang dikelilingi dengan enam buah kerusi yang disusun dalam bentuk bulatan. Rai mencapai salah sebuah kerusi dan bergerak duduk diikuti dengan Suraya di bahagian kirinya. Tasya mengambil tempat duduk di bahagian kiri Suraya dan Safiyah di sampingnya.
"Mana permainan tu?" Safiyah mulai menyoal.
Suraya mengerutkan dahi memandang Safiyah.
"Sabarlah. Kita tengah tunggu seorang Pemimpi lagi. Pemimpi yang biasa dengan permainan ni."
Safiyah mengangguk-angguk.
"Ada benda lagi yang kau nak tahu tak tentang Alafun Ain? Tanyalah sambil-sambil nak tunggu dia." arah Rai.
Safiyah berdiam diri seketika cuba mengingat semula persoalan-persoalannya tentang Alafun Ain.
"Ermmm... saya ada satu persoalan lagi." balas Safiyah.
"Apa?" Suraya menyoal semula.
"Sebenarnya... macam ni. Jika ada tiga orang Pemimpi dalam satu kawasan tu, contohnya Pemimpi A, Pemimpi B dan Pemimpi C. Kalau Pemimpi A dah buka Alafun Ain untuk serang Pemimpi B, boleh tak Pemimpi C tu buka Alafun Ain yang baru untuk serang kedua Pemimpi tu?"
"Maksud kau ada dua Alafun Ain dalam satu tempat?" soal Rai.
Safiyah mengangguk.
"Tak boleh. Satu kawasan tu kena ada satu aje Alafun Ain. Jika Pemimpi A dah buka ruangan Alafun Ain untuk serang Pemimpi B, lepastu datang pula Pemimpi C. Pemimpi C tu akan masuk ke dalam Alafun Ain yang dah dicipta oleh Pemimpi A secara automatik. Dengan syarat, Pemimpi C tu sedar Pemimpi A dan Pemimpi B sedang berada dalam Alafun Ain." terang Suraya.
"Kalau Pemimpi C tu tak tahu atau tak perasan?" soal Tasya.
"Erm... macam mana pula ya. Aku pun tak tahu. Macam mana Rai?" soal Suraya.
Safiyah dan Tasya berpandangan muka. Ternyata, Suraya sendiri tidak terlalu mengetahui apa yang dia jelaskan.
"Kontak tubuh. Sentuhan dan pandangan kedua mata. Jika Pemimpi A dan Pemimpi B sedang bertarung dalam Alafun Ain, dalam beberapa minit Pemimpi C datang. Pemimpi C akan masuk ke dalam Alafun Ain yang dah ada tu, jika berlaku kontak tubuh. Sama ada, Pemimpi C sentuh Pemimpi A atau B. Ataupun, Pemimpi C terpandang kedua mata Pemimpi A atau B." terang Rai.
YOU ARE READING
Memori Mardhiyah (Completed)
Mystery / ThrillerSetelah sembilan tahun berpisah, akhirnya Safiyah dapat bersua semula dengan sahabat baiknya yang bernama Mardhiyah. Namun, kepulangan itu menjadi suatu misteri apabila Mardhiyah kehilangan memorinya dan tidak mengenal Safiyah lagi sebagai sahabat...