Petang ini selasai saja urusannya di pejabat, Faradhiya menghadirkan diri ke satu konvesyen syarikat rintis. Syarikat-syarikat yang baru ditubuhkan dan memerlukan pelaburan untuk mengembangkan perniagaan mereka. Tujuan dia ke situ adalah untuk menilai perniagaan baru mana yang mempunyai potensi untuk dikembangkan dan berbaloi untuk dia membuat pelaburan. Pelaburan yang dia bakal buat adalah pelaburan peribadi dan bukan untuk syarikat. Namun, jika ada syarikat yang boleh membantu Equil untuk menjadi lebih baik, dia akan membeli idea atau produk mereka atas nama syarikat.
Sudah hampir sejam dia disini. Satu demi satu aspek di nilai. Setakat ini cuma dua tiga buah syarikat sahaja yang mempunyai idea dan produk yang menarik perhatiannya. Nama-nama syarikat yang menarik perhatiannya dinotakan oleh Aida yang setia di sisi. Dia melabuhkan punggung di kerusi yang disediakan untuknya, melepaskan lelah. Aida diminta untuk mendapatkan kopi panas yang disediakan di satu sudut. Rasa bateri sosialnya berkurang banyak selepas bergaul dengan ramai manusia kerana ini bukan urusan rasmi syarikat. Dia sendiri yang sukarela menghadirkan diri selepas mendapat jemputan.
"Dhiya?" nafas tersekat, ritma jantung lari, mukanya tiba-tiba terasa sejuk. Dia kenal suara itu. Mana mungkin dia akan lupa suara yang satu ini. Dadanya terus rasa sesak. Dia tidak pernah sangka yang dia akan bersemuka lagi dengan pemilik suara itu.
Adrian.
***
Faradhiya rasa seperti mahu bangun dan pulang ke rumah. Walaupun mereka berada di ruang sudut makan restoran hotel itu. Dia masih rasa diperhatikan meskipun ruang itu sedang kosong, rasa tidak selamat. Aida yang berada di meja belakang buat dia rasa sedikit tenang tetapi Tengku Adrian yang sekarang sedang duduk bertentangan dengannya buat dia rasa mahu balik sekarang juga. Tangannya berpeluh dan sejuk.
Adrian yang ajak dia ke sini selepas melihat reaksinya di ruang konvesyen tingkat atas hotel. Faradhiya bersetuju untuk ikut kerana ingin mengelak mata-mata yang terus memandang mereka. Dia juga nekad untuk memberi closure hari ini. Punca kepada masalah dia yang berlarutan selama tiga tahun, mahu dia tamatkan hari ini. Hari ini, dia tidak mahu mengelak lagi. Tangan dikepal kuat. Nekad.
"Dhiya balik sini terus ke?" soal Tengku Adrian tenang sambil menghirup kopi. Wajah beku wanita di hadapannya dipandang lama. Mencuri peluang kerana mata wanita itu hanya senyap merenung gelas air. Cantik.
"Saya rasa tak perlulah kita berbasa-basi Tengku. Cakaplah apa yang Tengku nak cakap dan saya akan cakap apa yang saya nak Tengku tahu. Tak perlu bazir masa. Saya tak selesa dengan Tengku." Jelas. Tajam. Pedih sedikit hati Tengku Adrian mendengar bicara wanita itu. Senyum kecewa jelas terpapar di wajahnya.
"Saya nak minta maaf dengan Dhiya. Atas semua yang berlaku." menurut permintaan Faradhiya. Tengku Adrian tahu yang jika dia berkeras dengan caranya, Faradhiya akan pergi begitu sahaja.
"Saya dah maafkan semua, Tengku. Kita dah tak ada apa-apa hutang. Jadi Tengku tak perlu tunggu apa-apa dari saya lagi. Itu saja ke yang Tengku nak cakap?" Faradhiya masih enggan memandang muka Tengku Adrian.
"Susah sangat ke Dhiya nak pandang muka Ad?" entah kenapa itu yang keluar dari mulut Tengku Adrian.
Hampa kerana wanita itu seakan sangat tidak suka dengan kehadiran dirinya. Benci sangatkah Faradhiya kepada dirinya? Ketawa sinis Faradhiya menghentikan pemikiran Tengku Adrian yang tadi sedang bergerak laju.
"Tengku memang tak sedar diri ya?" berubah muka Tengku Adrian mendengar pertanyaan kasar dari Faradhiya. Tajam.
"Saya maafkan Tengku tak bermaksud semuanya akan baik-baik saja. Saya memaafkan perbuatan Tengku sebab saya dah tak ada tenaga untuk bersedih sebab Tengku lagi. Saya dah tak mahu meratapi perbuatan dari keputusan Tengku. Saya dah tak mahu fikir tentang Tengku. Tiga tahun saya buang masa merawat diri kerana tindakan Tengku. Saya tak mahu hidup di takuk yang sama, terus hidup dengan kesakitan yang berpunca dari Tengku. Kalau Tengku berhenti sekejap dari berfikir tentang diri sendiri, pasti Tengku akan ada rasa sedikit penyesalan. Mesti Tengku akan ada rasa malu terhadap saya. Tapi yang Tengku fikir hanyalah diri sendiri, sebab itu dengan tidak malunya Tengku berani mendekati saya depan orang ramai. Membiarkan orang bercakap tentang kita. Sedikit rasa hormat pada diri saya pun Tengku tidak ada." Faradhiya melepas rasa sakit hatinya.
![](https://img.wattpad.com/cover/370576313-288-k824584.jpg)
YOU ARE READING
Temu
RomanceCerita ini menyelami rasa seorang Nur Faradhiya, wanita yang dianggap sempurna dan lengkap dengan segalanya. Pendidikan, harta, kerjaya, dan pencapaian. Namun, Faradhiya juga adalah antara wanita yang tertipu dengan janji lelaki. Pengkhianatan yang...