Bab 20

129 14 2
                                    

Sekitar pukul 6.30 petang, kereta Faradhiya meluncur keluar dari perkarangan Rumah Sayang. Tidak seperti pagi tadi yang ditemani umi, dia hanya seorang. Walid telah menjemput umi untuk menghadiri program di masjid pada waktu Maghrib. Laika dan Safiya juga telah beransur pulang selepas Asar. Hanya dia yang lewat pulang kerana duduk bersembang dengan lebih lama dengan anak-anak Rumah Sayang yang bakal menduduki peperiksaan SPM dan STPM.

Rancak sesi soal jawab yang berlaku, berkisar tentang halatuju mereka. Ada dua tiga orang dari mereka yang menyatakan hasrat untuk mencari kerja dari menyambung pelajaran dengan sebab dapat menabung untuk masa depan dan ubah hidup mereka. Pendapat yang ditentang oleh Faradhiya. Bagi Faradhiya, cara yang paling tepat untuk anak-anak Rumah Sayang mengubah taraf hidup mereka adalah dengan pelajaran. Pembiayaan pendidikan penghuni rumah itu ditanggung seratus peratus oleh yayasan milik umi, termasuk kos sara diri mereka. Jadi tiada alasan kewangan untuk anak-anak itu, tidak menyambung pelajaran. Jadi kesempatan yang tidak semua orang ada patut digunakan oleh mereka. Faradhiya menegaskan yang sekeping kertas ijazah yang mungkin dipandang remeh sekarang, sebenarnya dapat membuka banyak pintu peluang untuk masa depan mereka.

Lamunan Faradhiya terhenti bila dia sedar yang halaju keretanya perlahan mendadak. Skrin digital menunjukkan yang simbol enjin sedang menyala. Cermin pandang belakang dilihat sebelum lampu isyarat kecemasan diberikan, keretanya dihentikan di bahu jalan. Sebaik sahaja keretanya berhenti, enjin keretanya juga mati. Dengan dahi yang berkerut dia cuba untuk menghidupkan semula kereta namun gagal. Keluhan kecil dilepaskan, jalan ini jalan yang agak sunyi. Tiada perumahan, kedai atau sebarang jenis bangunan di kiri kanan jalan. Langit pula sudah semakin gelap.

Telefon miliknya dicapai, mendail nombor walid. Dua tiga kali namun tidak berangkat, mungkin walid meletakkan telefonnya dalam mod senyap. Umi juga tidak dapat dihubungi. Nombor Uzair tidak dicuba kerana adiknya sedang bercuti dengan kawan-kawan, jadi dia berada di luar kawasan. Laika dan Safiya juga tinggal jauh dari sini, jadi pastinya mereka akan mengambil masa yang lama. Nafas ditarik dalam. Jarinya pantas mencari bengkel-bengkel berdekatan namun yang ada sudah pun tutup. Bahagian 'Contact' dibuka kembali. Sudah lebih 15 minit dia begini.

Aida juga tidak menjawab panggilan, mungkin kerana waktu sudah senja jadi tiada manusia yang memegang telefon. Dengan itu dia tidak dapat tahu nombor kereta 'towing' yang ditanggung oleh insurans, semua itu dengan Aida. Jarinya terhenti pada satu nama; 'Armada Ghaz Ukasyah'. Telinganya terngiang pesanan lelaki itu selepas kejadian di hotel.

'Ada apa-apa masalah boleh call saya. InshaAllah saya sampai.'

Laju sahaja jarinya menekan nama itu. Sedar sahaja dengan tindakannya, pantas panggilan yang tidak sempat berangkat itu diputuskan. Keluhan dilepaskan, dahi diletakkan di stereng kereta. Dia patut hubungi bomba atau polis? Tersentak bahunya bila telefon berdering tanda ada panggilan masuk.

Armada Ghaz Ukasyah

Skrin diperhatikan sebelum diangkat. Telefon diletakkan di telinga, mata sudah terpejam. Dia segan.

"Assalamualaikum, Faradhiya." Mendengar suara lelaki itu sudah cukup untuk membuat muakanya panas.

"Faradhiya?" sekali lagi suara itu menceroboh gegendang telinga bila Faradhiya hanya terus diam.

"Waalaikumussalam." perlahan sahaja dia menjawab salam. Nada yang terlalu rendah dan tidak yakin berbanding dengan yang selalu Ghaz Ukasyah dengar.

"Ada apa Faradhiya call saya?"

"Kereta saya rosak." Nafas lega dihembus sebaik saja ayat itu keluar dari mulutnya.

"Dekat mana?"

"Tepi jalan. 20 minit dari Rumah Sayang."

TemuTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang