2020
Kalau Alisya rasa suasana di restoran tengahari tadi sudah cukup menyesakkan. Suasana di meja makan ini boleh buat dia muntah akibat tidak cukup nafas. Semua di meja itu makan hanya makan dengan tertib, hanya bunyi sudu lauk yang digunakan dan gelas yang kadang diangkat dan diletak sahaja yang dapat didengari. Muka semuanya tegang. Diperhatikan sahaja semua orang senyap menyuap makanan ke mulut.
Sungguh Alisya rasa asing. Ini bukan tempatnya, dia sedar itu sejak dia melihat rumah agam ini dari jauh. Merasakan ada satu renungan tajam dari seorang lelaki yang duduk bertentangan dengannya, Alisya terus tunduk sambil mengunyah. Makanan di dalam mulutnya terasa susah betul untuk ditelan. Tekaknya rasa sempit. Jantungnya berdebar kuat. Benarlah kata Faradhiya, dia tidak tahu apa yang dia sudah buat.
Usai makan semua bergerak ke ruang tamu. Dua keluarga duduk bertentangan. Adrian dan Alisya duduk di sofa berkembar dua yang terletak di antara dua buah keluarga itu. Senyap. Riak muka beku, marah dan kecewa dapat dilihat. Suasana sunyi merundung ruang itu, semua diam menanti siapa yang akan memulakan bicara.
"Saya nak putuskan pertunangan ini." akhirnya Faradhiya juga yang bersuara dahulu. Tidak mahu melengahkan apa-apa lagi. Dia seorang yang sangat menghargai masa.
"Dhiya... bonda minta maaf bagi pihak Adrian. Ayahanda dan bonda betul-betul kesal. Kami malu." wajah bonda atau Tengku Latifah di tenung lembut oleh Faradhiya. Dia dapat tahu apa yang akan keluar dari mulut Bonda selepas ini.
"Bonda tahu apa yang bonda nak cakap ni boleh mengguriskan perasaan Dhiya tapi boleh tak Dhiya maafkan Adrian? Kali ini saja Dhiya, demi keluarga kita." Seperti biasa, nama dan maruah keluarga lebih penting dari perasaan. Nama dan maruah keluarga adalah perkara utama. Hidup mereka adalah untuk berkhidmat kepada keluarga.
"Bonda." akhirnya bersuara juga seorang Adrian yang bertanggungjawab kepada semua masalah ini. Punca keserabutan.
"Adrian cintakan Alisya." Itu dia, pengakuan cinta yang tiada siapa pun minta.
"Adrian akan kahwin dengan Alisya". tegas Adrian mempertahankan cintanya. Tanpa mempedulikan hati yang sedang tersiat mentah kerana kata-katanya.
"Cinta?! Habis kakak aku macam mana? Sebelum ni kakak aku kau puja, kakak aku ni yang kau sayang dan cinta! Mana pergi cinta kau tu? Murah sangat ke cinta kau sampai boleh bagi ramai orang? Kau berani mengaku kau cinta perempuan lain depan kakak aku? Keluarga aku? Kau ingat kakak aku tak ada maruah ke?" tengkingan Uzair menyentak semua orang. Sakit hatinya apabila mendengar kata-kata yang keluar dari mulut Tengku Adrian. Kata-kata itu telah menyakitkan hati kakaknya, memalukan kakaknya dan seorang Uzair yang sangat melindungi tidak akan sama sekali membiarkan ianya berlaku.
"Sudah, Uzair. Duduk. Emosi tak akan selesaikan masalah." arah Tan Sri Faizal kepada anak lelakinya. Dia faham kemarahan Uzair yang pastinya menuntut pembelaan terhadap kakak kesayangannya. Hatinya juga terluka, dia juga marah. Satu-satunya anak perempuan dikhianati begini. Kepercayaan yang dia beri kepada Adrian untuk menjaga anaknya dikhianati. Rasa bersalah kerana dia yang memujuk anaknya untuk menerima perasaan Adrian dahulu.
"Kamal, Latifah. Aku sokong keputusan anak aku. Pertunangan ini, tak patut diteruskan. Besar onar yang berpunca dari Adrian. Kalau diteruskan pertunangan ini, nampak macam kami ini tiada rasa hormat kepada diri dan harga diri anak perempuan kami. Faradhiya dah berbincang dengan aku. Hanya pertunangan yang putus. Usaha sama kita tetap berjalan." Terang Tan Sri Faizal panjang.
Cukuplah kesakitan yang ditanggung oleh anak perempuannya kerana anak lelaki dari keluarga itu. Anaknya mungkin kelihatan tenang, namun dia tahu apa yang anak perempuannya sedang rasa. Kesakitan anaknya kali ini, dia yang perlu bertanggungjawab ke atasnya sebagai seorang bapa dan wali.
"Aku betul-betul minta maaf, Faizal. Malu aku. Tak tahu macam mana lagi nak hadap kau lepasni. Aku minta maaf juga atas permintaan isteri aku tadi. Dia terlalu ikut emosi." Kali ini Tengku Kamal pula bersuara. Dia diam dari tadi kerana malu kerana onar yang tercipta dari anaknya.
Salah diakah sebagai seorang ayah sehingga anak tunggalnya itu tidak tahu harga sebuah janji dan tanggungjawab? Membuat keputusan yang memalukan wanita yang bergelar tunangan? Isterinya disebelah tidak henti menyeka air mata. Dia tahu isterinya bukan hanya marah tapi dia takut kehilangan Faradhiya dari hidupnya. Wanita muda itu sudah dianggap dan disayangi bagai anak sendiri. Sepanjangan ketiadaan Adrian yang menyambung pelajaran ke luar negara, Faradhiya yang selalu menemani, jaga ketika dia sakit, dan mengisi kesunyian.
"Adrian betul nak kahwin dengan Alisya?" soal Tengku Kamal kepada anak lelakinya. Pertanyaan itu dijawab dengan anggukan daripada Adrian.
"Kamu kena tunggu dulu sekurangnya setahun sebelum kita umumkan apa-apa. Ayahanda dan bonda juga belum kenal siapa Alisya. Keluarganya siapa, asalnya dari mana dan Alisya sendiri orangnya macam mana. Anggaplah tempoh menunggu tu tempoh kita berkenal." tegas suara Tengku Kamal kali ini. Niatnya dengan tempoh bertenang selama setahun itu, dia dapat menjaga air muka Faradhiya yang telah malu disebabkan oleh perlakuan anak lelakinya.
"Adrian tak boleh tunggu." dapat dilihat dari sudut pandang Faradhiya yang dada Tengku Adrian sedang berombak kuat. Tangan Alisya dipegang erat. Satu pemandangan yang agak pelik kerana Adrian adalah lelaki yang menjaga batas sebelumnya. Tidak menyentuh anak dara orang sesuka hati dan tanpa kebenaran.
'Perubahan disebabkan kuasa cinta mungkin.' getus hati Faradhiya.
"Kamu jangan pentingkan diri Adrian! Kamu tak malu ke dengan Dhiya? Kamu dah curang dengan dia sekarang kamu nak kahwin dengan perempuan ni cepat-cepat? Hormat sikit Dhiya, Adrian! Bonda tak pernah ajar kamu sakitkan hati perempuan!" tinggi suara Tengku Latifah. Kecewa dengan tingkah laku anaknya yang seakan tidak peduli langsung dengan perasaan Faradhiya dan keluarga.
Faradhiya hanya senyap memerhati. Perkara ini belum sempat diberitahu kepada walid, umi dan adiknya. Saat ini, ruang tamu yang luas bersiling tinggi itu dirasakan sangat sempit. Dia sendiri takut. Takut untuk berhadapan dengan rasa bersalah walid, kesedihan umi dan kemarahan Uzair. Dia juga malu. Malu dengan pengkhianatan yang satu ini. Terasa dirinya tidak dihormati lansung oleh Adrian.
"Walid, umi... Ad minta maaf. Ad minta maaf sebab sakitkan Dhiya, sakitkan keluarga walid tapi Ad tak menyesal. Ad minta maaf sebab Ad tahu Ad salah. Ad minta maaf sekali lagi dekat semua orang. Ad memang tak boleh tunggu lagi. Minta maaf sangat-sangat tapi memang tak boleh." rayu Adrian. Jantung dia sendiri berdegup hebat. Takut.
"Kenapa pulak kamu ni Adrian! Cukuplah apa yang kamu buat ni! Bagitahu kami kenapa kamu tak boleh tunggu lansung?!" jerkah Tengku Latifah.
"Sebab Alisya tengah mengandung anak Adrian". jelas pengakuan Adrian di telinga semua orang.
"Allahuakbar Adrian!" meraung bondanya mendengar pengakuan anaknya. Puan Sri Umairah yang dari tadi senyap terhambur juga esakan. Tan Sri Faizal terus bungkam di sofa.
"Kau memang sial." Uzair bangun dan menerpa Adrian. Satu, dua, tiga tumbukan sampai ke muka Adrian sebelum dia di peluk oleh kakaknya dari belakang. Amukkan Uzair terhenti. Adrian cuba bangun dengan perlahan.
Kedengaran raungan dan tangisan di ruang tamu itu. Tengku Latifah, Puan Sri Umairah, Alisya masing-masing beremosi. Wanita yang sepatutnya paling kuat meraung ketika itu hanya diam. Kosong mukanya tanpa sebarang riak. Hanya menggosok belakang adiknya supaya bertenang.
"Sudah, adik. Sudah. Kita balik." Bisik Faradhiya dari belakang Uzair.
Perlahan langkah Faradhiya di atur ke arah bonda. Bekas cincin dihulur perlahan sambil melutut di depan bonda. Terhambur lagi tangisan Tengku Latifah menarik Faradhiya ke pelukan. Menghambur kata maaf tidak berhenti. Pelukan dibalas kuat. Sesak sekali dadanya ketika ini. Dia hanya mahu keluar dari sini. Vila yang sebelum ini dianggap rumah kedua kali ini terasa begitu sempit dan gelap sekali.
Cukuplah dia disakitkan dan dimalukan di hadapan orang. Ini kali terakhir dia akan diperlakukan begini rupa. Itu ikrar Faradhiya selepas dia selesai bersalaman dengan bonda. Kepala ditunduk hormat kepada ayahanda. Hanya satu senyuman tawar diberi kepada Faradhiya. Dengan itu, Faradhiya keluar dari rumah agam itu sambil berpimpinan dengan uminya yang masih menyeka air mata.
Cukuplah. Ini kali terakhir.
YOU ARE READING
Temu
Lãng mạnCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...