Pagi itu pagi hujung minggu. Jadi mereka sekeluarga bersarapan bersama dengan nasi lemak umi. Hanya Uzair yang tidak ada kerana dia pergi bercuti dengan kawan-kawannya. Dia cakap honeymoon sebelum masuk kerja minggu depan. Faradhiya hanya diam mendengar umi dan walid bersembang tentang projek seterusnya untuk Yayasan Rahmah umi. Fikirannya masih teringat kata-kata Ghaz Ukasyah petang semalam.
"Awak yakin ini hukuman dari Allah? Atau hukuman dari awak untuk diri sendiri?"
"Kakak dengar tak umi cakap ni?" imbasan semalam mati di situ sahaja. Tiada siapa tahu yang dia berjumpa dengan Ghaz Ukasyah. Kalau walid dan umi tahu pasti mereka tidak setuju kerana dia hanya berdua dengan Ghaz semalam walaupun di tempat yang terbuka.
"Apa umi? Sorry kakak tak dengar." Faradhiya tayang muka bersalah. Muka umi sudah cemberut. Mesti tadi umi sedang semangat bercerita tapi dia pulak tidak tumpu perhatian.
"Umi tanya kakak idea umi bagus tak?" Aduh, dia mana dengar apa lansung apa yang umi cakap tadi.
"Ya Allah budak ni. Kita ni bukan main semangat bercerita satu pun dia tak dengar. Kamu teringatkan apa?" leter umi kepada Faradhiya yang kini bermain dengan kacang goreng di dalam pinggan. Walid hanya tersenyum kecil mendengar leteran umi, mencicip teh panas dari cawan.
"Macam mana umi boleh nak kahwin dengan walid?" hampir tersedak Tan Sri Faizal mendengar soalan dari anak perempuannya. Tidak sangka sungguh itu yang akan keluar dari mulut Faradhiya. Terjawablah soalan Puan Sri Umairah tadi. Faradhiya rupanya sedang fikir tentang pinangan Ghaz Ukasyah. Anggukan kecil diberi kepada isterinya, suruh isterinya menjawab.
"Umi tawakal je dulu." jawab umi selamba. Tertawa kecil walid bila mendengar jawapan umi. Faradhiya pula berkerut sedikit keningnya apabila mendengar jawapan umi yang dirasakan terlalu santai.
"Macam mana umi boleh yakin yang walid ni yang tepat untuk umi?" soal Faradhiya ingin tahu. Bagaimana uminya boleh tenang menerima seorang lelaki sebagai suami sedangkan umi tidak kenal betul-betul pekerti walid dahulu. Bagaimana umi boleh yakin dengan keputusan yang walid adalah lelaki akan membahagiakan umi?
"Kita manusia tak akan pernah tahu, kakak. Allah sebaik-baik perancang. Umi menikah dengan walid dengan harapan ini satu-satunya perkahwinan umi. Umi hanya mampu usaha untuk jaga perkahwinan dan doa supaya Allah berkati dan rahmati hubungan umi dengan walid. Itu sahaja umi mampu buat, selebihnya umi serah pada Allah. Umi doa yang setiap ujian yang datang hanya akan jadi asbab untuk kami lebih menyayangi, bukan untuk memisahkan. Kita memang tak akan tahu kakak, percaya saja yang Allah dah aturkan yang terbaik untuk kita. Allah sebaik-baik perancang." kali ini panjang jawapan yang diberikan umi. Tahu yang anak daranya itu betul-betul mahukan nasihatnya. a
"Umi tak takut ke? Kalau... kalau..."
"Kalau walid tinggalkan umi?" tebak Puan Sri Umairah yang faham dengan persoalan yang teragak-agak untuk dizahirkan oleh anaknya.
"Kenapa kita perlu takut untuk hilang sesuatu yang bukan milik kita?" mendengar soalan dari umi yang ini, Faradhiya hanya mampu diam. Tidak sangka itu yang akan keluar dari mulut uminya.
"Umi terima walid kamu dulu atas apa yang umi perlu tahu sahaja. Agamanya, perangainya, hartanya. Umi juga ada tanya-tanya tentang walid. Melalui apa yang orang cakap melalui walid, perangai walid, dan adab walid. Umi jumpa dua tiga kali untuk tengok betul ke apa yang disampaikan kepada umi tentang walid. Bagi umi itru semua sudah cukup. Umi balik fikir baik buruk, umi istikharah, dan umi buat keputusan. Selebihnya umi serah pada Allah. Bila Faradhiya buat keputusan untuk syarikat, Faradhiya yakin seratus peratus ke ia akan membawa keuntungan?" Faradhiya hanya geleng bila mendengar soalan umi. Tiada yang pasti dalam dunia perniagaan. Setiap keputusannya, ada risiko yang dia perlu tanggung. Umi menyambung bicara lagi bila Faradhiya hanya diam.
YOU ARE READING
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...